Sejak 89 tahun yang lepas, pengeluaran “gesek” Cap Lada Kelantan Match Factory di Sungai Keladi tidak pernah berhenti, semuanya demi memenuhi permintaan peminat setianya yang sudah biasa menggunakan produk tersebut dalam kehidupan harian.
Penyelia Kelantan Match Factory Mahmod Mohd Nor, 85, berkata mancis atau gesek dalam dialek Kelantan kekal relevan kerana masih digunakan untuk membakar sampah, menyalakan rokok, menghidupkan kayu api dan sebagainya.
Bercakap kepada Bernama, Mahmod mengakui biarpun ketika ini orang ramai lebih selesa menggunakan pemetik api, nilai sentimental yang ada pada gesek menyebabkan permintaan terhadap produk hasil tangan anak Kelantan itu tidak pernah putus.
“Cetusan api gesek berserta bau belerang memberi satu perasaan berbeza kepada pengguna berbanding jika mereka menggunakan pemetik api.
“Tambahan pula orang kampung apabila bakar sampah mereka lebih selesa guna gesek berbanding pemetik api. Kualiti mancis Cap Lada yang dihasilkan di kilang ini kekal sama sejak 1933, ia antara faktor penyumbang kenapa produk ini terus berada dalam pasaran,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Bercerita mengenai sejarah Kelantan Match Factory, Mahmod berkata kilang paling lama serta tertua di negara itu sudah beroperasi di tapak kompleks seluas 1.13 hektar sejak 1933.
Katanya, operasi pengeluaran kekal di tapak yang sama, biarpun sudah tiga kali bertukar pemilik.
“Ada tiga kilang utama di dalam kompleks ini iaitu kilang menghasilkan kotak mancis, batang mancis dan bahagian pembungkusan.
“Ketika ini, kilang memiliki lebih 30 pekerja yang bertugas enam hari seminggu bermula 8 pagi hingga 5.30 petang, kilang ini mampu mengeluarkan kira-kira 96,000 kotak mancis sehari,” kata anak jati Kota Bharu itu.
30 tahun bekerja di kilang tersebut, Mahmod individu paling layak untuk berkongsi proses pembuatan mancis yang menggunakan kayu terentang atau kayu simpul paya yang diimport dari China.
“Ada tujuh langkah untuk menghasilkan sekotak mancis bersaiz 20 milimeter (mm) yang setiap satu diisi kira-kira 50 batang mancis. Proses pembuatan dibahagi kepada dua iaitu menghasilkan kotak dan batang mancis,” katanya.
Mahmod berkata proses membuat kotak bermula di outer box machine apabila sekeping kayu nipis dilipat, digam dan dibalut kertas sebelum dijemur.
“Kotak-kotak itu kemudian dikeringkan menggunakan mesin pengering kira-kira 10 minit sebelum proses diteruskan di inner box machine untuk menghasilkan bahagian dalam kotak,” katanya.
Langkah seterusnya ialah menampal label pada kotak yang dilakukan serentak oleh tiga pekerja.
“Pekerja akan turut melakukan kerja-kerja slide pasting pada kotak tersebut, ini bertujuan meletakkan striking area di kedua-dua sisi kotak.
“Striking area mempunyai campuran bahan karbida yang akan menyebabkan mancis menyala apabila berlaku geseran,” kata Mahmod.
Menurut beliau, untuk menghasilkan batang mancis pula, proses dilakukan di kilang berbeza bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
“Batang mancis akan dicelup ke dalam lilin menggunakan dipping machine. Kemudian bahagian kepala batang mancis itu akan dicelup empat bahan iaitu kalium klorida, kanji, sulfur dan silika sebelum dikeringkan dan dimasukkan ke dalam filling machine untuk diisi ke dalam kotak mancis yang sudah siap.
Mahmod berkata apabila kotak dan batang mancis telah siap, kedua-dua bahan tersebut akan dihantar ke packing machine untuk proses pembungkusan sebelum diedar ke seluruh negara berdasarkan permintaan.
Sebagai satu-satunya kilang mancis yang masih beroperasi di negara ini, Mahmod berbangga mereka masih mampu memenuhi permintaan peminat setia gesek.
Malah katanya, Kelantan Match Factory pernah menghasilkan mancis khas sebagai cenderahati semasa Sukan Komanwel 1998.