- Iklan -
Berita

Branson selar Singapura yang terus laksana hukuman mati selepas Nagaenthran

Beliau berkata ia tidak memberikan ruang kepada nilai maruah dan belas kasihan ketika laksana hukuman terhadap Nagaenthran K Dharmalingam.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Aktivis membantah hukuman mati ke atas Nagaenthran K Dharmalingam ketika protes di Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur.
Aktivis membantah hukuman mati ke atas Nagaenthran K Dharmalingam ketika protes di Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur.

Taikun syarikat penerbangan Britain Richard Branson berkata “perbualan nasional” mengenai penggunaan hukuman mati di Singapura “sudah lama tertangguh”, menyuarakan kekecewaannya terhadap pendirian republik itu untuk terus melaksanakan hukuman mati selepas Nagaenthran K Dharmalingam berstatus orang kurang upaya (OKU) menjalani hukumannya semalam.

“Jentera maut di Singapura tetap terus melaksanakan apa yang biasa ia lakukan,” kata Branson dalam sebuah hantaran blog yang didedikasikan kepada Nagaenthran.

“(Negara itu) terus berdegil untuk menolak undang-undang antarabangsa hak asasi manusia dan pandangan pakar, ia tidak memberi ruang untuk nilai adab, maruah, belas dan kasih. Keadilan tidak dilaksanakan.”

Nagaenthran menjalani hukuman gantung sampai mati di Penjara Changi awal pagi semalam walaupun terdapat bantahan antarabangsa terhadap hukuman mati yang disampaikan kepadanya 12 tahun lalu atasa sabitan menyeludup 43g – kira-kira tiga sudu besar – heroin ke Singapura.

Dia yang mempunyai skor IQ sebanyak 69 – tahap yang memboleh seseorang diisytihar sebagai OKU – dilaporkan dipaksa untuk melakukan jenayah itu.

Percubaan terakhir ibunya untuk menghentikan pelaksanaannya ditolak oleh mahkamah yang mengatakan usul jenayah difailkan oleh Panchalai Supermaniam adalah satu “percubaan yang dirancang” bagi melewatkan proses akhir mahkamah.

Panchalai sendiri hadir di mahkamah kerana tidak berjaya mendapatkan khidmat peguam yang sanggup mewakili anaknya.

“Bayangkan derita, kebimbangan, dan kesedihan (yang ditanggungnya)” kata Branson mengenai usaha terakhir Panchalai demi menyelamatkan nyawa Nagaenthran.

“Dia bukan penjenayah. Dia adalah mangsa – keadaan peribadinya menyebabkan dia menjadi mangsa kartel dadah, yang sentiasa menyasarkan golongan rentan; sistem keadilan nampaknya terus konsisten mengecewakan golongan minoriti, terpinggir dan miskin. Kemanusiaan sudah gagal.”

Branson yang beberapa kali menggesa Singapura memberikan pengampunan kepada Nagaenthran sebelum ini berkata beliau mempunyai “rasa hormat yang tinggi” terhadap negara itu, namun penggunaan peruntukan hukuman mati di Singapura mencalarkan reputasinya.

“Sekarang ini, saya lebih yakin bahawa kita bertanggungjawab untuk menamatkan hukuman mati ketika hayat masih dikandung badan. Gerakan global untuk mansuhkan hukuman ini semakin berkembang. Antara sebabnya adalah kegagalan dalam pelaksanaan keadilan seperti ini,” katanya dalam hantaran blog itu lagi.

Beliau turut berkata pandangan orang ramai terhadap Singapura tidak akan sama lagi selepas ini, beliau berkata mereka mula meragui keperluan hukuman mati terus dijalankan.

“Jika sistem tidak dapat melindungi hak OKU, jika ia tidak dapat menawarkan empati dan penangguhan hukuman, maka ada sesuatu yang rosak pada dasarnya.

“Kes Nagaentran menimbulkan begitu banyak persoalan tentang tadbir urus yang baik, ketelusan, proses yang wajar, keadilan, dan mengenai komitmen Singapura terhadap perjanjian antarabangsa. Persoalan ini tidak akan hilang begitu saja.

“Saya lebih suka mengenali Singapura sebagai hab perdagangan moden dan bertaraf antarabangsa daripada sebagai tempat yang membazirkan sumber dan reputasinya dalam menjalankan hukuman gantung sampai mati.”