- Iklan -
Berita

Keluarga kehilangan ibu di Sarawak bergelut sambut Hari Raya

Nurul Fariha Abdullah mengambil alih peranan ibunya ketika keluarganya bergelut dengan masalah kewangan tanpa pendapatan tambahan.

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
Nurul Fariha Abdullah melayani adik bongsunya di rumah di Kampung Penan Islam, Bintulu, Sarawak.
Nurul Fariha Abdullah melayani adik bongsunya di rumah di Kampung Penan Islam, Bintulu, Sarawak.

Sejak dua tahun lalu, Nurul Fariha Abdullah, 21, melakukan apa yang dia mampu bagi menjaga tiga saudara kandung yang lebih muda daripadanya.

Setiap pagi, dia akan bangun sebelum subuh bagi menyediakan sarapan untuk mereka dan ayahnya.

Selepas itu, dia akan menyapu dan membersihkan lantai rumah kecil keluarganya di Kampung Penan Islam, Bintulu.

Dia juga akan mengemas dan memastikan semuanya teratur.

Kemudian, dia akan berehat sambil menyiapkan susu kepada adik bongsunya yang berusia empat tahun.

Setelah selesai menguruskan adik, Fariha akan meneruskan kerja-kerja lain di rumahnya.

Demikianlah rutin Fariha sejak ibunya meninggal dunia akibat demam yang teruk dua minggu selepas menyambut Hari Raya – perayaan terakhir mereka sekeluarga bersama ibunya.

Bapa Nurul Fariha, Abdullah As’ari di gerai bakso di hadapan rumahnya. Dia berasal dari Kalimantan, namun telah menetap di Sarawak sejak 30 tahun lalu.

Dua tahun pemergian ibunya, sambutan Hari Raya kali ini menggenangkan air matanya ketika teringat kenangan bersama si ibu.

“Sudah tentu saya tidak gembira sambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini,” katanya ketika ditemu bual MalaysiaNow baru-baru ini.

“Walaupun saya masih ada ayah, kami masih bersedih atas kematian ibu.”

Bagi Fariha, kesukaran yang dihadapinya berganda kerana terpaksa menggalas tugas sebagai ibu kepada tiga adik-beradiknya.

“Sukar,” katanya.

“Kerana saya anak yang paling tua, saya perlu pikul lebih banyak tanggungjawab apabila ibu meninggal dunia.”

Sebelum ibunya meninggal dunia, mereka akan menyambut Hari Raya dan perayaan lain bersama-sama sebagai sebuah keluarga di rumah itu.

Namun kini segalanya berubah tanpa ibu di sisi mereka.

Menjelang Hari Raya tahun ini, kerinduan Fariha kepada ibunya sangat dirasai.

Hatinya pilu melihat keluarga lain dapat menyambut Hari Raya bersama kedua ibu bapa.

“Walaupun sambutan kami sebelum ini bukan secara besar-besaran, saya dan adik-beradik lain sangat gembira,” katanya.

“Kami akan main bersama dan makan hidangan kegemaran kami, seperti kari ayam yang pernah dibuat oleh ibu saya.”

Tahun ini, sambutan Hari Raya mereka mungkin lebih kecil, keluarganya tidak mempunyai lebihan wang untuk dibelanjakan bagi menyambut Raya.

Ketika ibu Fariha masih hidup, wanita itu bekerja sebagai tukang jahit untuk menambah pendapatan isi rumah.

Tanpa pendapatan itu, mereka sekeluarga kini hanya dapat bergantung harap kepada ayahnya yang memperoleh pendapatan dengan menjual bakso.

Ketika ini, pendapatan ayahnya hanya kira-kira RM2,000 sebulan.

Jumlah itu tidak cukup untuk menampung perbelanjaan mereka sekeluarga, lantaran itu, Fariha terpaksa melupakan impiannya untuk menyambung pelajaran.

Dia merasa bertanggungjawab untuk menjaga adik-adiknya di rumah.

“Saya perlu jaga adik dan membantu ayah menjual bakso di hadapan rumah kami,” katanya.

Seorang lagi adiknya turut berusaha untuk membantu menampung kos sara hidup keluarga dan yuran persekolahan dua lagi adik mereka yang lebih muda.

Namun, Fariha tidak berputus asa, cita-citanya untuk menjadi pegawai imigresen suatu hari nanti masih tersemat dalam hati walaupun buat masa ini dia hanya mampu mengharapkan masa depan yang lebih baik untuk adik-adiknya.

“Ayah saya tidak banyak pendapatan ketika ini, hanya cukup untuk bayar bil dan yuran sekolah.

“Saya harap dapat peluang untuk bekerja, supaya dapat bantu ayah,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.