- Iklan -
Berita

Polis akan rakam keterangan Siti Bainun berhubung kematian seorang bayi

Keterangan Siti Bainun akan diambil selepas kematian seorang bayi didakwa mempunyai kaitan dengan pengasas Rumah Bonda itu.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali.
Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali.

Polis akan merakam keterangan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, bagi membantu inkuiri kes kematian bayi lelaki berusia 10 bulan Muhammad Adam Rizqi Abdul Azim, atau lebih dikenali sebagai Baby Adam, pada 2020.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintenden Ashari Abu Samah berkata proses merakam keterangan daripada Siti Bainun terpaksa ditangguhkan apabila wanita itu kini berdepan perbicaraan di Mahkamah Jalan Duta.

“Kita sepatutnya merakam keterangan daripada wanita itu beberapa hari yang lalu dan kita akan panggil dalam masa terdekat.

“Setakat ini, kita merakam keterangan daripada beberapa individu,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Op Selamat Kontinjen Kuala Lumpur di Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur di Jalan Tun HS Lee oleh Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim.

Beliau berkata seorang individu yang dikenali sebagai Cikgu Fadli akan turut dipanggil bagi membantu siasatan kes itu.

Ashari berkata lelaki itu telah mendakwa dalam media sosial kononnya tiada proses bedah siasat dilakukan ke atas mayat Baby Adam.

“Dakwaan itu tidak berasas dan kita sedang berusaha mengesan lelaki itu… Kami nak tahu dari mana dia memperoleh maklumat mengenai proses bedah siasat.

“Ini telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan awam dan membawa kepada tanggapan kononnya polis tidak melakukan siasatan yang sebaiknya dalam kematian Baby Adam, sepatutnya dia rujuk kepada polis dan mendapatkan fakta yang betul,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Pejuanita Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Bibi Sunita S Khan membuat laporan polis meminta supaya kertas siasatan berkaitan kematian Baby Adam dua tahun lepas dibuka semula.

Bibi Sunita mendakwa kematian Baby Adam pada 3 Mei 2020 mempunyai kaitan dengan isu penderaan di pusat perlindungan Rumah Bonda di Taman Setapak dan terdapat keraguan terhadap laporan kematian mangsa yang pada awalnya diklasifikasikan sebagai kematian mengejut serta kaitan dengan latar belakang sejarah penyakitnya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.