- Iklan -
Berita

Raya suram bagi keluarga Rohingya di kampung setinggan

Kehidupan keluarga itu ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Hamidah Sayed Rahman bersama empat anaknya. Dia kematian suami sejak tiga tahun lalu.
Hamidah Sayed Rahman bersama empat anaknya. Dia kematian suami sejak tiga tahun lalu.

Laluan bersimpang-siur menyambungkan rumah-rumah di kawasan berbukit di Kampung Indah Permai, Ampang Jaya, Selangor.

Di salah sebuah lorong, jalan berturap menemui penghujungnya dan bertukar kepada laluan kecil berpagarkan semak-samun.

Hanya motorsikal yang boleh keluar masuk jalan kecil yang menuju ke bawah bukit itu.

Selang beberapa meter, ada tangga curam menuju ke kawasan yang lebih rendah.

Di situ, beberapa rumah setinggan kelihatan.

Setinggan itu dihuni beberapa keluarga pelarian Rohingya.

Salah satunya ialah keluarga Hamidah Sayed Rahman.

Rumah wanita itu paling hampir dengan tangga curam menuju jalan besar.

Di sebelah rumah itu terdapat longkang yang mengalir.

Beberapa ekor ayam yang dibelanya melintas di hadapan rumah.

Bumbung rumah itu dipenuhi daun-daun mati yang gugur daripada pokok berhampiran.

Hamidah dan lima anaknya sudah dua tahun menghuni rumah setinggan itu.

Sejak kematian suaminya tiga tahun lalu, dia mengambil keputusan untuk berpindah.

“Sebelum itu saya tinggal di Kuantan. Suami bekerja sebagai tukang kimpal. Tetapi selepas kematiannya, saya tiada punca pendapatan.

“Saya diberitahu di sini (Lembah Klang) boleh dapat bantuan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Dia boleh berbicara dalam bahasa Melayu walaupun pekat dengan pelat lidah Rohingya.

Seperti mana setinggan-setinggan lain, kawasan itu tidaklah kondusif untuk sebuah kehidupan yang bermaruah.

Sampah sarap menyakitkan mata sesiapa yang berkunjung manakala bau busuk dari longkang itu sentiasa menusuk hidung.

Rumah Hamidah disewa dengan seorang tuan rumah kaum India dengan harga RM400.

Berlantaikan simen dan berdindingkan kayu-kayan, enam beranak itu berkongsi dua buah bilik.

Satu bilik digunakan anak sulungnya, manakala satu lagi diguna untuk solat.

“Saya dan anak-anak lain tidur di ruang tamu.”

Ruang tamu tidak banyak perabot.

Terdapat meja yang digunakan untuk makan dan belajar, selain kerusi untuk berehat.

Sebuah mesin jahit terletak di penghujung ruang tamu menghadap tingkap.

“Sebelum suami meninggal, dialah yang menjaga keperluan kami.

“Kalau musim raya, dia beli barang di pasar, baju dan sebagainya.

“Sekarang sudah berapa tahun kami tidak merasai suasana raya,” katanya.

Berbekalkan kain yang disumbangkan kenalannya, Hamidah yang berusia 44 tahun itu menjahit sendiri baju Melayu untuk anak-anak lelakinya dan pakaian untuk anak perempuan.

“Saya hendak makan pun tiada duit, apatah lagi hendak sambut raya,” katanya.

Ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, Hamidah hanya menerima pendapatan jika menerima panggilan dari tuan rumah di kejiranan terdekat untuk membuat kerja-kerja rumah seperti membasuh atau mencuci rumah.

Bergantung kepada saiz rumah, dia boleh mendapat antara RM30 hingga RM40 untuk sebuah rumah.

Dengan wangnya itu, dia gunakan untuk membayar sewa rumah dan makan minum anak-anaknya.

“Anak-anak kecil saya bersekolah di Sekolah Darul Eslah. Cikgu sekolah itu akan mengambil dan menghantar anak-anak saya kerana saya tiada kenderaan,” katanya.

Ruangan dapurnya kadang tidak berasap.

Keluarganya hanya memenuhkan perut dengan chapati kerana ia murah dan mudah dibuat.

Anak sulungnya yang berusia 16 tahun itu tidak bersekolah, dan hanya menjaga adik-adiknya yang lain.

Di sebalik kemewahan rumah teres dua hingga tiga tingkat yang “mengepung” setinggan itu, dan di sebalik kemeriahan Aidilfitri yang diraikan rakyat Malaysia dengan bersemangat, Hamidah tidak pernah bercuti dari memikirkan nasibnya dan anak-anak.

Tiada lemang, rendang, atau pelita raya buat wanita tersebut.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi
- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.