- Iklan -
Berita

Tiada kerakyatan, tiada ibu: Kanak-kanak 10 tahun cekal jaga bapa separa lumpuh

Suki Wong Pei Yee melakukan apa yang dia mampu bagi menjaga bapa yang diserang strok tujuh tahun lalu.

Azzman Abdul Jamal
3 minit bacaan
Kongsi
Suki Wong Pei Yee menyiapkan minuman kepada bapanya yang separa lumpuh akibat strok.
Suki Wong Pei Yee menyiapkan minuman kepada bapanya yang separa lumpuh akibat strok.

Meskipun baru berusia 10 tahun, Suki Wong Pei Yee sudah mempunyai tanggungjawab berat untuk menjaga bapanya yang separa lumpuh terutama selepas pemergian ibu tercinta tahun lalu.

Menetap hanya berdua bersama bapanya, Wong Kon Foo di sebuah rumah kedai apartment di Damansara Damai, kedua-dua beranak itu terpaksa hidup dalam serba kekurangan apabila mereka tiada sumber pendapatan dan hanya bergantung kepada bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain ihsan orang ramai.

Wong berhenti kerja sebagai seorang jurujual kereta terpakai apabila dia diserang strok kira-kira tujuh tahun lalu mengakibatkan dia terpaksa menggunakan kerusi roda.

Sejak daripada insiden itu, dia dijaga oleh mendiang isterinya, Tran Diem Kiew, seorang warga Vietnam yang turut melakukan kerja-kerja sambilan seperti membantu beberapa restoran dan kedai di kawasan perumahannya.

Suki berjalan untuk ke kedai berhampiran rumahnya untuk membeli barang keperluan.

Namun, situasi keluarga itu bertambah buruk apabila Tran meninggal dunia pada April tahun lalu akibat jangkitan kuman pada paru-paru, menyebabkan Wong terpaksa bergantung sepenuhnya kepada Suki untuk melakukan rutin harian.

Satu-satunya berita gembira bagi dua beranak itu ialah keadaan Wong yang semakin pulih apabila dia kini sudah boleh berdiri dan berjalan, namun dia masih tidak boleh menggerakkan tangan kanannya.

Disebabkan itu, Suki akan membantu bapanya mandi, menyediakan sarapan pagi, mengemas rumah, basuh baju serta keluar dan membeli barangan keperluan di pasaraya kecil terdekat.

“Suki pandai cuci sayur, beras dan masak nasi tetapi saya tidak benarkan dia masak menggunakan dapur gas atas faktor keselamatan, itu tugas saya,” kata Wong kepada MalaysiaNow.

“Ia agak mencabar kerana saya hanya boleh menggunakan tangan kiri, iaitu bukan tangan dominan dan saya tidak boleh lepaskan tongkat dengan begitu lama kerana akan terjatuh.”

Suki ke rak barangan kering di kedai untuk mencari barang keperluan.

Menceritakan lanjut, Wong akui walaupun hidup dalam serba kekurangan, keadaan sekarang adalah jauh lebih baik berbanding tahun lalu apabila dua beranak itu terpaksa kibarkan “bendera putih” di tingkap rumahnya sebagai isyarat mereka terputus bekalan makanan ketika penularan Covid-19 sedang berada di tahap kemuncaknya.

“Pada saat itu, saya seolah-olah sudah mati akal. Saya bimbangkan dengan keadaan Suki.

“Saya tak makan tidak mengapa kerana saya boleh tahan tetapi dia masih kanak-kanak,” katanya sebak.

Namun begitu, Wong berkata terdapat hikmah daripada insiden itu apabila situasi tersebut menyebabkan ramai dalam kalangan jirannya mula mengambil tahu terhadap keadaan semasa mereka.

“Dari semasa ke semasa, jiran-jiran akan bertanya khabar dan ada yang menjenguk untuk melihat keadaan kami selain menyumbang makanan dan makanan keperluan,” tambah Wong.

Melangkah ke hadapan, Wong amat bimbang terhadap masa depan Suki kerana anak tunggalnya itu tidak bersekolah disebabkan status kewarganegaraan memandangkan perkahwinannya bersama Tran tidak didaftarkan.

Suki dan bapanya menikmati ayam goreng di ruang tamu rumah mereka.

Akibat daripada situasi ini, Suki hanya duduk di rumah membantu bapanya dan hanya mengenali dunia luar menerusi tontonan televisyen.

“Dulu ibunya ada ajar Suki ABC tetapi masih belum capai tahap membaca. Sehingga ke hari ini Suki masih buta huruf.

“Tetapi, selain daripada bercakap dalam bahasa Mandarin, Suki juga pandai bertutur dalam bahasa Vietnam dan Melayu,” katanya.

Mengulas lanjut, Wong mengharapkan anaknya dapat berpeluang untuk pergi ke sekolah dan mendapatkan pendidikan seperti kanak-kanak lain sebagai jaminan masa depan yang lebih cerah.

Suki mendengar ketika bapanya diwawancara MalaysiaNow.

Selain daripada faktor kewarganegaraan, Wong juga mendedahkan dia tidak mampu menghantar Suki ke sekolah disebabkan situasi kewangannya.

Malah, disebabkan Suki hanya berada di rumah menjaga bapanya, dia juga tidak mempunyai kawan untuk bermain.

“Ini menyebabkan hidupnya agak sunyi. Dia tiada kawan, malah, satu-satunya kawan yang dia kenal sebelum ini juga sudah pindah.

“Saya sangat bimbangkan masa depan Suki. Pendidikan adalah satu-satunya harapan untuk dia keluar daripada kehidupan ini.

“Sebab itu saya rayu dia diberi peluang untuk ke sekolah dan belajar menjadi seorang insan yang berpendidikan dan lebih arif mengenai dunia luar,” kata Wong.