- Iklan -
Berita

Malaysia, syurga bagi ‘pencinta’ kanak-kanak?

Kelemahan sistem dan situasi negara yang mula membuka sempadan ketika peralihan ke fasa endemik menimbulkan kebimbangan.

Nur Hasliza Mohd Salleh
4 minit bacaan
Kongsi

Malaysia berisiko menjadi pusat kegiatan jenayah seksual kanak-kanak jika dilihat kepada kelemahan negara dalam menangani permasalahan sedia ada yang berupaya mengembangkan lagi kegiatan golongan pedofilia, pemangsa dan pesalah seksual kanak-kanak.

Seperti kes besar pernah direkodkan dalam negara melibatkan warganegara Britain, Richard Huckle, yang ditangkap pada 2014 dan disabitkan 71 pertuduhan kesalahan seksual kanak-kanak dua tahun kemudiannya.

Kesemua kesalahan tersebut dilakukan ketika dia bekerja sebagai jurugambar bebas dan tinggal di Kuala Lumpur.

Sementara itu, tahun lalu, Alladin Lanim, dari Sarawak dijatuhi hukuman penjara 48 tahun enam bulan selepas berjaya ditangkap bersama ribuan bahan pornografi kanak-kanak di dalam telefon bimbitnya.

Di UK pula, seorang pelajar matematik warga Malaysia di Imperial College, Nur Fitri Azmeer Nordin, dijatuhi hukuman penjara lima tahun atas kesalahan memiliki lebih dari 30,000 imej dan video lucah kanak-kanak oleh Mahkamah Southwark Crown, London.

Persoalan banyak timbul mengenai pengurusan bagi kes-kes sebegini di Malaysia berpunca daripada empati orang ramai terhadap mereka yang ditangkap dan disabitkan dengan kesalahan itu.

Ia boleh dilihat dalam kes Nur Fitri yang sekali lagi mengejutkan Malaysia apabila dilaporkan sedang melanjutkan pelajaran di sebuah universiti awam di Bangi, Selangor.

Pengumuman itu mencetuskan perdebatan hangat di media sosial di mana rata-rata pengguna maya menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan kanak-kanak di kawasan itu selepas menyedari penjenayah pedofil berbahaya berada berdekatan mereka.

Namun, bagi penyelia ijazah kedoktoran Fitri di universiti tersebut, beliau dilaporkan menyebut bahawa individu itu sebagai berkelakuan baik dan sememangnya seorang yang genius.

Ini memberi satu gambaran seolah-olah, “tidak mengapa anda buat jahat asalkan anda bijak”.

Mengikut statistik yang pernah diberikan oleh bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid pada 2010, sebanyak 15 laporan cikgu mencabul sejak tahun itu dan kesemua mereka sudah ditukarkan tapi masih terus mengajar.

MalaysiaNow masih menunggu statistik terbaru berhubung masalah ini dengan pihak kementerian pendidikan.

Pada 2019, bekas pengarah bersama Tenaganita mendiang Aegile Fernandez mendedahkan ramai pedofil asing mula melawat Malaysia untuk melakukan hubungan seks dengan kanak-kanak berikutan tindakan keras di negara-negara lain.

Setahun selepas kenyataan Fernandez itu, pandemik Covid-19 melanda hampir di seluruh dunia menyaksikan pintu masuk antarabangsa ditutup.

Bagaimanapun, persoalannya, adakah sekatan pergerakan yang dilaksanakan itu bermaksud, jenayah pedofil tidak lagi berlaku?

Pengarah Eksekutif Tenaganita Glorene Das berkata pihaknya tetap menerima beberapa aduan sejak Mac 2020 hingga tahun lalu melibatkan jenayah seksual kanak-kanak walaupun tidak banyak kes direkodkan.

Katanya, kes-kes tersebut sudah pun terlibat dengan siasatan oleh Interpol, unit cawangan khas polis dan lain-lain pihak yang berkaitan.

Bagaimanapun, kini, pintu sempadan antarabangsa sudah mula dibuka untuk pelancong luar, satu lagi keadaan yang membimbangkan kerana kehadiran pedofil sangat sukar dikesan melalui mata kasar.

“Mereka ini bukan warganegara Malaysia. Kebanyakan mereka dari Australia, orang British dan ada juga dari negara-negara Eropah.

