Malaysia mesti mengkaji strategi dan model pertumbuhan negara-negara seperti China, Jepun dan Korea untuk mempercepatkan pembangunan ekonominya sendiri, demikian menurut bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Justeru, beliau menegaskan Dasar Pandang Ke Timur yang diperkenalkan pada 1982 semasa beliau menjadi perdana menteri boleh berfungsi sebagai platform untuk meneroka model pembangunan gergasi-gergasi Asia, melakarkan kemungkinan dan peluang baharu dalam menangani cabaran yang disebabkan oleh pandemik Covid-19.
Dr Mahathir berkata bahawa dasar Pandang ke Timur tidak terhad hanya kepada Jepun, tetapi juga kepada Korea Selatan dan China, serta entiti lain di Asia Timur dan sehubungan itu, Malaysia harus mengguna pakai amalan baik dari negara-negara tersebut dan mengenepikan amalan yang tidak sesuai untuk Malaysia.
“Kita buang yang tidak sesuai, tetapi yang sesuai untuk Malaysia, kita ambil dan berusaha mendapatkan manfaat daripada gelombang pembangunan yang dilihat di negara-negara berkenaan khususnya Jepun,” katanya sambil menambah Jepun membina semula negaranya selepas Perang Dunia Kedua untuk muncul menjadi ekonomi kedua terbesar di dunia sebelum kebangkitan China dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Oleh itu, tindakan Jepun mesti ada merit. Kita ingin menimba ilmu dari Jepun. Untuk mencapainya, kita mempunyai dasar Pandang ke Timur ini,” katanya hari ini semasa sesi soal jawab memperingati ulang tahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur Malaysia.
Mahathir seterusnya berkata Dasar Pandang Ke Timur telah berjaya dan harus kekal sebagai asas kepada strategi dan program pembangunan Malaysia.
“Pada pendapat saya, dasar yang bijak dan program berkesan hanya boleh dilaksanakan sepenuhnya dan matlamatnya tercapai jika pelaksana dan sistem sokongan yang ada mempunyai sikap dan rasa tanggungjawab yang sewajarnya,” tambah beliau.
Hari ini, lebih 400,000 rakyat Malaysia bekerja dengan hampir 1,500 syarikat Jepun yang beroperasi di Malaysia.
Dasar Pandang Ke Timur telah memainkan peranan penting dalam usaha perindustrian Malaysia dan telah menyumbang dengan ketara kepada pertumbuhan ekonomi keseluruhan negara.
Mahathir turut melahirkan harapan agar ulang tahun ke-40 ini akan memberi dorongan baru kepada Dasar Pandang Ke Timur dan hubungan Malaysia-Jepun secara keseluruhan, serta peluang untuk meneliti sistem pendidikan Jepun dari peringkat pratadika hingga ke peringkat universiti.