- Iklan -
Berita

Rakyat Malaysia di Sri Lanka dinasihatkan sentiasa waspada, patuhi undang-undang

Rakyat Malaysia yang merancang ke negara itu turut dinasihatkan menangguhkan perjalanan mereka sehingga perintah berkurung ditarik balik di negara itu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Sri Lanka kini bergolak akibat krisis ekonomi yang melanda negara itu sehingga menyebabkan Perdana Menteri Mahinda Rajapaksa meletakkan jawatan. Gambar: AFP
Sri Lanka kini bergolak akibat krisis ekonomi yang melanda negara itu sehingga menyebabkan Perdana Menteri Mahinda Rajapaksa meletakkan jawatan. Gambar: AFP

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Sri Lanka menasihatkan rakyat Malaysia di negara itu sentiasa berwaspada dan mematuhi peraturan serta undang-undang ditetapkan susulan situasi keselamatan di Sri Lanka.

Dalam temu bual menerusi emel dengan Bernama, menurut suruhanjaya tinggi dalam situasi sekarang rakyat Malaysia dinasihatkan untuk sentiasa berada di rumah masing-masing.

“Bagi rakyat Malaysia yang merancang ke Sri Lanka, mereka harus mempertimbangkan menangguhkan perjalanan sehingga perintah berkurung ditarik balik. Ini bagi mengelakkan kesulitan semasa ketibaan di Sri Lanka,” menurut suruhanjaya tinggi itu.

Setakat ini terdapat 85 rakyat Malaysia berdaftar dengan suruhanjaya tinggi di Colombo.

Kebanyakannya bekerja di Sri Lanka serta ahli keluarga mereka dan yang berkahwin dengan warga tempatan, sebahagian besar menetap di Colombo.

Pihak suruhanjaya tinggi turut menyediakan pelbagai platform seperti Whatsapp, Facebook dan Twitter untuk memudahkan komunikasi dengan rakyat Malaysia.

“Kami sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan kepada mana-mana rakyat Malaysia yang dalam kesusahan,” menurut suruhanjaya tinggi itu.

Suruhanjaya tinggi memaklumkan bahawa keadaan ekonomi Sri Lanka saat ini adalah kritikal kerana barangan keperluan seperti bahan api, gas memasak, ubat-ubatan dan barangan makanan tertentu tiada di pasaran.

Selain itu, menurut suruhanjaya tinggi setakat ini syarikat Malaysia yang beroperasi di Sri Lanka tidak terjejas teruk.

Pelaburan Malaysia di Sri Lanka kebanyakannya dalam sektor seperti telekomunikasi, teknologi maklumat (IT), kewangan, pembuatan pelincir dan perdagangan am. Jumlah pelaburan Malaysia di Sri Lanka adalah sekitar AS$2.6 bilion.

Pada Isnin Perdana Menteri Mahinda Rajapaksa mengumumkan peletakan jawatannya.

Sri Lanka yang didiami kira-kira 22 juta penduduk, kini bergelut dengan krisis eknomi yang disifatkan terburuk sejak memperoleh kemerdekaan pada 1948.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.