- Iklan -
Berita

Malaysia tuan rumah Sukan SEA 2027

Ini adalah kali ketujuh Malaysia diberi tanggungjawab menjadi tuan rumah sejak kali pertama pada 1965.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bendera Malaysia dikibarkan delegasi Sukan SEA Hanoi di acara penyerahan kontinjen di Majlis Sukan Negara pada 27 April. Gambar: Bernama
Bendera Malaysia dikibarkan delegasi Sukan SEA Hanoi di acara penyerahan kontinjen di Majlis Sukan Negara pada 27 April. Gambar: Bernama

Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) memilih Malaysia sebagai tuan rumah edisi ke-34 Sukan SEA 2027.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Mohamad Norza Zakaria berkata keputusan itu dipersetujui sebulat suara oleh ahli majlis SEAGF pada mesyuarat yang berlangsung hari ini.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada SEAGF atas kepercayaan mereka kepada MOM untuk menganjurkan temasya Sukan SEA.

“MOM akan membuat janji temu untuk memaklumkan secara rasmi mengenai perkara ini kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu apabila kembali ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini.

Ini adalah kali ketujuh Malaysia diberi tanggungjawab untuk menjadi tuan rumah sejak kali pertama pada 1965 ketika temasya ini dikenali sebagai Sukan Semenanjung Asia Tenggara (SEAP), diikuti 1972, 1977, 1989, 2001 dan 2017.

MOM pernah menyatakan minat untuk menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027 pada tahun lepas, berikutan penarikan diri Brunei.

Temasya Sukan SEA ke-31, yang ditangguhkan berikutan pandemik Covid-19, kini dianjurkan di Hanoi, Vietnam pada 12 hingga 25 Mei.

Kemboja dijadualkan menjadi tuan rumah buat julung kalinya tahun depan pada 5 hingga 16 Mei manakala Thailand pula bakal menjadi penganjur pada edisi 2025.