- Iklan -
Berita

Gelandangan bergaji tetapi tidak berumah

Ramai gelandangan di Kuala Lumpur tidak mempunyai pendapatan yang cukup untuk mendapatkan tempat tinggal yang selesa di ibu kota.

Nur Hasliza Mohd Salleh
4 minit bacaan
Kongsi
Sukarelawan membantu mengukur baju Melayu pada seorang lelaki gelandangan bandar yang berbaris untuk mendapatkan bantuan makanan dan baju Melayu bagi sambutan Aidilfitiri minggu depan.
Sukarelawan membantu mengukur baju Melayu pada seorang lelaki gelandangan bandar yang berbaris untuk mendapatkan bantuan makanan dan baju Melayu bagi sambutan Aidilfitiri minggu depan.

Jam menunjukkan pukul 4.00 pagi, beberapa orang kelihatan sedang lena di depan unit-unit kedai di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur.

Sementara itu, di sepanjang jalan Tun Abdul Razak (TAR) dan Jalan Belia, kelihatan pula barisan panjang gelandangan yang sedang menunggu giliran bagi mendapatkan sumbangan pek makanan dan minuman.

Pada masa sama, seorang gelandangan mahu dikenali sebagai Fuad memulakan harinya dengan menumpang mandi di Masjid Negara.

Kebiasannya, dia akan menyarung pakaian bersih yang dijemur pada lantai kaki lima semalaman di sebelah tempatnya tidur.

Kemudian, dia akan memanaskan enjin motor kapcainya sebelum berangkat ke tempat kerja.

Fuad, yang berusia 53 tahun merupakan seorang lelaki biasa yang masih mempunyai kudrat untuk bekerja.

Siang hari sibuk dengan urusan kerjanya, di malam hari, dia seorang gelandangan.

Fuad merupakan salah seorang daripada kira-kira ribuan gelandangan yang mempunyai krisis memiliki rumah dan kediaman.

Kerja separuh masa sebagai pembantu gerai tidak memberikan Fuad (kiri) pendapatan yang tetap.

Dengan pendapatan bulanan sebagai pembantu di pasar tani, kata Fuad, gajinya sebanyak RM900 sebulan diibaratkan sebagai “cukup makan” dan tidak mampu mendapatkan satu bilik sewa yang selesa untuknya berehat selepas pulang kerja.

“Sudah dua tahun lebih tidur di sini kerana tidak mampu lagi untuk menyewa. Harga semakin tinggi dan bayaran gaji saya tetap sama,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Kini lebih susah sebab perlukan kos minyak motor untuk ke tempat kerja sebelum waktu subuh. Ketika ini tiada pengangkutan awam, saya tak mampu nak tempah e-hailing.”

Setakat 2021, Kuala Lumpur dilaporkan mencatatkan jumlah tertinggi gelandangan dengan peratusan sebanyak 50% daripada kira-kira 2,000 gelandangan.

Diikuti dengan negeri Johor dan Sarawak.

Gelandangan sering dikaitkan dengan naratif negatif mengenai kehidupan mereka.

Pandangan masyarakat terhadap gelandangan sebenarnya tidak tepat.

Mereka ini hanyalah mangsa kepada polisi perumahan yang lemah dan tidak berupaya menaik taraf kehidupan rakyat.

Dengan jumlah pendapatan bawah daripada garis kemiskinan, mereka sememangnya tidak mampu untuk memiliki tempat tinggal yang inklusif walaupun bekerja.

Sebagai contoh, kadar had pendapatan garis kemiskinan (PGK) yang diguna pakai ketika ini ialah pada RM2,208 bagi isi rumah dan bagi miskin tegar RM1,169 setiap isi rumah.

Namun, pendapatan bulanan Fuad, hanya RM900 sebulan.

Sejak pandemik Covid-19 melanda, dianggarkan warga kota yang menjadi gelandangan meningkat sebanyak 20 hingga 30% dan dianggarkan akan meningkat.

Gelandangan dari luar bandar yang bertambah hanya sekitar 5 hingga 7%.

Ini ekoran kesan penutupan sektor ekonomi yang menyaksikan ramai kehilangan kerja dan mata pencarian.

Seperti Fuad, seorang lagi gelandangan yang mahu dikenali sebagai Hisham memilih kaki lima sebagai pilihan terakhir untuk berehat dan tidur di malam hari selepas lebih 12 jam berhempas pulas bekerja sebagai pembantu di kedai makan.

Sebelum ini, Hisham yang juga seorang bujang pertengahan umur selesa menjalani kehidupannya seorang diri di Melaka.

Dengan bayaran gaji mencecah RM2,500 sebulan, beliau selesa menyewa bilik berseorangan dan tinggal serumah dengan rakan sekerja.

Akibat pandemik, semuanya berubah.

Restoran tempatnya bekerja mula timbul konflik-konflik pengurusan dan kewangan yang menyebabkan banyak pekerja berhenti dan diberhentikan serta-merta.

