Gelandangan yang merupakan bekas askar wataniah kini mendapat sinar baru dalam hidup apabila mendapat keluarga angkat baru dan mempunyai tempat tinggal tetap di Klang, Selangor.
Sebelum ini, Ruslan (bukan nama sebenar) biasanya bangun pagi di kaki lima apabila dikejutkan riuh kedai-kedai di ibu negara membuka operasi mereka.
Namun kini, dia bangun pagi bersama ciapan burung yang memulakan pagi, mengemas tempat tidur dan membersihkan diri.
Setiap pagi, Ruslan akan duduk bersarapan bersama ibu dan bapa angkatnya.
Mereka ialah sepasang suami dan isteri warga emas yang tinggal di sebuah taman perumahan di Klang, Selangor.
Sebelum ini, MalaysiaNow melaporkan keadaan Ruslan yang hidup sebatang kara di sekitar Kuala Lumpur sejak lebih kurang empat tahun lalu selepas ditamatkan perkhidmatan dalam unit wataniah kerana disahkan menghidap penyakit radang paru-paru tahap tiga.
Kehidupannya berubah kerana tidak lagi mampu bekerja dan menabur bakti dalam pasukan.
Dia hanya bergantung hidup dengan bayaran pencen ilat sebanyak RM450 sebulan.
Semuanya berubah, apabila anak perempuan kepada pasangan suami isteri berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Lily membaca berita mengenai Ruslan pada hari kedua Aidilfitri.
Mereka berazam untuk mengambil Ruslan sebagai keluarga baru mereka sekali gus tinggal bersama Pak Cik Subari, 81, dan Mak Cik Zainab, 79.
Pertemuan pertama kali kedua-dua pihak antara Ruslan dan Lily amat menyentuh perasaan.
Buat pertama kali, MalaysiaNow melihat wajah Ruslan di sebalik pelitup muka.
Dia amat pemurah dengan senyuman.
Kedua-dua mereka dilihat amat mesra berbual dan mengenali antara satu sama lain meskipun baru pertama kali berjumpa.
Gelak tawa diselangi pelbagai topik perbualan merancakkan lagi pertemuan itu.
Pada hari sama, Ruslan dibawa pulang oleh Lily dan suaminya ke rumah secara “rasmi” sebagai ahli keluarga baru mereka.
Lawatan MalaysiaNow ke rumah baru Ruslan pada Isnin mendapati dia kelihatan sangat ceria dan mesra dengan keluarga barunya.
“Kamu dah jadi anak aku, tak payah pergi mana-mana lagi,” kata Pak Cik Subari kepada Ruslan yang membalas kata-kata itu dengan mengukir senyuman lebar.
MalaysiaNow dimaklumkan, Ruslan turut diberikan gaji yang berpatutan kerana sudi menemani pasangan warga emas itu dan elaun pengangkutan untuknya berulang alik ke klinik.
“Setakat ini, anak lelaki saya menjadi kawan Ruslan.
“Sambil-sambil itu dia menerangkan serba sedikit tentang urusan rumah dan kawasan sekeliling kepada Ruslan supaya dia tidak berasa kekok dan boleh menyesuaikan diri,” kata Lily.
Sejak bersama keluarga baru, Ruslan berkata dia sudah dibawa keluarga angkatnya ke pusat membeli belah, restoran dan bermacam-macam tempat lain untuk bersiar-siar.
Perkembangan itu, katanya, membuatkannya berasa seperti mendapat hidup yang baru selepas sekian lama menjalani hidup tanpa arah tuju yang jelas.
Katanya lagi, dia sangat bersyukur dengan kehidupannya sekarang yang disifatkan sebagai lebih teratur, selesa dan didampingi dengan kasih sayang oleh ahli-ahli keluarga barunya.
Dia turut berkongsi berita baik bahawa rawatan susulannya di Klinik Kesihatan Tanglin juga dalam proses pemindahan ke Hospital Tunku Ampuan Rahimah, Klang.
“Impian dan harapan saya untuk dapatkan rawatan susulan dengan pakar supaya boleh kembali sembuh seperti sedia kala.
“Hasrat saya supaya dapat terus bersama dengan keluarga angkat dan menemani mereka sehingga akhir nyawa.”
Sebelum pulang, Ruslan sempat menyampaikan pesanan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang sudi dan prihatin terhadapnya nasibnya sebelum ini.
Sementara itu, Lily pula berasa senang hati dan seronok melihat kedua-dua ibu bapanya yang tidak lagi sunyi dan bersendirian di rumah.
Katanya, sejak kehadiran Ruslan ke rumah itu, ayahnya semakin ramah dan rajin untuk bersembang berbanding sebelumnya.
“Kami sekeluarga akan bimbing dan jaga Ruslan sebaik mungkin dan terdaya yang kami mampu.
“Tiada lagi isu mengenai masa lalunya, sekarang, dia adalah sebahagian daripada kami.”
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.