- Iklan -
Berita

Bersediakah Malaysia berdepan krisis makanan?

Persoalan ini timbul ketika perang di Ukraine masih berterusan di mana bekalan makanan turut terjejas di seluruh dunia.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Kurang minat dalam kalangan orang muda  menjadi antara halangan dalam meningkatkan sektor pertanian negara.
Kurang minat dalam kalangan orang muda menjadi antara halangan dalam meningkatkan sektor pertanian negara.

Ketika masih kecil, sudah menjadi rutin Mohamad Afifuddin Zahlan mengikut bapanya turun ke bendang sawah.

Dia sudah terbiasa dengan kerja-kerja di bendang.

Selut, lumpur dan pacat bukan perkara asing bagi anak pesawah itu.

Namun, selepas tamat persekolahan dia tidak lagi turun ke bendang.

Bekerja dalam bidang swasta, Afifuddin dan tiga lagi adik-beradiknya sudah tidak meneruskan pertanian yang diwarisi keluarga mereka sejak turun-temurun.

Ayahnya yang kini menginjak usia 70 tahun tidak mempunyai kudrat untuk mengusahakan sawah dan hanya mampu menyewakan 12 ekar lot sawahnya kepada orang lain.

“Kalau padi terkena penyakit atau serangan serangga perosak, pulangannya tidak berbaloi. Lagipun sukar hendak mencari tenaga buruh untuk kerja-kerja sawah,” katanya kepada MalaysiaNow.

Afifuddin yang berusia pertengahan 40-an antara generasi anak pesawah yang sudah tidak lagi mengerjakan bendang warisan keluarganya.

Bapa Afif mewarisi 12 ekar tersebut daripada datuknya yang dahulu mempunyai 30 ekar sawah sebelum dibahagikan antara adik-beradik bapanya selepas kematian datuk.

Kekurangan minat generasi muda antara faktor sektor pertanian tempatan berdepan masalah untuk mencapai tahap sara diri.

Tahap sara diri merujuk kepada keupayaan negara menghasilkan produk makanan yang mencukupi bagi memenuhi keperluan domestik.

Ketika krisis perang antara Ukraine dengan Rusia masih tidak menunjukkan tanda-tanda reda, Program Makanan Sedunia (WFP) memberi amaran krisis makanan yang bakal melanda dunia.

Krisis itu, menurut agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tersebut, mengakibatkan gangguan dalam pengeluaran dan eksport yang menjejaskan keselamatan makanan secara global.

Ketika zaman pentadbiran Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri keempat, tumpuan diberikan ke arah industri berat dan pemodenan sehingga aspek pertanian tidak dianggap penting atau menarik.

Sebelum ini, MalaysiaNow pernah melaporkan mengenai dasar penggunaan tanah dan kegagalan memajukan industri padi sebagai antara punca Malaysia ketinggalan dalam soal keselamatan makanan, dan mengakibatkan generasi petani seterusnya tidak lagi berminat untuk meneruskan aktiviti pertanian.

Kini persoalan timbul mengenai kesediaan Malaysia dalam soal keselamatan makanan sekiranya krisis tersebut memburuk.

Bercakap kepada MalaysiaNow, pakar ekonomi dari Malaysia University of Science and Technology, Geoffrey Williams berkata, Malaysia mungkin tidak bersedia secukupnya ekoran negara masih mengimport 60% keperluan makanan.

Menurut statistik, Malaysia hanya menghasilkan 46% sayur-sayuran, 70% beras, 61% buah-buahan dan 25% daging dan 11% daging kambing pada 2019.

“Sebahagian besar masalahnya ialah regulasi dan permit import. Sudah tentu kita perlu mengawal selia kualiti, kesihatan dan keselamatan, namun membuka pasaran makanan penting untuk mengubah bekalan dan harga,” katanya.

Williams berkata, isu monopoli dan kartel yang terhasil daripada konsesi dan lesen mengehadkan lagi pasaran domestik, yang memberi kesan kepada beras, gula dan makanan asas lain.

Ia sekali gus mengakibatkan harga lebih tinggi daripada yang sewajarnya.

Katanya, kerajaan wajar memikirkan langkah deregulasi dan membuka pasaran makanan bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Pengarah Eksekutif Third World Network Chee Yoke Ling pula bersetuju bahawa Malaysia tidak bersedia untuk menghadapi krisis makanan global.

Katanya, walaupun kerajaan wajar berdepan dengan keperluan penghasilan makanan domestik, penggunaan tanah dan polisi agrikultur terus menyebelahkan eksport komoditi, selain gagal menghargai peranan petani kecil yang menyediakan beras, sayur-sayuran dan buah-buahan.

“Di mana petani berhaya mengeksport hasil mereka, kita melihat kemusnahan tanah pertanian untuk memberi laluan kepada pembangunan dan industri.

“Contohnya di Perak, yang mana pemaju swasta diberikan tanah negeri yang telah diusahakan selama berdekad-dekad musnah dalam masa beberapa hari,” katanya.

Pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu turut mendedahkan kelemahan Malaysia apabila rantaian bekalan makanan terganggu.

Selain itu, isu seperti perubahan iklim kerap memberikan kesan terhadap penghasilan makanan dunia.

Ia bermakna negara-negara yang mengeksport makanan boleh menghentikan eksport bagi memenuhi keperluan domestik.

Contohnya, apabila Indonesia mengharamkan eksport minyak sawit yang menyaksikan pengguna di beberapa negara yang bergantung kepada minyak sawit negara itu berada dalam keadaan tertekan dengan kenaikan harga komoditi tersebut.

Selain kekurangan tenaga buruh, penggunaan tanah yang menyebelahi tanaman kelapa sawit berbanding tanaman ruji seperti beras antara halangan mengapa Malaysia sukar mencapai tahap sara diri produk-produk lain.

Terdahulu, bekas menteri industri utama, Teresa Kok pernah mencadangkan tanaman buluh bagi menggantikan sawit.

Bagi Williams, harga minyak sawit yang sedang melambung pada masa sekarang menyukarkan tindakan menukar tanaman sawit kepada tanaman-tanaman lain.

“Malaysia mempunyai tanah yang cukup untuk kelapa sawit dan agrikultur tetapi insentif dalam industri agrikultur terlalu sedikit akibat masalah pelesenan, konsesi dan halangan kepada akses pasaran.

“Ini mesti diperbetulkan sebelum memikirkan mengenai penggunaan tanah,” katanya.

Bagi Chee pula, idea menghentikan penggunaan tanah untuk kelapa sawit merupakan idea yang baik untuk mengekalkan alam sekitar, kawasan hutan dan tadahan hujan.

“Ia idea yang baik juga untuk menukar sebahagian tanaman kelapa sawit sedia ada untuk menghasilkan tanaman untuk tujuan makanan.

“Sama pentingnya tindakan menghentikan kemusnahan ladang dan tanaman untuk tujuan pembangunan hartanah yang boleh dibangunkan di tempat lain,” katanya.