- Iklan -
Berita

Penganut Buddha di Pulau Pinang dibenar ke kuil pada Hari Wesak

Bagaimanapun, perarakan pada hari itu tetap tidak dibenarkan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan Tokong Kek Lok Si yang terletak di Ayer Itam. Tokong ini dikenali sebagai kuil Buddha terbesar di Asia Tenggara.
Pemandangan Tokong Kek Lok Si yang terletak di Ayer Itam. Tokong ini dikenali sebagai kuil Buddha terbesar di Asia Tenggara.

Untuk tahun ketiga berturut-turut akibat pandemik Covid-19, tiada perarakan Hari Wesak pada Ahad ini di Pulau Pinang namun penganut Buddha dibenarkan ke kuil bagi memohon keberkatan.

Pengerusi Jawatankuasa Perayaan Hari Wesak Pulau Pinang Loh Hock Hun berkata pihaknya telah memutuskan untuk membatalkan perarakan berikutan kesukaran mengawal kehadiran orang ramai.

“Setiap tahun semasa perarakan, akan ada lebih 10,000 penganut yang akan hadir dan ia merupakan cabaran untuk mengawal mereka (orang ramai), diharapkan tahun depan, kami dapat mengadakan perarakan kembali,” katanya yang dihubungi Bernama hari ini.

Setiap tahun, sebelum pandemik, Hari Wesak di Pulau Pinang akan disambut dengan perarakan kereta berhias disertai puluhan ribu penganut Buddha.

Para penganut juga akan mengunjungi kuil sehari sebelum itu dan pada hari sebenar akan menyalakan colok dan lilin berbentuk bunga teratai, menabur bunga, memandikan patung Buddha serta menyertai upacara sembahyang.

Bagaimanapun, Loh berkata penganut dibenarkan mengambil bahagian dalam upacara memandikan patung Buddha di Bangunan Persatuan Penganut Buddha (MBA) di Jalan Burma yang bermula dari 7.30 malam hingga 10 malam pada Sabtu ini dan 6 pagi hingga 10 malam pada Ahad.

“Dewan MBA mampu memuatkan kira-kira 1,000 orang pada satu-satu masa dan kami akan memastikan semua penganut mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata secara kebetulan, tahun ini juga merupakan tahun ke-60 sejak Hari Wesak menjadi cuti umum di Malaysia dan persatuan itu akan memperingatinya pada Sabtu.

“Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow akan merasmikan sambutan Hari Wesak pada Ahad ini,” katanya.

Hari Wesak adalah memperingati hari kelahiran Siddharta Gautama Buddha, hari beliau mencapai pencerahan dan kematian.