- Iklan -
Berita

Mahkamah tolak rayuan ‘tergesa-gesa’ peguam negara Singapura batalkan penangguhan hukuman mati Datchinamurthy

Permohonan yang dibuat dalam tempoh beberapa jam itu mengejutkan komuniti undang-undang.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Mahkamah Agung Singapura yang terdiri dari Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan. Gambar: AFP
Mahkamah Agung Singapura yang terdiri dari Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan. Gambar: AFP

Mahkamah Rayuan Singapura hari ini menolak percubaan peguam negara untuk membatalkan penangguhan pelaksanaan hukuman yang diberikan kepada warga Malaysia Datchinamurthy Kataiah menjelang hukuman yang dijadualkan esok.

Rayuan itu didengar pada pukul 2.30 petang, beberapa jam selepas Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman kepada Datchinamurthy dalam perbicaraan yang menyaksikan banduan berusia 36 tahun itu berhujah di hadapan hakim sendiri melalui pautan video.

Difahamkan, permohonan yang dibuat peguam negara itu hanya mengambil masa beberapa jam di mana ia mengejutkan ramai pihak dalam komuniti undang-undang.

“Peguam negara Singapura tergesa-gesa membuat permohonan di Mahkamah Rayuan dan kemudiannya didengar segera pada 2.30 petang hari ini,” kata peguam N Surendran di Twitter.

“Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan menolak rayuan peguam negara – perintah penangguhan pelaksanaan hukuman tetap dikekalkan.”

Datchinamurthy disabitkan kesalahan menyeludup 45g diamorfin ke Singapura, di mana kesnya mengundang kritikan antarabangsa selepas dilihat gagal membezakan antara pembawa dadah yang berasal daripada keluarga miskin dengan dalang yang mengupah mereka.

Dia sebelum ini dijadualkan menjalani hukuman mati esok walaupun pendengaran cabaran undang-undangnya ditetapkan pada 20 Mei depan.

Kes Datchinamurthy turut dibandingkan dengan kes Nagaenthran K Dharmalingam, seorang banduan bilik akhir yang menjalani hukuman matinya pagi semalam.

Ibu Nagaenthran, Panchalai Supermaniam terpaksa hadir sendiri ke mahkamah dalam usaha terakhir untuk menyelamatkan anak lelakinya itu selepas tidak berjaya mendapatkan khidmat peguam bagi mewakili anaknya.

Pelaksanaan hukuman mati ke atas Nagaenthran mencetuskan kecaman antarabangsa ekoran statusnya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) mental.

Dia didiagnosis mempunyai skor IQ sebanyak 69, tahap yang membolehkan seseorang itu diisytiharkan sebagai OKU dan turut dilaporkan dipaksa menyeludup sejumlah kecil heroin ke republik itu.

Jabatan Peguam Negara Singapura kemudiannya berkata ia tidak akan teragak-agak mengambil tindakan menghina mahkamah terhadap pengkritik yang mengulangi apa yang disifatkannya sebagai “dakwaan palsu” dalam afidavit Panchalai.

“AGC memandang serius sebarang tindakan yang boleh dianggap menghina (mahkamah), dan ia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi melindungi pentadbiran badan kehakiman,” katanya.