- Iklan -
Berita

Kes simptomatik rekod lebih 134,000 kes, Korea Utara dakwa situasi virus ‘terkawal’

Setakat ini, angka kematian yang dilaporkan di negara itu berjumlah 68 orang.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Bendera Korea Utara di kompleks kedutaannya di Kuala Lumpur.
Bendera Korea Utara di kompleks kedutaannya di Kuala Lumpur.

Korea Utara berkata jangkitan Covid-19 di negara itu menyaksikan trend penurunan stabil dengan kurang dari 200,000 kes baru simptomatik direkodkan untuk hari ketiga berturut-turut pada Selasa.

Gelombang Covid-19 yang diisytiharkan pada 12 Mei mencetuskan kebimbangan terhadap kekurangan vaksin, infrastruktur perubatan yang tidak mencukupi dan potensi krisis makanan di negara yang mempunyai populasi 25 juta orang itu.

Sekurang-kurangnya 134,510 kes baru dengan simptom demam direkodkan setakat petang Isnin, menjadikan jumlah kes sedemikian kepada 2.95 juta sejak akhir April, lapor agensi berita rasmi KCNA.

Setakat ini, angka kematian yang dilaporkan berjumlah 68 orang.

Menurut KCNA, negara itu melaporkan “kejayaan” dalam memerangi wabak Covid.

“Dalam beberapa hari selepas sistem pencegahan wabak kecemasan maksimum diaktifkan, kadar morbiditi dan kematian di seluruh negara menurun secara drastik dan bilangan orang yang pulih meningkat.

“Ia telah berkesan membendung dan mengawal penularan penyakit pandemik dan mengekalkan keadaan yang stabil,” kata KCNA.

Korea Utara berkata ia sedang meningkatkan pengeluaran bekalan ubat penting walaupun tidak menghuraikan dengan tepat jenis yang dihasilkan.

Berikutan kekurangan bekalan kit ujian, Korea Utara belum mengesahkan jumlah orang yang diuji positif Covid-19.

Sebaliknya, pihak berkuasa kesihatan melaporkan bilangan yang mempunyai simptom demam, menjadikannya sukar untuk menilai jumlah jangkitan gelombang Covid di negara itu.

Korea Utara berkata pihak berkuasa mengedarkan makanan dan ubat-ubatan ke seluruh negara, dengan pegawai perubatan tentera dikerahkan untuk membantu mengedarkan ubat dan menjalankan ujian.

Korea Selatan dan Amerika Syarikat mencadangkan bantuan memerangi wabak itu termasuk dalam penyediaan bekalan vaksin, bagaimanapun Pyongyang tidak memberikan sebarang respons.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.