- Iklan -
Berita

‘Sinar di hujung terowong’ bagi pengusaha bas kerana peralihan ke endemik

Bagaimanapun masalah biasa yang dihadapi syarikat seperti kekurangan pemandu masih berterusan.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Sebuah bas penumpang yang dipamerkan di tapak pameran Kenderaan Komersial Malaysia (MCVE) 2022 di Seri Kembangan. Pengusaha bas menarik nafas lega ketika negara beralih ke fasa endemik kerana dapat menjalankan semula operasi perniagaan mereka.
Sebuah bas penumpang yang dipamerkan di tapak pameran Kenderaan Komersial Malaysia (MCVE) 2022 di Seri Kembangan. Pengusaha bas menarik nafas lega ketika negara beralih ke fasa endemik kerana dapat menjalankan semula operasi perniagaan mereka.

Sejak negara diumum memasuki fasa peralihan ke endemik bermula 1 April lalu, rata-rata pengusaha syarikat bas kini dapat menarik nafas lega apabila menganggap berita ini sebagai “sinar di hujung terowong” selepas merana selama lebih dua tahun akibat sekatan pergerakan.

Penularan Covid-19 di Malaysia pada awal 2020 menyaksikan kebanyakan syarikat yang terbabit dalam industri pengangkutan termasuk bas terjejas teruk apabila kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada Mac.

Ketika itu, ramai dalam kalangan pemandu bas ekspres seolah-olah mati akal apabila perkhidmatan mereka tidak diperlukan memandangkan aktiviti rentas sempadan dan negeri tidak dibenarkan termasuk pada musim perayaan.

Malah, ramai juga pemandu bas telah beralih ke bidang lain seperti logistik dan penghantaran makanan bagi memastikan dapat terus menjana pendapatan.

Namun begitu Presiden Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa) Laili Ismail berkata, pengusaha bas kini optimistik mereka akan kembali bangkit apabila jualan tiket sempena perayaan Aidilfitri kali ini mendapat sambutan meriah apabila ramai berlumba-lumba untuk pulang ke halaman kampung masing-masing.

Katanya, pengusaha bas juga sudah mula merekrut semula pemandu-pemandu yang diberhentikan dan proses ini dilihat sebagai fasa pemulihan bagi industri itu.

“Kita merasakan ada sinar di hujung terowong untuk kembali beroperasi seperti keadaan sebelum PKP,” katanya kepada MalaysiaNow.

Mengulas lanjut, Laili berkata, walaupun proses merekrut lama dijalankan, terdapat juga bekas pemandu bas yang menolak tawaran itu kerana sudah selesa bekerja dalam bidang logisitik dan menjadi pemandu e-hailing melakukan penghantaran makanan dan sebagainya.

“Secara menyeluruh, saya ada 100 bas menghantar penumpang dari Kelantan ke ibu-ibu negeri di seluruh Semenanjung. Tetapi 20 bas tidak dapat digerakkan sebab tak cukup pemandu,” kata Laili yang juga pengusaha bas Perdana Express.

“Dianggarkan 20 ahli yang mendaftar Pembawa mengalami kekurangan pemandu bas antara 10 hingga 15%.”

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA), Mohamad Ashfar Ali, menekankan isu kekurangan pemandu bas sebenarnya merupakan antara masalah yang sering dihadapi industri itu sejak sekian lama.

Beliau berkata, semakin ramai tidak berminat untuk menjadi pemandu bas, malah proses untuk memulakan kerjaya dalam bidang itu adalah terlalu mahal apabila individu terpaksa berbelanja sehingga RM5,000 untuk membuat lesen kenderaan pengangkutan awam (PSV) dan lesen memandu kenderaan barangan (GDL).

“Masalah ini bukan sahaja terhad kepada pemandu bas ekspres, tetapi juga terhadap pemandu lori, bas persiaran, bas kilang dan bas henti-henti,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Industri ini mempunyai 5,000 kekosongan pemandu, oleh itu, boleh dikatakan walaupun fasa peralihan ke endamik akan bantu memulihkan keadaan bagi pengusaha bas, ia bagaimanapun masih tidak menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi industri ini.”

Mengulas lanjut, Ashfar menyarankan supaya kerajaan tampil membantu menyelesaikan masalah ini dengan menyediakan kursus memandu bas dan lori, skali gus meringankan beban individu yang ingin menceburi bidang tersebut.

“Masalah kekurangan pemandu akibat PKP kebanyakannya sudah selesai dan bas-bas kami sudah pun kembali beroperasi.

“Namun begitu, isu kekurangan pemandu secara menyeluruh ini disebabkan pelbagai faktor terutamanya apabila pemandu lama bersara dan tiada pengganti,” kata Ashfar dan menambah isu ini turut dialami 120 syarikat bas yang berdaftar sebagai ahli PMBOA.

Dalam pada itu, Ashfar berkata, pihaknya sebelum ini juga pernah menggiatkan usaha menarik minat golongan muda untuk menceburi sebagai pemandu bas dan lori, bagaimanapun ia tidak mendapat sambutan.

“Kita sudah buat roadshow tetapi gagal.

“Sebab itu kami cadangkan kerajaan buat kursus percuma untuk golongan muda,” katanya.