- Iklan -
Berita

Selepas Nagaenthran, seorang lagi warga Malaysia berjuang untuk terus hidup tanpa diwakili peguam

Kes Datchinamurthy Kataiah mempunyai banyak persamaan dengan kes Nagaenthran K Dharmalingam, namun peguam Singapura dilihat mengelak daripada terlibat dalam prosiding kesnya.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Datchinamurthy Kataiah.
Datchinamurthy Kataiah.

Seorang lagi banduan bilik akhir warga Malaysia di Singapura memfailkan permohonan di mahkamah sebagai percubaan terakhir bagi menangguhkan pelaksanaan hukuman mati yang dijadualkan pada Jumaat, di saat kemarahan berhubung hukuman gantung Nagaenthran K Dharmalingam baru-baru masih belum reda baik di Malaysia mahupun republik itu.

Permohonan Datchinamurthy Kataiah akan didengar di Mahkamah Tinggi Singapura pada pukul 9.30 pagi hari ini menjelang hari pelaksanaan hukumannya.

Permohonan yang dikemukakan itu adalah bagi melarang pelaksanaan hukuman mati dengan hujah pelaksanaan hukuman gantung sampai mati itu menyalahi undang-undang ketika dia masih dalam proses cabaran undang-undang.

Prosiding cabaran undang-undang itu ditetapkan pada 20 Mei.

Langkah yang diambil Datchinamurthy itu mengingatkan proses yang undang-undang yang dihadapi Nagaenthran di mana setiap percubaannya untuk mengelak tali gantung menemui kegagalan.

Datchinamurthy akan mewakili dirinya sendiri di mahkamah kerana tidak berjaya mendapatkan khidmat peguam, kata kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL).

“Tidak pernah lagi didengar hukuman mati dilaksanakan semasa kes banduan masih lagi sedang berjalan di mahkamah,” kata Ketua Penyelaras LFL Zaid Malek.

Zaid menambah peguam di Singapura kini takut untuk mewakili banduan bilik akhir kerana bimbang dengan tindakan balas daripada peguam negara dan mahkamah, sambil menambah nasib Datchinamurty akan bergantung dengan hujahnya di mahkamah.

Nagaentran menjalani hukuman gantung semalam kerana mengedar sejumlah kecil heroin ke Singapura walaupun pelbagai usaha di peringkat domestik dan antarabangsa dilakukan bagi menghentikan hukuman mati ke atas orang kurang upaya (OKU) mental itu.

Nagaenthran yang mempunyai skor IQ sebanyak 69 – tahap yang memboleh seseorang diisytihar sebagai OKU – dilaporkan dipaksa untuk melakukan jenayah itu.

Rayuan terakhir kes Nagaenthran dikemukakan oleh ibunya, Panchalai Supermaniam, di mana dia sendiri hadir di mahkamah kerana tidak berjaya mendapatkan khidmat peguam yang sanggup mewakili anaknya.

Jabatan Peguam Negara (AGC) Singapura kemudiannya melancarkan serangan terhadap ibu Nagaenthran, memberi amaran ia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan menghina mahkamah terhadap pengkritik yang terus mengulangi apa yang disifatkannya sebagai “dakwaan palsu” yang terkandung dalam afidavit Panchalai.

“AGC memandang serius sebarang tindakan yang boleh dianggap menghina (mahkamah), dan ia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi melindungi pentadbiran badan kehakiman,”katanya.

Peguam hak asasi Singapura M Ravi berkata walaupun beliau mewakili Datchinamurthy sebelum ini, namun tidak dapat meneruskannya kerana berdepan beberapa tindakan kerajaan.

“Peguam tidak mahu mewakilinya kerana mereka takut tindakan balas daripada kerajaan,” tambahnya.

Ravi berkata prosiding pada 20 Mei adalah berhubung tindakan penjara yang menghantar komunikasi antara Datchinamurthy dengan peguamnya kepada peguam negara.

“Satu permohonan m difailkan sebelum ini oleh firma kami bagi menentukan sejauh mana pelanggaran (hak) oleh penjara.

“Persoalannya yang dibangkitkan di mahkamah, bolehkah mereka menggantungnya pada Jumaat ini sedangkan dia mempunyai tarikh perbicaraan bagi kesnya pada 20 Mei?”

Sementara itu, jurucakap bagi hal ehwal luar negeri dan dasar kesalamatan Kesatuan Eropah (EU), Nabila Massrali menggesa Singapura untuk melaksanakan moratorium ke atas hukuman mati dan menyertai trend di seluruh dunia untuk menghapuskan hukuman itu.

“EU menyeru pihak berkuasa untuk hentikan pelaksanaan (hukuman mati) ini, dan meringankan hukumannya yang bukan membawa kepada hukuman mati,” katanya, merujuk pelaksanaan hukuman ke atas Datchinamurthy esok.

“Prinsip EU menentang keras hukuman mati pada setiap masa dan dalam apa juga keadaan. Ia adalah hukuman yang kejam dan tidak berperikemanusiaan, di mana ia gagal berfungsi sebagai pencegah jenayah dan menafikan maruah dan integriti manusia yang tidak boleh diterima.