- Iklan -
Berita

Kehidupan penumpang AirAsia ‘huru-hara’ akibat penangguhan jadual penerbangan

Ada penumpang yang terpaksa menyambut Raya pada hari kedua, sementara dua remaja sampai ke rumah mereka dua jam sebelum sesi persekolahan bermula.

Azzman Abdul Jamal
3 minit bacaan
Kongsi
Keadaan klia2 pada 30 April yang dipenuhi penumpang untuk pulang ke berhari raya. Ramai yang menyuarakan ketidakpuasan hati mereka dengan cara AirAsia mengubah jadual penerbangan pada saat akhir.
Keadaan klia2 pada 30 April yang dipenuhi penumpang untuk pulang ke berhari raya. Ramai yang menyuarakan ketidakpuasan hati mereka dengan cara AirAsia mengubah jadual penerbangan pada saat akhir.

Selepas sebulan berpuasa, Yadawwiyyah Samani, 40 teruja menunggu kepulangan anak sulungnya yang bekerja di ibu negara untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri di Johor Bahru bersama ahli keluarga lain.

Oleh kerana tidak sabar untuk bertemu anaknya, Abdullah Aiman Abdul Ghaffar, 20, Yadawwiyyah membelikan tiket penerbangan dari Kuala Lumpur ke Johor pada harga RM104, dan penerbangan itu dijadualkan berlepas pada jam 1.30 petang, 2 Mei lalu.

Bagaimanapun, sebaik tiba tarikh penerbangan anaknya itu, detik bahagia yang dinanti-nantikan itu kemudian bertukar menjadi satu pengalaman yang tidak akan dilupakan dirinya sekeluarga.

Yadawwiyah berkata anaknya tiba di kaunter daftar masuk AirAsia di KL Sentral seawal jam 10.30 pagi, namun dia dimaklumkan oleh petugas di kaunter tersebut supaya melakukan proses itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Katanya, sebaik Aiman tiba ke bahagian kaunter daftar masuk di klia2, dia terkejut apabila melihat keadaan di situ sesak dan dipenuhi orang ramai yang sedang beratur menunggu giliran.

“Aiman terpaksa beratur bermula jam 11.30 pagi dan ia mengambil masa sehingga 1.00 tengah hari untuk menunggu gilirannya,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Saya terkejut apabila Aiman memaklumkan jawapan petugas kaunter bahawa dia tidak boleh menaiki pesawat kerana sudah terlambat.”

Menurut Yadawwiyyah, Aiman kemudian diminta pergi ke sebuah kaunter khas yang menguruskan masalah yang dihadapinya, malah dia perlu beratur sehingga dua jam sebelum berkesempatan bercakap dengan petugas di kaunter itu.

“Pada ketika ini, saya tiada pilihan selain memandu ke klia2 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai untuk mengambil anak saya,” katanya dan menambah dia tiba ke klia2 pada jam 4.30 petang.

“Dalam perjalanan, saya berhubung dengan seorang pegawai perkhidmatan pelanggan mewakili AirAsia untuk menuntut bayaran balik dan dia memaklumkan bahawa syarikat itu akan menguruskannya.”

Mengulas lanjut, Yadawwiyah mengakui dia tidak mampu lagi menahan sabar dan terus memarahi petugas di kaunter AirAsia selain meminta penjelasan berhubung insiden yang dihadapi anaknya.

“Kami tunggu di klia2 sampai ke Maghrib tetapi tiada penjelasan yang munasabah, malah ramai dalam kalangan penumpang di situ saling berkongsi pengalaman masing-masing.

“Keadaan ini sangat mengecewakan. Kami terus beredar pulang dan sampai ke rumah pada jam 2.00 pagi kerana saya memandu perlahan dan singgah ke beberapa tempat untuk makan,” katanya.

Disebabkan insiden itu, Yadawwiyyah berkata, dia dan keluarganya terpaksa sambut Aidilfitri pada hari raya kedua.

Keselamatan

Sementara itu, William Cheah dari Semporna menyifatkan pertukaran masa penerbangan oleh AirAsia sebagai “menyusahkan” kerana waktu penerbangan yang dipilihnya adalah bersebab.

Dia berkata, tarikh penerbangan yang ditempah pada 9 Mei, pada mulanya dijadual berlepas pada jam 3.40 petang, sebelum ia ditunda kepada 11.30 malam.

“Saya pilih waktu itu adalah kerana faktor keselamatan. Penerbangan ini adalah untuk dua gadis remaja bawah jagaan kami berusia 17 dan 14 tahun,” katanya ketika dihubungi MalaysiaNow.

Cheah berkata, mereka berada di Semporna, Sabah kerana bercuti dan melakukan kerja-kerja khidmat masyarakat.

“Masalah utama yang kami hadapi bertolak ke lapangan terbang pada waktu malam kerana keadaan jalan dari Semporna ke Tawau agak membimbangkan pada waktu malam,” katanya.

“Malah, penjaga sah mereka yang merupakan seorang ibu tunggal terpaksa mengambil mereka di Kuala Lumpur pada jam 4 pagi seorang diri dan keadaan ini amat membimbangkan.”

“Sebab itu kami pilih penerbangan pada jam 3 petang.”

Tambah Cheah, walaupun dimaklumkan penerbangan dua gadis itu ditunda sehingga jam 11.30 malam, pesawat mereka sebenarnya tiba pada jam 1 pagi.

“Mereka selamat sampai ke rumah pada jam 5 pagi, tetapi anak sulungya itu harus pergi ke sekolah dua jam kemudian,” tambahnya.

Sementara itu, usaha MalaysiaNow mendapatkan maklum balas AirAsia berhubung isu ini masih tidak berjaya apabila pihak syarikat tersebut belum memberikan maklum balas.

“Kami akan maklumkan sekiranya ada perkembangan,” kata jurucakap AirAsia kepada MalaysiaNow.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) semalam berkata pihaknya sedang menyiasat syarikat penerbangan yang membuat perubahan jadual penerbangan tanpa memberi notis yang mencukupi, selepas menerima pelbagai aduan daripada penumpang sepanjang tempoh perayaan.

Mavcom berkata pihaknya sudah mengarahkan syarikat-syarikat penerbangan untuk menyerahkan semua data berhubung gangguan jadual penerbangan dari 29 April hingga 9 Mei 2022.

Suruhanjaya itu turut berkata sekiranya penerbangan yang dijadualkan semula tidak memenuhi tujuan perjalanan pengguna, bayaran balik tiket perlu dibuat oleh syarikat terlibat.

Isu tersebut mendapat perhatian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi di mana beliau menggesa kementerian pengangkutan dan Mavcom mencari penyelesaian segera terhadap isu berkait AirAsia tersebut.

Sementara AirAsia dalam sebuah kenyataan telah memohon maaf kepada penumpang yang mengalami kesulitan akibat penjadualan semula beberapa penerbangan akibat peningkatan permintaan mendadak pada musim perayaan Aidilfitri tahun ini.