- Iklan -
Berita

Kumpulan majikan cadang pelarian, pendatang tanpa dokumen diambil bekerja, untuk tangani kekurangan tenaga kerja

Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia berkata langkah jangka pendek diperlukan sehingga semua isu berkait pengambilan buruh asing dapat diselesaikan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pekerja menjalankan tugas mereka di sebuah tapak bina di Selangor. Persekutan  Majikan-Majikan Malaysia berkata wujud kekurangan tenaga kerja walaupun pembekuan pengambilan pekerja asing sudah ditarik balik Februari lalu.
Pekerja menjalankan tugas mereka di sebuah tapak bina di Selangor. Persekutan Majikan-Majikan Malaysia berkata wujud kekurangan tenaga kerja walaupun pembekuan pengambilan pekerja asing sudah ditarik balik Februari lalu.

Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menggesa kerajaan supaya membenarkan pengambilan pekerja asing dari komuniti pelarian dan pendatang tanpa dokumen dalam negara bagi membantu menangani masalah kekurangan tenaga kerja dalam beberapa sektor seperti industri perladangan.

Presiden MEF Syed Hussain Syed Husman berkata walaupun pembekuan pengambilan pekerja asing ditarik balik pada Februari, proses permohonan dan kelulusan dalam pengambilan tidak berjalan dengan lancar, di mana tiada yang dibawa masuk ke dalam negara setakat ini.

“MEF rayu kepada kerajaan untuk benarkan pengambilan pekerja dalam bentuk yang lain bagi menampung kekurangan pekerja asing sehingga mereka tiba di Malaysia,” katanya.

“Kita boleh mendapatkan tenaga buruh yang diperlukan daripada kalangan pelarian, pekerja asing tanpa dokumen dan banduan-banduan jenayah tidak serius. Dengan kelulusan khas kerajaan, mereka ini boleh dikerahkan untuk segera mengisi kekurangan tenaga kerja sehingga pekerja asing baru tiba.”

Memetik kerugian lebih RM30 bilion yang direkodkan dalam industri perladangan akibat kekurangan pekerja, Syed Hussain berkata masalah serupa turut berlaku dalam sektor lain termasuk pembuatan, pelancongan dan pembinaan.

“Komuniti perniagaan Malaysia menghabiskan banyak masa dan sumber untuk mengisi kekurangan ini, namun tidak berjaya selesaikannya.

“Majikan memerlukan pekerja baru dengan segera bagi membantu dalam usaha pemulihan perniagaan mereka seterusnya mengembalikan operasi perniagaan mereka di landasan yang betul,” tambahnya.

Dalam sebuah kenyataan, beliau berkata terdapat sekitar 168,000 pelarian dalam negara ini yang merupakan pemegang kad UNHCR.

Menurutnya, lebih 60% daripada mereka ini dianggap “berpotensi untuk diambil bekerja”.

“Kita perlu cari penyelesaian segera sebagai langkah jangka pendek sehingga semua isu mengenai pengambilan tenaga kerja asing dapat diselesaikan.”

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi
- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.