- Iklan -
Berita

Zahid risau kes jenayah dihadapinya, kata Mahathir

Bekas perdana menteri itu berkata Zahid bertemu dengannya sebanyak lima kali antara Jun 2018 dan Februari 2020.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir Mohamad mendakwa Ahmad Zahid Hamidi telah menyuarakan kerisauannya berhubung kes-kes jenayah yang dihadapi bekas timbalan perdana menteri itu di mahkamah ketika mereka mengadakan beberapa pertemuan.

Dr Mahathir, 96, dalam pernyataan pembelaan yang difailkan semalam menerusi Tetuan Haidir & Co mendakwa, pertemuan sebanyak lima kali itu antara 7 Jun 2018 dan 25 Februari 2020 berlaku di beberapa lokasi iaitu kediamannya di Mines Resort City, Seri Kembangan, Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya dan Pejabat Perdana Menteri di Perdana Putra.

“Sepanjang tempoh Zahid berjumpa dengan saya, plaintif (Zahid) sememangnya telah menyuarakan kepada saya berkenaan kes-kes jenayah yang sedang dihadapinya.

“Memandangkan saya ketika itu (sepanjang 2018 dan 2020) masih memegang kedudukan sebagai perdana menteri dan perdana menteri interim, Zahid sememangnya telah mengambil peluang untuk berbaik-baik dengan saya memandangkan pada ketika itu kes-kes jenayah yang dihadapi Zahid mampu membahayakan kerjaya politiknya.

“Maka, semestinya itu yang menjadi kerisauan plaintif pada ketika itu dan ia disuarakan kepada saya,” dakwa Mahathir dalam pernyataan pembelaan bagi menjawab saman difailkan Zahid terhadapnya.

Mahathir mendakwa Khairuddin Abu Hassan telah mendedahkan melalui akaun Facebooknya bahawa plaintif sendiri telah memintanya (Khairuddin) untuk mengaturkan pertemuan dengan bekas perdana menteri itu.

“Saya mengatakan mana-mana individu yang waras akal fikiran dan mempunyai kemampuan intelek untuk berfikir secara munasabahnya dapat melihat bahawa Zahid seorang ahli politik yang sedang menghadapi masalah kes-kes jenayah telah pergi berjumpa dengan saya, yang ketika itu memegang jawatan berautoriti, semestinya bertujuan membuat percubaan untuk menyelesaikan kes-kes jenayah dihadapinya,” dakwa Mahathir.

Dakwa Mahathir, adalah logik untuk diperkatakan bahawa Zahid telah datang dan bertemu dengannya selepas beliau menjadi perdana menteri dan Zahid mempunyai perancangan untuk cuba membersihkan semula nama baiknya yang telah lama tercemar kerana kes jenayah berkenaan.

“Saya tidak mempunyai sebarang niat jahat terhadap Zahid dan tidak mempunyai apa-apa kepentingan atau pengaruh di dalam apa-apa keputusan yang dibuat oleh mahkamah berhubung kes-kes jenayah yang dihadapi Zahid,” dakwa Mahathir.

Dalam saman yang difailkan pada 20 April lepas, Zahid, 69, berkata pada 19 Oktober 2018, beliau telah dituduh di Mahkamah Sesyen, bagi 12 pertuduhan melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dan kesemua pertuduhan tersebut telah dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Zahid mendakwa Mahathir telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan fitnah dengan niat jahat terhadapnya pada Majlis Pelancaran Aspirasi Parti Pejuang sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada 23 Februari 2022.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mendakwa kenyataan fitnah tersebut antaranya membawa maksud bahawa beliau seorang yang menggunakan jalan pintas untuk menyelesaikan dan menangguhkan perbicaraan kes jenayahnya yang masih berjalan serta menggunakan kedudukannya untuk mempengaruhi Dr Mahathir bagi mencampuri urusan perbicaraan jenayah dan mencampuri penyiasatan yang dijalankan oleh agensi penguatkuasaan terhadapnya.

Sementara itu, Zahid turut memfailkan permohonan inter-parte (kedua-dua pihak) untuk perintah injunksi interim supaya defendan sama ada secara diri sendiri, pegawai dan wakilnya untuk menarik balik kenyataan fitnah tersebut dan menghalang mereka menerbitkan, mengedarkan atau menyebarkan kenyataan itu atau kenyataan fitnah serupa di mana-mana platfom media sosial.

Permohonan injunksi interim itu akan didengar di hadapan hakim Rozana Ali Yusoff pada 17 Jun ini.