- Iklan -
Berita

KPDNHEP teliti isu kelewatan penerbangan AirAsia

Alexander Nanta Linggi berkata kementerian pengangkutan dan Mavcom perlu lebih proaktif dalam menyelesaikan rungutan dan aduan ramai penumpang AirAsia.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Rungutan dan aduan isu kelewatan penerbangan AirAsia tular telah mendapat perhatian KPDNHEP dan siasatan sedang dilakukan.
Rungutan dan aduan isu kelewatan penerbangan AirAsia tular telah mendapat perhatian KPDNHEP dan siasatan sedang dilakukan.

Menteri kementerian perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna (KPDNHEP) berkata pihaknya meneliti isu kelewatan penerbangan syarikat tambang murah AirAsia sekali gus menggesa kementerian pengangkutan (MOT) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) mencari jalan penyelesaian berhubung isu tersebut.

Dalam sebuah bebenang ciapan Twitter, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi berkata, walaupun isu tersebut berada di bawah bidang kuasa MOT, namun beliau berkata pihaknya akan campur tangan kerana ia turut terkait dengan hak pengguna.

“Selepas mengumpulkan keluhan, rungutan dan aduan pengguna (penumpang) mengenai isu kelewatan penerbangan AirAsia.

“Pihak saya membuat penelitian awal (dari segi kepentingan pengguna mengikut bidang kuasa KPDNHEP) dan terus menghubungi pengurusan AirAsia bagi mendapatkan maklum balas lanjut,” katanya.

Menurut Alexander, usaha merungkai masalah berkait syarikat itu perlu dibuat secara teratur bagi memastikan penyelesaian menyeluruh dapat dirangka dan dilaksanakan.

“Tiada ‘sembang kari’, cakap tak serupa bikin, ‘siasat dan siasat’ atau sekadar berpeluk tubuh dalam isu ini.

“Saya mendesak supaya MOT dan Mavcom untuk lebih proaktif serta tampil untuk mencari penyelesaian terbaik berhubung isu ini,” katanya.

Terdahulu, ramai penumpang AirAsia meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial apabila pesawat yang telah dijadualkan untuk berlepas diumumkan akan ditangguh daripada masa yang telah ditetapkan.

Ekoran kelewatan tersebut, ramai penumpang terpaksa menunggu lama di lapangan terbang sehingga memakan masa beberapa jam.

AirAsia turut dilaporkan membuat penjadualan semula bukan hanya sekali, bahkan berulang kali bagi penerbangan yang sama.

Selain itu, Alexander berkata isu kelayakan pengguna mendapatkan pampasan sekiranya mengalami kelewatan penerbangan sebegini turut dibangkitkan.

Katanya, beliau meminta AirAsia menyediakan carta aliran mengenai proses memfailkan aduan rasmi bagi mendapatkan pampasan.

“Bagaimanapun pampasan berkenaan tertakluk kepada kepada garis panduan ditetapkan Mavcom sebagai agensi kawal selia dalam isu ini,” katanya.

“Saya juga dimaklumkan bahawa AirAsia akan memberikan maklum balas lengkap terhadap isu yang diketengahkan pengguna menerusi KPDNHEP, dalam tempoh 24 jam ini.”

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.