Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menerima anugerah ijazah kehormat perubatan dari Universiti Nihon, yang merupakan antara universiti swasta terkemuka dan tertua di Jepun.
Anugerah itu adalah sebagai mengiktiraf usaha dan sumbangan Ismail dalam memerangi pandemik Covid-19.
Ismail menerima anugerah berkenaan daripada Presiden Universiti Nihon Dr Naoto Kato di universiti berkenaan di bandar raya Itabashi, satu daripada pusat bandar yang terletak dalam metropolis Tokyo, ketika mengadakan lawatan kerja rasmi ke Jepun selama enam hari.
Menyatakan penghargaannya menerima anugerah berkenaan, Ismail berkata anugerah itu bukan hanya untuknya tetapi buat seluruh warga Malaysia yang bersatu hati bersama-sama kerajaan menghadapi pandemik Covid-19.
“Sesungguhnya anugerah ini merupakan satu pengiktirafan besar bukan hanya untuk saya tetapi buat seluruh Keluarga Malaysia yang telah membuktikan keupayaannya untuk menangani pandemik Covid-19 dengan cara sendiri,” katanya dalam ucapan penerimaan anugerah itu.
Mengimbau ketika pandemik Covid-19 melanda Malaysia, Ismail berkata beliau diamanahkan sebagai menteri kanan pertahanan kluster keselamatan pada Mac 2020 yang bertanggungjawab menerajui serta mempengerusikan mesyuarat khas menteri-menteri dalam memerangi ancaman pandemik Covid-19.
Bermula detik itu, katanya seluruh kekuatan dan aset digembleng secara bersama iaitu agensi-agensi kerajaan termasuk pasukan kesihatan dan keselamatan selaku barisan hadapan digerakkan secara bersepadu dalam usaha menangani wabak berkenaan.
“Peperangan menentang Covid-19 ini, merupakan sesuatu yang besar dan mencabar,” katanya.
Berkongsi pengalaman Malaysia memerangi pandemik Covid-19, Ismail berkata segala faktor yang boleh menjadi punca kepada penularan wabak itu dikenal pasti dan ditangani sebaiknya.
Beliau juga berkata kerajaan terpaksa bertindak tegas pada peringkat awal dengan mengadakan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan rakyat tidak dibenarkan keluar rumah kecuali untuk urusan penting sahaja.
“Kita berperang dengan musuh yang tidak kelihatan namun berada di sekeliling kita. Setiap peperangan mesti dimenangi dan nyawa rakyat Keluarga Malaysia mesti diselamatkan,” katanya.
Ismail berkata Malaysia sudah hampir berjaya, dengan pembukaan pintu sempadan semula mulai 1 April lalu dan mulai 1 Mei pula, prosedur operasi standard dilonggarkan seperti pemakaian pelitup muka hanya diwajibkan di kawasan tertutup dan tiada lagi penjarakan fizikal.
Menurutnya, langkah-langkah itu membolehkan semua sektor ekonomi dibuka sepenuhnya.
“Inilah hasil strategi kesihatan yang berkesan dan pelaksanaan kawalan pergerakan serta sokongan penuh daripada rakyat akhirnya kita berjaya melandaikan lengkung jangkitan pandemik Covid-19,” katanya.
Menurutnya, Malaysia juga diiktiraf antara negara terbaik menangani pandemik Covid-19 oleh beberapa agensi seperti Bloomberg dan Nikkei.
Kato dalam kata-kata penghargaannya mengakui Ismail memainkan peranan penting dalam menangani pandemik Covid-19 dan memberi keutamaan kepada kehidupan dan kesihatan rakyat.
Ini telah menyumbang dengan ketara kepada pembinaan kepercayaan dalam kerjasama perubatan antarabangsa dan peningkatan teknologi dalam diagnosis dan rawatan jarak jauh serta latihan pemulihan fungsi, katanya.
“Pencapaian sedemikian amat dipandang tinggi oleh rakyat Malaysia,” kata Kato sambil menambah bahawa Ismail telah dilantik sebagai perdana menteri Malaysia kesembilan