- Iklan -
Berita

Tentera Israel tembak mati wartawan veteran Al Jazeera di Tebing Barat

Tentera Israel mengesahkan pihaknya menjalankan serbuan ke atas kem pelarian di Jenin namun menafikan ia menyasarkan wartawan.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Tokoh agama, sahabat handai dan saudara-mara berkabung atas kematian wartawan veteran Al Jazeera Shireen Abu Aqleh yang ditembak mati oleh tentera Israel ketika membuat liputan mengenai serbuan tentera ke atas kem pelarian di Jenin, Tebing Barat. Gambar: AFP
Tokoh agama, sahabat handai dan saudara-mara berkabung atas kematian wartawan veteran Al Jazeera Shireen Abu Aqleh yang ditembak mati oleh tentera Israel ketika membuat liputan mengenai serbuan tentera ke atas kem pelarian di Jenin, Tebing Barat. Gambar: AFP

Wartawan veteran Al Jazeera Shireen Abu Aqleh ditembak mati oleh tentera Israel pada Rabu ketika membuat liputan mengenai serbuan ke atas kem pelarian Jenin di Tebing Barat, kata agensi berita itu.

Al Jazeera berkata, Abu Aqleh, 51, seorang wartawan terkemuka agensi berita Arab itu ditembak tentera Israel secara sengaja “tanpa perikemanusiaan”.

Tentera Israel mengesahkan pihaknya telah menjalankan operasi pada Rabu di kem pelarian Jenin, kubu kuat kumpulan bersenjata Palestin di utara Tebing Barat.

Bagaimanapun, ia menafikan secara sengaja menyasarkan wartawan dalam operasi serbuan itu.

“Sudah tentu pihak tentera tidak menyasarkan wartawan,” kata seorang pegawai tentera kepada AFP.

“Siasatan lanjut mengenai perkara masih berjalan. Kami menawarkan dan mahu menjalankan siasatan bersama dengan warga Palestin.”

Tentera Israel turut berkata terdapat kejadian berbalas tembakan antara suspek dan pasukan tentera dan ia “sedang menyiasat kejadian itu dan sedang meneliti kemungkinan ada wartawan yang ditembak oleh kumpulan bersenjata Palestin.”

Seorang jurugambar AFP di tempat kejadian berkata Abu Aqleh memakai jaket wartawan ketika beliau ditembak.

Dalam pada itu, Al Jazeera menggesa masyarakat antarabangsa mendesak pasukan tentera Israel bertanggungjawab atas pembunuhan yang berniat menyasarkan Abu Aqleh.

“Dalam pembunuhan kejam di mana ia melanggar undang-undang antarabangsa, pasukan penceroboh Israel telah membunuh wartawan Al Jazeera di Palestin,” katanya.

Seorang lagi wartawan Al Jazeera, Ali Al-Samudi turut tercedera ketika pertembungan itu.

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, tentera Israel telah meningkatkan operasi di Jenin, satu kawasan bersejarah dalam konflik Israel-Palestin.

Israel mendakwa beberapa orang dari kem itu telah melakukan serangan yang menyebabkan kematian warga Israel di kawasan tersebut.

Menurut tentera, operasi di kem pelarian itu telah diserang dengan “tembakan bertubi-tubi oleh puluhan lelaki bersenjata dari Palestin”.

Dalam pada itu, Pihak Berkuasa Palestin menyifatkan pembunuhan Abu Aqleh adalah sebahagian daripada usaha Israel untuk mengaburi “kebenaran” mengenai pencerobohannya di Tebing Barat.

Seorang pegawai kumpulan Hamas yang menguasai Gaza, menyifatkan kejadian itu sebagai “pembunuhan yang dirancang.”

“Media dan institusi pemberitaan harus bergerak dalam usaha mengusir Israel dan menganggap negara itu musuh kepada kebebasan akhbar,” kata Ghazi Hamad dari biro politik Hamas.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.