Perkembangan itu membawa Hisham ke ibu kota di mana dia berhasrat untuk mendapatkan kerja sebagai tukang masak di restoran.

Seorang gelandangan wanita mendukung bayinya ketika mendapatkan bantuan makanan dan pakaian dari sukarelawan di Kuala Lumpur.

Namun, faktor usianya hanya membolehkan dia bekerja sebagai pembantu di dapur bahagian belakang kedai.

Dengan pekerjaan itu, dia meraih pendapatan sebanyak RM700 hingga RM900 sebulan.

Kata Hisham, banyak bayaran gajinya ditolak kerana dia hadir lewat ke tempat kerja disebabkan mencari tempat untuk mandi dan menukar pakaian.

“Bila malam susah nak tidur, lepas dapat lelap tak tahu pukul berapa. Pagi, saya bangun kelam kabut nak cari tempat bersihkan diri dan tukar pakaian. Jadi, kadangkala terlewat.

“Sangat berbeza dengan keadaan dulu yang lebih teratur dan selesa untuk bersiap dan rehat,” katanya.

Hisham berada di kawasan Jalan Pudu sejak dua tahun lalu.

Dia berusaha sehabis baik untuk menyesuaikan diri sebagai gelandangan dengan membawa beg galas yang berisi pakaian, selimut dan tuala.

Ada masanya, dia teringin benar mahu merasa duduk di dalam bilik seperti sebelum ini, dia akan menggunakan sedikit duit gajinya untuk menyewa hotel bajet.

“Dapat gaji, kadang-kadang menabung sikit. Beli rokok, sewa hotel bajet satu malam RM70, RM90.

“Perasaan dia dapat mandi puas-puas, rehat sambil hisap rokok. Saya memang nak itu je (pada) umur-umur macam ni.”

Sementara itu, semakan MalaysiaNow di platform iklan jualan dalam talian mendapati kadar bayaran bilik sewa di pusat bandar raya, Pudu dan Setapak yang selalu menjadi tumpuan dan sasaran golongan ini amat tinggi.

Bilik sewa paling murah pada bayaran RM300 dan wang pendahuluan serendah RM1050.

Jika diteliti, golongan ini memang boleh mencapai taraf kehidupan yang lebih baik sekiranya terdapat pihak yang bijak mengendalikan polisi dan advokasi mengenai isu sewaan bilik serta kediaman.

Dengan kadar gaji seperti Fuad dan Hisham, mereka boleh mencari bilik sewa di kawasan yang lebih murah seperti di Cheras, Kepong dan Ampang dengan kadar sewa bilik kongsi serendah RM150.

Lokasi-lokasi ini juga mudah diakses dengan pengangkutan awam untuk mereka pergi bekerja.

Tetapi, menjadi satu permasalahan apabila mereka tidak tahu untuk mencari bilik-bilik ini disebabkan kekangan teknologi dan maklumat.

Tidak semua gelandangan memiliki telefon bimbit untuk akses kepada internet.

Mereka perlu diberitahu dan dibantu.

Kedua, MalaysiaNow dimaklumkan golongan ini sering ditipu apabila menyewa bilik oleh pihak yang tidak bertanggungjawab apabila mereka didapati menyewa atas sewaan orang lain.

Bilik yang asalnya disewa oleh individu A dengan harga RM200 disewakan kepada gelandangan dengan harga RM400.

Taktik penipuan ini seringkali berlaku kepada mana-mana gelandangan yang baru sahaja tiba di ibu kota dan tidak menyedari diri mereka ditipu.

Akhirnya, duit wang simpanan dijadikan wang pendahuluan tidak dapat diganti, mereka pula dihalau tuan rumah dan memilih untuk berada di jalanan.

Akta Sewa sepatutnya boleh menjadi perisai kepada golngan ini.

Bagaimanapun di Malaysia, regulasi ini masih di peringkat perbincangan sejak bertahun lamanya.

Penipuan, dihalau keluar dan keterdesakan kewangan ini menyebabkan ramai gelandangan akhirnya ke kancah jenayah seperti mengedar dadah dan pil khayal selain mencuri barangan milik gelandangan lain untuk dijual.

Ayie, pemuda berusia 29 tahun menjadi gelandangan sejak usia 14 tahun.

Dia pernah dipenjara selama lima tahun dan satu sebatan atas kesalahan memiliki pil kuda untuk dijual.

Selepas keluar dari pusat tahanan, dia masih di jalanan tetapi hidupnya kini lebih selesa kerana berjaya mendapat pekerjaan di sebuah kedai gambar dengan gaji sebanyak RM800.

“Bilik boleh cari tapi kalau ambil bilik, tak boleh ambil motor ansurans di kedai. Susah nak pergi kerja.

“Saya fikir, lebih baik tidur sahaja di sini dengan kawan-kawan dan beli motor untuk bergerak dan buat kerja sampingan seperti runner kedai makan,” katanya.