- Iklan -
Berita

Kebun akuaponik di tengah hutan konkrit Damansara

Emil dan rakan kongsinya Tony Yong mahu mengembangkan inisiatif Fresh Growcer daripada kebun sayur-sayuran bandar kepada pusat eko-pelancongan di mana orang ramai boleh datang dan belajar tentang pertanian mampan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Pengasas Fresh Growcer, Emil Jihad (kiri) memberi penerangan ringkas kepada pelanggan ketika mereka memetik sendiri sayur-sayuran di kebun hidroponik One Utama, Damansara.
Pengasas Fresh Growcer, Emil Jihad (kiri) memberi penerangan ringkas kepada pelanggan ketika mereka memetik sendiri sayur-sayuran di kebun hidroponik One Utama, Damansara.

Sejak menamatkan pengajian, Emil Jihad menceburkan diri dalam bidang makanan dan minuman.

Hampir sedekad dalam industri itu, dia melalui liku dan asam garam menghadapi cabaran perniagaan yang tersendiri.

Namun ada satu episod kematian akibat kanser yang dialami seorang teman kepada rakan kongsinya, Tony Yong mengubah fokus lelaki itu beberapa tahun lalu.

Emil berkata punca kematian itu mengejutkannya, teman Yong itu mengamalkan diet vegetarian dan sangat menjaga kesihatan.

Doktor memberitahu, kanser itu disyaki berpunca daripada racun serangga dalam sayur-sayuran yang diambil oleh rakannya tadi.

Emil Jihad membuat pemeriksaan pada anak pokok sayur-sayuran di para akuaponik Fresh Growcer di One Utama, Damansara.

Emil dan Yong kemudiannya melakukan penyelidikan yang mendalam dan mendapati semakin banyak kes kesihatan membabitkan racun serangga.

Mereka terdorong untuk mengusahakan tanaman yang bebas daripada racun serangga.

“Itulah idea teras kami,” katanya ketika ditemui MalaysiaNow.

Di ruangan bumbung bangunan One Utama, kedua-dua lelaki itu menukar tapak tempat letak kereta menjadi pemandangan hijau, lengkap dengan sistem akuaponik yang digunakan untuk menanam sayur-sayuran. Kebun itu diberi nama Fresh Growcer (Rooftop Farm @ 1Utama).

Di bahagian depan, sayur dan buah-buahan diletakkan di tempat pameran untuk dipilih pengunjung.

Di sebelah kiri, pengunjung boleh melihat sendiri kebun akuaponik itu.

Terdapat kolam ikan yang diletakkan di bawah yang mana air yang digunakan untuk tanaman akan dikitar semula.

“Konsep kita ada tiga, pertama kita tidak menggunakan racun serangga. Kita jemput pelanggan datang dan tengok sendiri.Kalau ada racun, ikan itu akan mati.”

Pekerja Fresh Growcer menjalankan kerja pembersihan pada daunan sayur di kolam yang menempatkan ikan talapia yang ditanam secara hidroponik tanpa menggunakan tanah di Damansara.

Sejak dibuka dua bulan lalu, kebun Fresh Growcer kini mempunyai 20 jenis produk yang ditawarkan. Kategori utama ialah tanaman Asia (Asian leafy) dan tanaman Eropah (European leafy).

Tanaman Asia termasuk pelbagai jenis sawi, bayam dan kangkung manakala tanaman Eropah yang didapati seperti kale dan salad.

“Jualan tertinggi kami sering bertukar-tukar. Kalau ada tanaman baru yang diperkenalkan, tanaman itu yang digemari pembeli.

“Setakat ini produk tertinggi kami ialah Italian lettuce, butterhead lettuce, green coral dan sawi,” katanya.

Selain itu, Emil berkata kebunnya juga akan memulakan tanaman cili, ketumbar dan selasih.

Konsep kedua, katanya ialah petik sendiri atau self harvest. Pelanggan boleh datang ke kebun tersebut dan mengambil sendiri tanaman yang ingin dibeli.

“Walaupun anda boleh beli sayuran organik di pasar raya, sayur-sayuran itu dipetik tiga ke lima hari sebelum dia sampai. Apabila akar sayur dipotong, hampir separuh nutrisi sudah keluar.

“Dengan self-harvest, akar sayur itu tidak ditanggalkan. Dengan cara ini, tidak perlu masuk peti ais pun dia boleh kekal segar. Hanya perlu letakkan sayuran tersebut dalam bekas berisi air, ia akan terus hidup,” katanya.

“Menerusi konsep ketiga iaitu perladangan hijau, kebun itu direka untuk menjadi lestari sebaik mungkin.

“Ada banyak kebun urban yang menggunakan lampu glow, kita tidak menggunakannya kerana di kawasan atas ini, kita boleh dapat cahaya matahari,” katanya.

Pengasas Fresh Growcer, Emil Jihad memberi makan ikan air tawar di dalam kolam di kebun akuaponik Fresh Growcer di One Utama, Damansara.

Ikan yang diletakkan dalam kolam air akuaponik itu juga berfungsi sebagai “pembekal” baja apabila najis ikan dikitar semula menerusi sistem air.

Emil menambah, kebun akuaponik itu juga tidak menggunakan sistem penyaman udara.

Ia menggunakan kipas biasa yang tidak membabitkan penyejuk tiruan (artificial coolant).

Antara kelebihan teknik akuaponik berbanding tanaman biasa ialah penjimatan ruang dan kurangnya pembaziran bahan-bahan tertentu seperti air.

Namun seperti tanaman lain, sayur-sayuran terdedah kepada kulat dan penyakit.

Kuncinya ialah menyelesaikan masalah tersebut dengan segera.

Mengenai perancangan masa depan Fresh Growcer, Emil berkata dia sedang merancang untuk mengadakan perkhidmatan penghantaran kepada kawasan setempat.

Dalam aspek kesedaran masyarakat awam, Emil mahukan Fresh Growcer menjadi pusat eko-pelancongan yang mana orang ramai boleh datang belajar mengenai perladangan lestari.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.