- Iklan -
Berita

Orang lain cuai, saya yang kena, kata Zahid berhubung bekas setiausaha

Zahid berkata Mazlina Mazlan gagal membaca penyata kad kredit miliknya sehingga menyebabkan pembayaran kad kredit yang dibuat oleh bekas setiausaha eksekutifnya itu tidak mencukupi dan berlebihan.

Bernama
3 minit bacaan
Kongsi
Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi. Gambar: Bernama
Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi. Gambar: Bernama

Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa bekas setiausaha eksekutifnya telah melakukan pelbagai kecuaian dalam mengendalikan pengurusan kewangan peribadinya dan Yayasan Akalbudi (YAB).

Zahid, 69, berkata Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly telah melakukan kecuaian antaranya gagal memahami dan membaca penyata kad kredit miliknya sehingga menyebabkan pembayaran kad kredit yang dibuat oleh bekas setiausaha eksekutifnya itu tidak mencukupi dan berlebihan.

“Kesalahan yang dibuat oleh Mazlina termasuk membuat bayaran kad kredit secara berlebihan sebanyak RM71,283 sedangkan jumlah yang perlu dibayar adalah RM65,153.32. Selain itu dia (Mazlina) terkurang menjelaskan bil kad kredit dan hanya membayar RM2,600, walhal dia sepatutnya membayar RM64,668.24,” katanya ketika membacakan penyataan saksi pada hari ketiga prosiding membela diri atas 47 pertuduhan membabitkan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.

Beliau berkata Mazlina telah memberi keterangan di mahkamah bahawa beliau tidak tahu, tidak pasti dan tidak ingat berkenaan pengurusan bil-bil kad kreditnya selain mengaku cuai dalam mengendalikan perbelanjaan kad tersebut.

“Sebagai banker (jurubank) yang terlatih dan berpengalaman, saya menyatakan bahawa sekiranya saya tahu Mazlina berkelakuan sebegini saya tidak akan memberi kebenaran dan akan memberhentikan perbuatannya serta-merta,” katanya.

Kepada soalan peguamnya Ahmad Zaidi Zainal mengenai bagaimana Mazlina boleh mendapat jumlah lebihan dalam penyata kad kredit sehingga menyebabkannya membuat pembayaran lebih, Zahid menjawab: Inilah yang saya tak faham, kenapa bayar lebih dan kadang-kadang bayar kurang, ertinya ini cuai, yang kena saya. Adakah ini satu keadilan?

Zahid berkata Mazlina tidak pernah menunjukkan penyata bulanan kad kredit kepadanya walaupun pernah diminta.

“Dia (Mazlina) kata akan memberi penyata kad kredit kepada saya dan dia akan ke pejabat saya, saya tunggu tetapi dia tidak datang dan buat-buat lupa, tiap kali tanya pelbagai alasan diberikan kepada saya.

“Yang Arif, saya seorang yang sangat sibuk… saya mengutamakan tugas untuk kementerian dan negara sebab itu saya tidak dapat mengesan berlakunya kecuaian oleh Mazlina dalam menguruskan kewangan peribadi saya dan Yayasan Akalbudi,” katanya.

Selain itu, Zahid berkata Mazlina telah menggunakan cek milik YAB untuk membuat pembayaran kad kredit miliknya tanpa arahan, pengetahuan atau persetujuannya.

“Mazlina telah menggunakan cop tandatangan saya pada cek Yayasan Akalbudi untuk membayar kad kredit persendirian milik saya dan isteri (Hamidah Khamis) tanpa pengetahuan saya, sebaliknya cop tersebut sepatutnya digunakan untuk sijil-sijil penghargaan dan kad-kad perayaan.

“Saya tidak pernah mengarahkan Mazlina untuk menggunakan cek-cek Yayasan Akalbudi yang telah saya pratandatangan untuk tujuan selain daripada kegunaan kebajikan dan amal jariah Yayasan Akalbudi dan saya tidak pernah membenarkan Mazlina untuk menggunakan cop tandatangan atau cek pratandatangan bagi tujuan pembayaran kad kredit peribadi atau polisi insurans kenderaan saya,” katanya.

Zahid juga tidak mengetahui bahawa terdapat cek-cek yang menggunakan cop tandatangan dan pratandatangan yang digunakan oleh Mazlina sepanjang 2013 sehingga 2016 dan sekiranya mengetahui perkara itu berlaku beliau akan terus memberhentikan wanita itu kerana telah menyalahguna cek yayasan tersebut.

“Disebabkan kegagalan-kegagalan Mazlina ini, saya terpaksa mengambil keputusan untuk melantik Tetuan Lewis & Co sebagai pemegang amanah kepada dana Yayasan Akalbudi,” katanya.

Ditanya Zaidi, mengapa anak guamnya itu tidak mengambil tindakan terhadap Mazlina, sedangkan saksi pendakwaan ke-90 itu telah melakukan beberapa kesalahan.

“Saya seorang yang profesional… saya melayani pegawai-pegawai bawahan saya yang bertugas di bawah agensi dan jabatan bawah saya dengan profesional. Saya tidak pernah menurunkan pangkat mana-mana pegawai, sebaliknya saya memberikan nasihat dan panduan serta menaikkan pangkat dengan cara tertentu supaya pegawai itu tidak lagi bertugas di pejabat atau kementerian yang saya ketuai.

“Biarpun Mazlina membuat kesilapan beberapa kali, namun sebagai seorang yang profesional, saya merasakan nasihat, panduan serta tunjuk ajar perlu diberikan. Saya menukar cara di mana saya menasihati seseorang pegawai itu kerana mereka merupakan aset kepada jabatan, agensi atau kementerian yang saya ketuai, dengan cara itu saya tidak menzalimi dan menganiaya atau merendah-rendahkan mana-mana orang dan tidak merosakkan kerjaya seseorang itu,” katanya.

Zahid berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Pada 24 Januari lepas, mahkamah memerintahkan Zahid membela diri terhadap kesemua pertuduhan selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung hari ini.