- Iklan -
Berita

Taliban janji ‘ada berita baik’ berhubung pendidikan untuk remaja perempuan Afghanistan

Pada akhir Mac lalu, Taliban yang mengambil alih pentadbiran Afghanistan tidak membenarkan remaja perepuan ke sekolah menangah dan kolej di negara itu.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Wanita Afghanistan digalakkan untuk menutup seluruh wajah mereka sejak Mei lalu. Gambar: AFP
Wanita Afghanistan digalakkan untuk menutup seluruh wajah mereka sejak Mei lalu. Gambar: AFP

Menteri dalam negeri Afghanistan berkata ada “berita yang sangat baik” tidak lama lagi berhubung pendidikan golongan remaja perempuan di sekolah menengah, dalam sebuah wawancara pada Isnin bersama agensi berita CNN.

Pada akhir Mac, Taliban yang mengambil alih kuasa selepas tentera Amerika Syarikat berundur dari negara itu Ogos tahun lalu telah melarang kanak-kanak perempuan meneruskan pendidikan mereka di sekolah menengah dan kolej selepas beberapa jam institusi pendidikan dibuka semula.

Keputusan yang diarahkan oleh pemimpin tertinggi Taliban dan Hibatullah Akhundzada telah menimbulkan kemarahan ramai rakyat Afghanistan dan masyarakat antarabangsa.

“Saya ingin memberikan sedikit penjelasan. Tidak ada sesiapa pun yang menentang pendidikan untuk perempuan,” kata Menteri Dalam Negeri Afghanistan Sirajuddin Haqqani, salah seorang pemimpin Taliban yang dilihat sangat berahsia dan hanya muncul di khalayak ramai buat kali pertama pada Mac.

Dia berkata kanak-kanak perempuan sudah boleh memulakan pengajian di sekolah rendah.

“Manakala bagi pelajar sekolah menengah, masih ada beberapa mekanisme yang masih dalam proses untuk diputuskan” bagi membolehkan mereka menghadiri sesi persekolahan sekolah menengah, katanya dalam wawancara tersebut.

“Tidak lama lagi anda akan mendengar berita yang sangat baik mengenai isu ini,” katanya.

Haqqani membayangkan bahawa “mekanisme” itu adalah berkait dengan kod pakaian sekolah, menjelaskan bahawa pendidikan di negara itu harus mengikut “budaya” Afghanistan dan “peraturan serta prinsip Islam,” di mana beliau merujuk isu pemakaian tudung dalam kalangan wanita.

Selepas kembali berkuasa, Taliban mengarahkan golongan wanita di negara itu untuk memakai sekurang-kurangnya tudung kepala, atau selendang yang menutup kepala.

Namun, sejak awal Mei, arahan untuk mereka memakai tudung secara lengkap di khalayak ramai dan sebaik-baiknya memakai burqa telah diumumkan kerajaan.

Ketika pentadbiran Taliban sepanjang 1996-2001, pemakaian burqa diwajibkan terhadap golongan wanita semasa mereka menjadi kerajaan di Afghanistan.

“Jika seseorang berikan kebenaran anak perempuan atau saudara perempuan mereka (untuk ke sekolah), mereka melakukannya berdasarkan kepercayaan penuh,” katanya.

“Makan, kita (kerajaan) mesti wujudkan syarat supaya kita dapat memastikan kehormatan dan keselamatan mereka. Kami ambil tindakan untuk memastikan perkara ini terjamin.”

Rangkaian Haqqani yang diasaskan bapanya dan kini oleh dipimpin Hibatullah dituduh melakukan beberapa serangan ganas yang dijalankan oleh Taliban di Afghanistan sejak 20 tahun lalu.

Sirajuddin sendiri masih dalam senarai orang yang paling dikehendaki FBI, di mana ganjaran sebanyak AS$10 juta disediakan bagi sesiapa yang boleh memberikan maklumat untuk menangkapnya.

Dalam wawancara CNN tersebut, menteri itu berkata “20 tahun lepas Afghanistan berada dalam situasi pertempuran dan peperangan defensif.”

Bagaimanapun dia berkata negara itu mahu membina masa depan dengan “mempunyai hubungan baik bersama AS dan masyarakat antarabangsa.”

“Kami tidak melihat mereka sebagai musuh,” katanya, menegaskan bahawa Taliban berhasrat untuk menghormati perjanjian yang ditandatangani dengan Washington pada 2020, di mana mereka berjanji untuk tidak membiarkan Afghanistan menjadi syurga golongan pengganas yang menyasarkan rakyat Amerika.