- Iklan -
Berita

‘Raya balas dendam’ selepas 2 tahun terkurung

Pusat beli-belah sibuk menerima kunjungan ramai sementara tempahan hotel meningkat sejak kelonggaran SOP Covid-19 diumumkan oleh kerajaan.

Staff Writers
3 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai berkunjung ke pusat beli-belah untuk membeli persiapan Hari Raya Aidilfitri.
Orang ramai berkunjung ke pusat beli-belah untuk membeli persiapan Hari Raya Aidilfitri.

Sambutan Aidilfitri pada tahun ini dijangka paling meriah selepas rakyat Malaysia terkurung akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) dan sekatan rentas sempadan selama dua tahun berturut-turut untuk mengekang penularan wabak Covid-19.

Di sekitar ibu kota, kemeriahan dan tanda-tanda kemeriahan Syawal sudahpun terpancar dua minggu sebelum sambutan Hari Raya.

Minggu lalu, orang ramai melaporkan kesesakan trafik terutama di tempat-tempat tumpuan membeli belah seperti Jalan Tuanku Abdul Rahman, Shah Alam dan Bangi.

Ini kerana rakyat Malaysia terutamanya yang beragama Islam seolah-olah seperti mahu “membalas dendam” akibat tidak boleh pulang ke kampung, selain menghadapi masalah kewangan rentetan cabaran ekonomi yang melanda.

Tinjauan di Jalan Tuanku Abdul Rahman di Kuala Lumpur mendapati orang ramai sanggup membawa anak-anak kecil untuk membeli-belah walaupun sudah lewat malam.

Ia juga dilihat sebagai satu rahmat kepada peniaga yang terjejas pendapatan dengan teruk sejak dua tahun kebelakangan ini.

Ditambah pula dengan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) rakyat Malaysia dilaporkan mempunyai lebihan RM40 bilion untuk berbelanja tatkala musim perayaan menjelma.

Pengurus operasi Lat’s Collection, Aziz Muhammad berkata, sepanjang PKP jualan baju Melayu ketika musim perayaan merudum sehingga 80% dan terpaksa menghentikan separuh tenaga kerja.

“Tahun lepas kita berniaga juga tapi tak sekuat tahun ini kerana jualan tertumpu kepada orang Kuala Lumpur dan Selangor sahaja. Tapi tahun ini seluruh Malaysia datang beli,” katanya yang membuka gerai jualan di Jalan Tuanku Abdul Rahman kepada MalaysiaNow.

Katanya, peningkatan yang berlaku jauh lebih tinggi berbanding tahun lepas di mana jualannya dalam tempoh seminggu puasa tahun ini mengatasi jualan keseluruhan tahun lepas.

Bagaimanapun, jualannya masih belum mencapai tahap pra pandemik.

“Sebelum 2018, hari Jumaat sahaja kita boleh jual sehingga RM60,000,” katanya.

Selain soal membeli-belah, aspek ibadah pada bulan Ramadan dan suasana Hari Raya turut terkesan dengan pelbagai prosedur operasi standard (SOP).

Solat di masjid contohnya, terpaksa mengambil kira kuota jemaah dan buat pertama kali, saf antara makmum dijarakkan.

Selain itu, pada 2020 ketika wabak Covid-19 masih mengganas, orang Islam melakukan solat tarawih di rumah dan bukan di masjid seperti kebiasaan.

Khutbah Hari Raya turut disampaikan oleh ketua keluarga atau anak lelaki dalam rumah masing-masing, sekali gus menghilangkan kemeriahan dan suasana Aidilfitri.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang sebelum ini memberi jaminan tidak akan menutup sempadan bagi membolehkan perjalanan balik kampung selain turut menggesa rakyat untuk meraikan Aidilfitri kali ini.

Kemeriahan Syawal tidak hanya tertumpu di Semenanjung Malaysia.

Beberapa warga Sarawak turut memeriahkan suasana dengan kembali menjadi “personal shopper” atau pembeli perubadi dan membeli-belah di Kuala Lumpur apabila perjalanan udara dibenarkan.

Bagi Nur Atikah yang berasal dari Kota Samarahan, pembukaan sempadan memberi peluang kepadanya untuk membantu pelanggannya membeli barangan keperluan sambutan Hari Raya Aidilfitri di sekitar bandar raya Kuala Lumpur.

Bercakap kepada MalaysiaNow, dia berkata bersedia membantu pelanggan mendapatkan pelbagai barangan, termasuk sofa, katil atau peralatan memasak, dari kedai perabot Sweden, Ikea yang terkenal di dunia di Kuala Lumpur.

“Ramai yang meminta saya membuat perkhidmatan pembeli peribadi sebagai cara yang lebih mudah untuk membeli barangan runcit, barangan rumah, pakaian, kosmetik dan juga perabot mereka.”

Dengan caj perkhidmatan serendah RM5 setiap item, dia juga menguruskan penghantaran pesanan pelanggannya sehingga ke hadapan pintu rumah.

“Saya sangat seronok melakukan kerja ini dan sentiasa menganggapnya sebagai melegakan tekanan.

“Pergi ke kedai juga sudah menjadi masa saya dan pada masa sama saya mampu menjana wang saku sendiri,” katanya.

Sementara itu, Aleya dari Miri berkata juga pembukaan sempadan menyaksikan permintaan untuk menggunakan perkhidmatan pembeli peribadi meningkat dua kali ganda.

Dia juga berkata pembeli peribadi juga harus bijak menguruskan tempahan yang mereka terima bagi mengelak kesilapan dan memastikan pelanggan berpuas hati dengan perkhidmatan mereka.

“Saya seorang yang sangat teliti dan akan sentiasa mengambil bahagian dalam tinjauan produk untuk membeli barangan berjenama seperti beg tangan, pakaian, aksesori wanita pada harga yang berpatutan. Saya juga akan memaklumkan diri saya tentang kemas kini terkini produk baru di pasaran.

“Dari situ, ramai rakan meminta saya membantu mereka membeli pelbagai barangan berjenama dengan harga lebih murah. Sebagai pembeli peribadi, kami mesti sentiasa memastikan diri kami dikemas kini tentang promosi dan jualan,” katanya.

Orang ramai turut mengambil kesempatan bercuti pada musim perayaan kali ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Hotel Malaysia Yap Yip Seng berkata penambahan kadar langganan (occupancy rate) hotel dijangka meningkat pada Syawal ini kepada 40 hingga 45%.

Kadar itu dijangka lebih tinggi di Melaka dan Pantai Timur semasa musim Aidilfitri, iaitu 60-70%.

“Bagaimanapun, industri menjangkakan rakyat Malaysia bercuti di luar negara memandangkan sempadan sudah dibuka.”