Kampung Muslim Bidayuh teruja hidupkan semula tradisi Hari Raya bersama pelbagai budaya
Walaupun menjadi minoriti di kawasan penduduk beragama Kristian, mereka sentiasa meraikan acara perayaan bersama saudara-mara dan rakan bukan Islam dan menantikan sambutan Aidilfitri bersama pada tahun ini.
Di sebuah rumah panjang di Padawan, kira-kira 70km dari Kuching, ibu negeri Sarawak, sebuah komuniti kecil bersiap untuk menyambut Hari Raya selepas dua tahun sekatan pergerakan akibat wabak Covid-19.
Bagi penduduk Kampung Darul Islam Belimbing, sambutan kali ini amat bermakna kerana ia menjadi saksi kepada hubungan yang kukuh antara agama dengan masyarakat sekeliling mereka.
Terletak di tengah-tengah kawasan majoriti Kristian, komuniti itu adalah satu-satunya kumpulan Muslim Bidayuh di Sarawak yang menyambut Hari Raya.
Kebiasaannya, mereka akan memulakan perayaan dengan solat sunat Aidilfitri di masjid kampung itu.
Kemudian, mereka akan berkumpul baruk, rumah di mana acara dan aktiviti kampung diadakan.
Acara “marhaban” dari pintu ke pintu dimulakan, mereka melawat rakan-rakan dan saudara-mara di rumah panjang 150 pintu itu.
“Sambil bermarhaban, kami mohon maaf daripada saudara-mara kami,” kata penduduk kampung Nur Ashah Hussein kepada MalaysiaNow.
Selama dua tahun, sambutan perayaan sedemikian hanya menjadi memori sahaja.
Pandemik Covid-19 menghalang aktiviti ziarah dan himpunan ramai dilakukan.
Tahun ini, penduduk kampung teruja untuk meraikan Hari Raya bersama sekali lagi, walaupun sambutannya dalam skala yang lebih kecil dan mengikut SOP.
Kira-kira 600 keluarga tinggal di kampung yang diasaskan pada 1968 sebagai kawasan penempatan semula penduduk Islam dari Kampung Kawa Belimbing yang terletak berhampiran.
Pada awalnya, rumah panjang itu hanya memiliki 40 pintu untuk menempatkan tujuh keluarga, ia kemudiannya berkembang kepada 150 pintu.
Setiap tahun, penduduk kampung akan menjemput saudara-mara dan rakan-rakan yang bukan beragama Islam untuk berkunjung ke rumah panjang mereka pada musim perayaan termasuk Krismas dan Gawai Dayak.
Tahun ini, mereka berharap dapat menghidupkan semula tradisi beraya bersama, mengalu-alukan keluarga dan rakan-rakan berkunjung ke rumah panjang sekali lagi.
Mereka merancang perhimpunan sederhana dan kejohanan bola sepak bagi menyambut saudara-mara yang dijangka datang dari Kuching, Sri Aman, Sibu, Miri dan Bintulu, malah ada yang akan pulang dari Johor dan Kuala Lumpur.
“Kami teruja untuk meraikannya bersama keluarga dan rakan rapat kami, tetapi masih perlu patuhi SOP,” kata Nur Ashah.
“Bagi keluarga saya, kami akan meraikannya secara sederhana,” katanya dan menambah dia gembira dapat menyambut Hari Raya sekali lagi.
Dalam pada itu, Ketua Kampung Durrani Bahrum berkata mereka masih mengekalkan budaya Bidayuh walaupun menyambut Ramadan dan Hari Raya.
“Kami masih Bidayuh,” katanya kepada MalaysiaNow.
“Apabila saudara mara ziarah kami pada musim perayaan, kami tidak perlu risau kerana mereka memahami kami.”
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.