- Iklan -
Berita

Doktor gigi kerajaan bergelut dapatkan kerakyatan untuk anak perempuan

Dr Jennifer Yap menolak tawaran kerja menguntungkan di Taiwan untuk pulang berkhidmat di Malaysia, namun kecewa kerana anak perempuannya tidak diiktiraf sebagai rakyat Malaysia hanya kerana dilahirkan di luar negara.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Dr Jennifer Yap menceritakan kisah kesukaran untuk mendapatkan kerakyatan anaknya yang lahir di Taipei ketika ditemui MalaysiaNow.
Dr Jennifer Yap menceritakan kisah kesukaran untuk mendapatkan kerakyatan anaknya yang lahir di Taipei ketika ditemui MalaysiaNow.

Rutin harian Dr Jennifer Yap sebagai doktor gigi di sebuah hospital kerajaan sudah cukup mencabar.

Walaupun terpaksa berhempas pulas dengan lawatan pesakit yang boleh mencecah ratusan sehari, dia tetap bangga menjalankan tugasnya untuk negara tercinta.

Namun, ketika pulang ke rumah, keadaan lebih mencabar.

Sebagai ibu kepada seorang anak yang masih kecil, Yap kecewa dengan nasib yang menimpa anaknya yang dinafikan hak untuk mendapatkan kerakyatan Malaysia.

Semuanya bermula apabila Yap mendirikan rumahtangga dengan seorang warganegara Taiwan ketika menuntut dalam bidang perubatan pergigian di Universiti Perubatan Taipei pada tahun 2009.

Dia bertemu dengan suami yang juga pelajar perubatan di universiti yang sama.

Mereka berkahwin pada tahun 2011.

Pada November 2017, Yap berjaya menamatkan peperiksaan Pakar Lembaga Ortodontik Kebangsaan di Taiwan, dan melahirkan anak perempuannya lapan hari kemudian.

Disebabkan tempoh peperiksaan dan kehamilan lewat, dia tidak dapat pulang ke tanah air untuk melahirkan anaknya.

Sejak itu, dilema mula membelenggu dirinya kerana dimaklumkan oleh Kedutaan Malaysia adalah sesuatu yang mustahil bagi anaknya untuk didaftarkan sebagai rakyat.

Meskipun terkejut dan kecewa dengan khabar itu, Yap tidak pernah berputus asa terhadap nasib dan masa depan anaknya itu.

Sehingga kini, isu dokumentasi kenegaraan anaknya masih belum selesai.

“Setiap kali saya dapatkan maklum balas susulan dengan pegawai-pegawai kerajaan, jawapan mereka sama. Tiada keputusan,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Hal ini betul-betul buat saya kesal, selepas apa yang saya lakukan untuk tanah air sendiri.

“Tapi negara ini tak boleh menerima anak saya hanya kerana saya berkahwin dengan seorang warganegara luar.”

Di bawah Perlembagaan Persekutuan, bayi yang lahir di luar negara dengan bapa memiliki kewarganegaraan Malaysia akan dianugerahkan taraf warganegara secara automatik.

Bagaimanapun, bagi yang lahir dengan ibu warganegara Malaysia dan bapa bukan warganegara perlu memohon untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan anak.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bayi yang lahir di luar negara oleh wanita warga Malaysia dan bapa bukan warganegara secara automatik berhak mendapat kewarganegaraan Malaysia.

Tetapi, kerajaan melalui kementerian dalam negeri dan ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merayu terhadap keputusan tersebut.

Mahkamah Rayuan menetapkan 22 Jun ini untuk memberi keputusan berhubung rayuan berkenaan.

Anak menderita sakit ekzema

Lebih membimbangkan Tan, anak perempuannya mengalami ekzema, sejenis penyakit kulit yang teruk sejak lahir.

Atas sebab itu, dia mengambil keputusan untuk pulang ke tanah air pada tahun 2018 bagi mendapatkan rawatan lanjut melalui bantuan kakaknya yang juga seorang doktor perubatan di Malaysia.

Pulang lebih awal bermakna, ijazah kepakaran beliau tidak diiktiraf di negara ini menyebabkan Tan terpaksa bermula dari peringkat awal dalam sistem kesihatan di sini.

Namun, itu bukan satu masalah baginya.

Dia tetap menjalani rutin tugasannya tanpa sebarang keraguan.

Sejak pandemik Covid-19 melanda negara, Tan merupakan salah sorang petugas barisan hadapan kesihatan yang berdepan kes jangkitan kira-kira 20,000 sehari dengan kadar vaksinasi yang masih rendah ketika itu.

“Saya tak terganggu dengan beban kerja di klinik dan hospital. Tetapi yang memenatkan dan menyakitkan hati saya adalah apabila menyedari hakikat bahawa anak saya bukan warganegara seperti saya.

“Saya terpaksa ulang alik turun naik pejabat Imigresen untuk memperbaharui visa sosial anak saya.

“Proses ini cukup mencabar dan memenatkan kerana saya lakukan sendirian tanpa suami di sisi,” katanya dan menambah dia menjaga anaknya di Malaysia manakala suami berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Taiwan.

Selain itu, dia turut merasakan proses itu mengganggu tugasnya yang sibuk dengan temujanji para pesakit yang memerlukan khidmatnya di hospital.

Di sebalik sumbangannya kepada negara di saat krisis kesihatan melanda, dia merasakan satu ketidakadilan apabila anak perempuannya dilayan seakan orang asing hanya kerana dia dilahirkan di luar negara.

Permintaannya sebagai seorang ibu sangat mudah, mendapat pembelaan dan kepastian anaknya akan mendapat kerakyatan sah sebagai warganegara Malaysia.

“Tanpa kewarganegaraan Malaysia, peluang anak saya untuk ditempatkan di sekolah kerajaan berkurangan dengan ketara, dan dia akan dikenakan kadar bayaran yang berbeza di hospital awam.

“Jika pas lawatan sosialnya tidak diperbaharui oleh imigresen atas apa jua alasan, mungkin saya terpaksa meninggalkan negara ini bersama anak perempuan saya dan menamatkan perkhidmatan sebagai pegawai pergigian di bawah kementerian kesihatan (KKM).”

Bagaimanapun, Tan berkata, jauh di sudut hatinya dia tidak mahu perkara itu berlaku.

Sejak kecil, dia bercita-cita tinggi untuk menjadi seorang doktor bertauliah yang menabur bakti kepada negara sendiri.

“Saya sanggup menolak tawaran gaji yang lumayan ketika berada Taiwan malah saya berjauhan dengan suami demi mencapai hasrat untuk berbakti kepada negara.

“Saya cuma mahukan keadilan dan pembelaan kepada anak saya,” katanya dengan nada sayu.