- Iklan -
Berita

Anak diktator Filipina menang besar pilihan raya presiden

Kemenangan Marcos Jr bakal mengubah nasib keluarganya yang terbuang selepas bapanya digulingkan berikutan revolusi yang tercetus di negara itu pada 1986.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Penyokong calon presiden Ferdinand Marcos Jr meraikan keputusan tidak rasmi di ibu pejabatnya di Manila pada 9 Mei. Gambar: AFP
Penyokong calon presiden Ferdinand Marcos Jr meraikan keputusan tidak rasmi di ibu pejabatnya di Manila pada 9 Mei. Gambar: AFP

Anak kepada diktator Filipina, Ferdinand Marcos Jr berjaya memperoleh kemenangan besar dalam pilihan raya presiden negara itu, menyaksikan rata-rata pengundi tidak mengendahkan amaran kedudukannya sebagai presiden mungkin memberi risiko terhadap demokrasi negara itu.

Dengan lebih 90% undi dalam kiraan awal, Marcos Jr, 64, yang dikenali sebagai “Bongbong”, sudah melepasi jumlah undi 27.5 juta yang diperlukan untuk memperoleh majoriti lebih sekali ganda berbanding saingannya, Leni Robredo.

Keputusan tidak rasmi itu juga dilihat bakal mengembalikan keluarga itu ke tampuk kuasa, selepas 36 tahun mereka terpaksa hidup dalam buangan susulan kebangkitan “kuasa rakyat”.

“Saya harap anda tidak penat untuk terus mempercayai kami. Ada banyak perkara yang akan dilaksanakan,” kata Marcos Jr menerusi Facebook.

Pada 1986, bapa Marcos Jr dan ibunya Imelda Marcos dibuang negara ekoran revolusi yang tercetus di negara itu.

Marcos Jr memperoleh hampir 30 juta undi, lebih dua kali ganda berbanding Naib Presiden Filipina, Leni Robredo, dengan 93.8% undi sudah selesai dikira, berdasarkan keputusan tidak rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya Filipina.

Kempen Marcos Jr dilihat banyak menyembunyikan keadaan sebenar pemerintahan era rejim diketuai keluarganya.

Selain itu, kempen beliau turut mendukung dasar Presiden Rodrigo Duterte, yang terus mengekalkan sokongan popular yang meluas.

Aktivis hak asasi manusia, pemimpin Katolik dan penganalisis politik memberi amaran dasar pentadbiran Marcos Jr mungkin lebih keras jika beliau menang dengan margin yang besar.

Semasa menyampaikan ucapan lewat malam dari ibu pejabat kempennya di Manila, Marcos jr mengucapkan terima kasih kepada sukarelawan atas “pengorbanan dan kerja” yang memakan jangka masa beberapa bulan.

Bagaimanapun beliau tidak mendakwa telah memenangi pilihan raya, mengatakan bahawa “kiraan undi masih belum selesai”.

“Mari kita tunggu sehingga ia sangat jelas, sehingga kiraan mencapai 100% barulah kita boleh meraikannya.”

Di luar, penyokongnya menyalakan bunga api, mengibarkan bendera negara dan membunyikan hon kenderaan tanda meraikan kemenangan.

Kadar peratusan keluar mengundi pada pilihan raya presiden Filipina adalah sekitar 80%.

Keputusan rasmi pilihan raya itu dijangka diumumkan sekitar hujung bulan ini.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.