“Mereka mampu untuk datang dan tinggal di sini macam raja dan permaisuri. Mereka tak perlu lalui pemeriksaan imigresen seperti pekerja-pekerja asing dari Bangladesh yang selalunya ditahan, jadi saspek itu dan ini,” katanya kepada MalaysiaNow.

Jelas Glorene, layanan serta pemikiran orang tempatan terhadap golongan ini sangat berbeza sekali gus telah memberikan kesan buruk kepada negara.

Orang tempatan seringkali menganggap mereka sebagai golongan terpelajar dan profesional yang memiliki pelbagai kepakaran dan berkhidmat di Malaysia.

Tanpa sedar, kata Glorene, tanggapan itu akhirnya memusnahkan hidup segelintir kanak-kanak di Malaysia.

Bahan lucah mudah diakses

Tinjauan menunjukkan akses untuk mendapatkan bahan-bahan lucah melibatkan kanak-kanak amat mudah di Malaysia

Beberapa chatroom dengan menggunakan nama seperti “budak sekolah”, “budak seksi” dan “anak-anak comel”.

Malahan, sewaktu pandemik, Malaysia disenaraikan antara negara yang paling banyak melayari internet untuk pornografi kanak-kanak.

Kenyataan itu turut disokong oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman yang mendapati berlaku peningkatan terhadap kegiatan pornografi kanak-kanak.

Aktivis sosial, Mohd Fairuz Abu berkata kurangnya pendedahan dan advokasi kepada ibu bapa dalam permasalahan ini menyebabkan mereka tidak sedar bahawa anak masing-masing terdedah kepada bahaya pedofilia.

Paling ketara, katanya, sikap ibu bapa yang suka memuat naik gambar anak-anak mereka dengan kerap dan boleh dilihat oleh umum.

Ini termasuklah para selebriti yang gemar mencipta akaun media sosial untuk anak masing-masing sekali gus menarik perhatian dan kehadiran pesalah pedofil.

“Dulu pernah tular juga hal mirip-mirip begini. Datang seorang individu dalam ‘group’, kenalkan diri sebagai doktor. Kemudian minta gambar faraj budak perempuan katanya nak periksa kalau ada keputihan.

“Berderu emak-emak meletakkan gambar kemaluan anaknya di situ, siap tanya, adakah ini normal? Kalau individu itu menyamar macam mana? Kalau dia sebarkan gambar-gambar itu dalam laman web lucah kanak-kanak?

“Ini yang masalah, susah nak kawal sebab ibu bapa juga tidak ada kesedaran tentang hal ini.” katanya kepada MalaysiaNow.

Nasib kanak-kanak hilang?

Sementara itu, Glorene turut mempersoalkan nasib-nasib kanak-kanak yang dilaporkan hilang di Malaysia sejak sekian lama tanpa khabar berita.

Sebanyak 4,471 kes kehilangan kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah dilaporkan dari 2017 hingga 1 September tahun lalu.

Soalnya, adakah mereka ini juga mangsa kepada jenayah pedofil?

“Saya tak tahu, saya cuma ajukan soalan ini. Ini satu soalan yang penting untuk kita sentiasa berwaspada.

“Kita tidak boleh berterusan cakap, oh kanak-kanak ini hilang, kanak-kanak ini dah dijumpai.

“Kita harus pergi lebih mendalam. Mengapa ia terjadi, satu kes kepada satu kes,” katanya.

Di Malaysia, statistik kanak-kanak yang hilang bukan sahaja meliputi kanak-kanak warganegara tetapi juga kanak-kanak pelarian yang mencari perlindungan di negara ini.

“Malangnya, untuk beberapa kes dibiarkan begitu sahaja (ditutup) dan ada juga yang separuh jalan. Kita tidak tahu apa punca dan pengakhirannya.

“Jika kita boleh berkongsi kisah di sebaliknya, hasil siasatan. Sudah pasti kita boleh kenal pasti masalah sistem yang kita ada.”

Dengan cara itu, kata Glorene, kelemahan sistem-sistem yang ada pada pihak-pihak tertentu akan dibongkar dan kegagalan negara akan terserlah.

Ini mengakibatkan ramai pihak memilih untuk berdiam diri dan tidak bercakap mengenainya kononnya kerana tidak mahu memalukan imej negara.

“Apabila kita tidak bercakap mengenainya, tidak bermakna ianya tidak berlaku.”

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.