Mahkamah Tinggi Singapura hari ini membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman mati kepada warga Malaysia Datchinamurthy Kataiah yang mewakili dirinya sendiri di mahkamah selepas tidak berjaya mendapatkan khidmat peguam.
Kebenaran itu menjadikan hukuman mati yang pada mulanya dijadual akan dilaksanakan esok ditangguh, kata peguam N Surendran dalam satu ciapan Twitter.
Sementara itu, peguam hak asasi terkemuka M Ravi berkata penangguhan hukuman itu diberikan sementara menunggu pendengaran cabaran undang-undang Datchinamurthy pada 20 Mei depan.
“Tidak akan ada hukuman mati pagi esok,” katanya di Facebook.
“Keputusan ini menunjukkan betapa pentingnya untuk menjalani semua proses undang-undang dan terus mencuba sehingga akhir tanpa putus asa.”
Datchinamurthy disabitkan kesalahan menyeludup 45g diamorfin ke Singapura, di mana kesnya mengundang kritikan antarabangsa selepas dilihat gagal membezakan antara pembawa dadah yang berasal daripada keluarga miskin dengan dalang yang mengupah mereka.
Keluarga Datchinamurthy baru-baru ini menerima notis pelaksanaan hukuman matinya dijadualkan pada 29 April.
Permohonan penangguhan pelaksanaan Datchinamurthy difailkan sendiri olehnya dan dijalankan dalam perbicaraan tertutup pada 9.30 pagi hari ini.
Ravi, yang sebelum ini merupakan peguam yang mewakilinya turut berkata prosiding pada 20 Mei adalah “berkait dengan penjara yang bertindak menghantar komunikasi dengan peguamnya kepada peguam negara.”
“Permohonan difailkan oleh firma kami sebelum ini untuk menentukan tahap pelanggaran hak Datchinamurthy oleh pihak penjara.
“Persoalan di hadapan mahkamah ialah bolehkah mereka jalankan hukuman pada Jumaat ini ketika dia mempunyai tarikh perbicaraan kesnya yang telah ditetapkan akan didengar pada 20 Mei,” katanya.