- Iklan -
Berita

‘Zahid pembohong tegar’, Mahathir pertimbang ambil tindakan mahkamah

Menurut Mahathir beliau akan mengambil tindakan mahkamah terhadap presiden Umno itu jika tidak memohon maaf dan menarik kembali kenyataan berhubungan dakwaan nama asal bekas perdana menteri itu kononnya adalah ‘Mahathir a/l Iskandar Kutty’.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir Mohamad hari ini menyelar Ahmad Zahid Hamidi berhubung keturunannya, mengatakan beliau adalah “pembohong tegar” ketika presiden Umno itu mengemukan saman fitnah terhadap beliau berhubung kenyataannya yang mengatakannya meminta beliau campur tangan dalam kes mahkamah dihadapinya.

Dalam sebuah kenyataan hari ini, Mahathir berkata keputusan Zahid untuk menyaman beliau adalah bagi menutup penipuan beliau menerusi proses mahkamah.

“Sebenarnya saya bosan dengan sikap Zahid. Tindakan saman yang diambil hanya sebagai usaha untuk tutup penipuannya menerusi proses mahkamah.

“Zahid ini penipu. Orang putih kata ‘compulsive liar’, pembohong tegar. Dulu semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-14, dia keluar kenyataan kononnya kad pengenalan saya yang asal menamakan saya sebagai Mahathir a/l Iskandar Kutty.

“Saya tunggu apakah Zahid akan keluar bukti ini pada khalayak ramai. Tetapi sampai habis pilihan raya tidak ada.

Menurut Mahathir, beliau tidak pernah menafikan ada darah keturunan India dalam dirinya dan bahkan menulis tentang perkara itu dalam bukunya.

“Hakikatnya sijil lahir dan kad pengenalan saya adalah Mahathir bin Mohamad.“

Menurut Mahathir, beliau tidak gemar mengambil tindakan mahkamah walaupun ramai yang memfitnahnya.

“Tetapi kali ini saya merasa perlu bertindak kerana sikap pembohong Zahid ini amat memualkan dan tidak boleh dibiar begitu sahaja.

“Ia bukan saja kerana ia merosak reputasi saya tetapi penipuannya kepada penyokong Umno dan orang Melayu lain demi untuk dia mahu kekal berkuasa amat merbahaya.

“Saya sedang pertimbang untuk ambil tindakan undang-undang kerana pembohongan Zahid yang memfitnah saya.

“Saya cabar Zahid untuk tunjuk bukti tentang identiti saya yang pertikai diri status bangsa saya sebagai orang Melayu.

“Jika dia tidak meminta maaf dan menarik balik fitnah itu, saya akan ambil tindakan mahkamah,” katanya.

Zahid yang kini berdepan dengan 47 pertuduhan jenayah pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkait dana Yayasan Akalbudi, menyaman Mahathir pada 20 April lalu.

Zahid memfailkan saman fitnah terhadap Mahathir berhubung isu mempengaruhi bekas perdana menteri itu untuk mencampuri urusan perbicaraan kes yang dihadapinya di mahkamah.

Dalam saman tersebut, Zahid mendakwa fitnah itu dibuat dalam suatu Majlis Pelancaran Aspirasi Parti Pejuang sempena Pilihan Raya Negeri Johor ke-15 di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

Zahid turut mengemukakan saman serupa terhadap Muhyiddin Yassin yang turut mengeluarkan kenyataan sama bahawa ahli Parlimen Bagan Datuk itu meminta bantuannya dalam kes mahkamah.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.