- Iklan -
Berita

Apa makna pindaan perlembagaan kepada Umno?

Penganalisis berkata pimpinan Umno tahu mereka akan ditentang ahli parti, maka cara untuk kekalkan jawatan ialah dengan meminda perlembagaan parti.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berdiri di atas pentas bersama pemimpin parti lain termasuk Mohamad Hasan dan Ismail Sabri Yaakob semasa perhimpunan agung khas di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur pada 15 Mei. Gambar: Bernama
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berdiri di atas pentas bersama pemimpin parti lain termasuk Mohamad Hasan dan Ismail Sabri Yaakob semasa perhimpunan agung khas di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur pada 15 Mei. Gambar: Bernama

Perhimpunan agung khas Umno pada minggu lepas berjaya meminda perlembagaan parti itu apabila perwakilan sebulat suara meluluskan usul tersebut.

Pindaan itu dilakukan untuk meminda tiga fasal iaitu Fasal 10.16, Fasal 15.3 dan Fasal 18.2.

Fasal yang menjadi tumpuan, iaitu Fasal 10.16 memperuntukkan kuasa kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno untuk menangguhkan pemilihan di peringkat MKT, bahagian dan cawangan selama 18 bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya diadakan.

Percaturan terbaru fasal itu memberi kuasa kepada MKT untuk membuat penangguhan pemilihan parti selama enam bulan selepas sesuatu pilihan raya umum (PRU) diadakan.

Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin sebelum ini berkata, menerusi peruntukan asal, parti Melayu itu mesti mengadakan pemilihan tidak melebihi Disember 2022, iaitu 18 bulan dari pemilihan parti yang sepatutnya diadakan pada Jun 2021.

“Namun, jika PRU diadakan pada Julai 2023 misalnya, maka tarikh pemilihan parti boleh ditangguhkan sehingga selewat-lewatnya Januari 2024,” katanya ketika membentangkan usul pindaan perlembagaan minggu lalu.

Sekiranya ia diadakan pada Januari 2024, ia bermakna penyandang jawatan sedia ada dalam parti itu memegang jawatan selama 66 bulan sejak pemilihan terakhir Umno pada Jun 2018.

Namun pindaan itu tertakluk kepada kelulusan dari Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Penganalisis politik Kartini Aboo Talib dari UKM berkata, pindaan kepada peraturan parti itu dilakukan bagi mempertahankan status quo presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan sekutunya.

“Dalam hal ini ramai yang masih memerhati nasib Zahid yang disabitkan dengan tuduhan pecah amanah dan salah guna kuasa, serta  Najib Razak yang sudah diputuskan bersalah oleh mahkamah,” katanya kepada MalaysiaNow.

Sementara penganalisis Ahmad Atory Hussain dari USM berkata, pindaan itu mengecilkan lagi ruang, kebebasan, masa dan pilihan untuk memilih pemimpin Umno.

“Seolah-olah pemimpin tertentu yang diminta untuk dipilih. Tempoh itu boleh dianggap lama, sama seperti penggal PRU,” katanya.

Menurut Atory, pimpinan Umno sudah tahu mereka akan ditentang oleh ahli-ahli parti, maka cara berkesan untuk mengekalkan jawatan ialah dengan membuat pindaan perlembagaan tersebut.

Zahid lebih rela Anwar jadi PM?

Persoalan juga timbul mengenai PRU15 apabila sebelum ini Zahid memberi tekanan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada perhimpunan agung lalu untuk membubarkan Parlimen secepat mungkin.

Kartini, yang juga timbalan pengarah Institut Kajian Etnik, UKM berkata, pindaan terbaru itu tidak akan mempengaruhi secara langsung atau memberi tekanan kepada PRU15, kerana ia melibatkan ahli parti, struktur dan strategi parti.

“Kesan tidak langsung mungkin ada dari segi selagi mana pemimpin korup masih menerajui tampuk kepimpinan Umno, rakyat pasti sukar memberikan sokongan sepenuhnya kpd kepimpinan parti itu.

“Ia harus menonjolkan integriti kepimpinan yang lebih baik dari sebelumnya,” tambah Kartini.

Atory menjangkakan tekanan untuk mengadakan PRU akan semakin reda dengan pindaan tersebut, yang bersesuaian dengan kehendak Ismail yang tidak mahu mengadakan PRU terlalu awal.

“Kem Zahid dijangka memang tidak akan menyokong Ismail menjadi calon perdana menteri, sebaliknya ingin menyokong Anwar Ibrahim atau Najib,” katanya.

Langkah terbaru itu juga tidak bermakna Umno sudah bersedia untuk melangkah masuk ke dalam gelanggang PRU15, ekoran isu-isu lain yang belum diselesaikan antaranya kerjasama dengan PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Bagaimanapun, Kartini berkata Barisan Nasional (BN) masih dilihat dominan dengan kemenangan selesa di Melaka dan Johor.

Atory berkata, pindaan itu walaupun dilihat sebagai persiapan menghadapi PRU15, Umno sebenarnya menghadapi keretakan dalam membabitkan kem Ismail dan kem Zahid.

“Kluster mahkamah hanya 20% sahaja tetapi mereka memegang kuasa.

“Majoriti menyokong Ismail. Walaupun mereka pada asalnya menyokong Zahid, tetapi mereka mahu pemilihan Umno dipercepatkan dan selepas itu barulah diadakan PRU15,” katanya.

Bagaimanapun menurut Kartini, implikasi perlanjutan tempoh jawatan parti dari tiga ke lima tahun mempunyai pro dan kontra tersendiri untuk Umno.

“Dari segi kebaikan ia memberi ruang masa dan tempoh yang baik bagi seseorang pemimpin untuk benar-benar boleh melakukan sumbangan dan transformasi yang bernas,” katanya.

“Dari segi kontra ialah salah guna kuasa, apabila tempoh yang lama membolehkan korupsi kuasa berlaku, rasuah dan pengekalan status quo yang bila telah mengakari parti, menyukarkan transformasi dilakukan.”