- Iklan -
Berita

‘Macam ikan sardin dalam tin’: Bekas banduan gambarkan pengalaman ‘tidak berperikemanusiaan’ di penjara Singapura

Laporan Transformative Justice Collective berkata kecuaian dalam pengawasan menjadi punca berlaku penderaan, isu kesihatan mental dan penafian hak asasi.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Sebuah gambar menunjukkan seorang pengawal pagar penjara bersenjata di Penjara Changi, Singapura. Gambar: AFP
Sebuah gambar menunjukkan seorang pengawal pagar penjara bersenjata di Penjara Changi, Singapura. Gambar: AFP

Sebuah Laporan oleh sebuah kumpulan hak asasi manusia memberikan sedikit gambaran mengenai keadaan yang berlaku di penjara Singapura, di mana sejak kebelakangan ini menjadi tumpuan antarabangsa berikutan pelaksanaan hukuman mati terhadap keldai dadah menyaksikan seorang banduan kurang upaya (OKU) mental, Nagaenthran K Dharmalingam digantung sampai mati walaupun menerima bantahan ramai.

Dalam laporan yang bertajuk “‘You Don’t See the Sky’: Life Behind Bars in Singapore”, The Transformative Justice Collective (TJC) mewawancara 36 bekas banduan yang terdiri daripada 27 lelaki, lapan wanita dan seorang wanita transgender.

Majoriti responden berasal daripada etnik Melayu atau India.

Lebih separuh daripada mereka pernah berada di pusat pemulihan dadah di Singapura, selain “sebilangan besar” menjalani hukuman penjara kerana kesalahan berkaitan dadah.

Responden ditanya mengenai keadaan dalam penjara, bagaimana mereka dilayan dalam lingkungan sistem penjara, dan perasaan mengenai kedua-dua perkara itu.

Laporan tersebut menyifatkan sistem penjara di Singapura sebagai “sangat ketat”, selain keadaan sel yang serba kekurangan dan tidak berperikemanusiaan.

Salah seorang banduan berkata mereka dimasukkan ke dalam sel yang sempit secara beramai-ramai “seperti ikan sardin dalam tin” di mana empat banduan diletakkan di sel yang berukuran kira-kira 2.5m X 2.5m, termasuk ruang untuk tandas.

“Mereka (banduan) tidur di atas lantai simen yang keras dan hanya diberi tikar nipis untuk berbaring. Ruang hampir tidak cukup antara penghuni sel untuk tidur berbaring,” kata laporan itu.

Keadaan yang digambarkan dalam laporan ini adalah tidak selari dengan garis panduan yang dikeluarkan sebuah organisasi Britain, Association for the Care and Resettlement of Offenders.

Ia juga turut dilihat bercanggah dengan Peraturan Mandela yang menetapkan piawaian beberapa aspek termasuk saiz sel tahanan, penghunian, tempat tidur, pencahayaan dan pengudaraan.

Laporan TJC juga mendakwa penjara di Singapura turut mengamalkan apa yang disifatkan sebagai “hukuman di luar undang-undang” seperti rotan, pengasingan, dan dinafikan untuk berada di kawasan lapang penjara.

“Banduan tidak dibenarkan bersenam di dalam sel, sementara hak (mereka) untuk melakukan aktiviti-aktiviti seperti kaunseling, lawatan keluarga, program kerja dan rekreasi tidak dijamin,” tambahnya.

Menurut laporan itu, kemudahan seperti pengudaraan dan kipas juga tidak disediakan.

Ramai responden turut memberitahu TJC bahawa kekurangan ruang, ketiadaan rangsangan mental dan tidur yang terganggu menyebabkan mereka mengalami perasaan “hendak jadi gila”.

Seorang bekas banduan juga turut menggambarkan keadaannya kesihatan mental yang merosot dan mempersalahkan oleh keadaan dalam sel.

“Kadang-kadang apa yang anda perlukan adalah tempat untuk menangis, dan melepaskan emosi. Di penjara, perkara itu adalah mustahil,” katanya.

Seorang lagi responden berkata rasa kecewa dan sentiasa gelisah dalam ruang kurungan sering menyebabkan berlaku pergaduhan dalam kalangan banduan.

Laporan itu juga memetik beberapa keadaan di mana komunikasi antara banduan dengan peguam mereka dihantar ke Jabatan Peguam Negara.

TJC berkata sistem penjara Singapura gagal memenuhi objektif untuk usaha pemulihan dan penjagaan banduan, selain turut mengkritik mengkritik kempen insititusi itu yang dikatakan akan memberi lebih banyak peluang kepada bekas banduan.

“Naratif kerajaan berhubung tahanan penjara, termasuk Yellow Ribbon Project – yang hanya mempamerkan kisah kejayaan individu yang dipulihkan – tidak memasukkan pengalaman mereka yang trauma dan didera dalam sistem yang menunjukkan sifat menjatuhkan maruah dan hak banduan,” katanya.