Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa syarikat barang kemas Lubnan, Global Royalty Trading SAL dan Rosmah Mansor membuat tuntutan terhadap rantai tangan emas putih bertatahkan berlian bernilai AS$220,000, yang kini disimpan dalam bilik kebal Bank Negara Malaysia (BNM).
Peguam Azamuddin Abd Aziz yang mewakili Rosmah memberitahu hakim Muhammad Jamil Hussin bahawa anak guamnya mahu meneruskan tuntutan terhadap rantai tangan tersebut.
“Gambar barang kemas itu akan diterima hari ini. Kami memerlukan masa untuk mendapatkan arahan pengesahan daripada Rosmah berhubung tuntutan pihak ketiga,” katanya ketika pengurusan kes hari ini.
Sebelum ini, pasukan peguam Rosmah memohon gambar barang kemas yang dirampas untuk memudahkan tuntutannya.
Sementara itu, peguam David Gurupatham, yang mewakili Global Royalty menegaskan bahawa rantai tangan itu milik syarikat barang kemas tersebut kerana ia telah pun disahkan pakar daripada syarikat itu semasa pemeriksaan fizikal yang dilakukan tahun lepas.
“Yang Arif, Rosmah tidak hadir ke BNM untuk pemeriksaan dan beliau mengenepikan hak untuk pemeriksaan barang kemas itu. Untuk rekod, Supt Foo Wei Min yang merupakan pegawai bertanggungjawab telah memeriksa secara fizikal setiap barang kemas tersebut. Pakar dari Global Royalty juga mengesahkan bahawa ia milik syarikat itu,” kata peguam tersebut.
Barang kemas itu adalah antara pelbagai barangan yang dirampas polis dari premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd di Pavilion Residences pada Mei 2018, yang didakwa ada kaitan dengan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pada 2019, pihak pendakwaan memfailkan permohonan pelucuthakan pelbagai barangan dirampas termasuk 11,991 barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 aksesori jam tangan, 234 pasang cermin mata dan 306 beg tangan serta wang tunai pelbagai denominasi berjumlah RM114,164,393.44.
Semasa prosiding hari ini, peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib Razak berkata tuntutan pihak ketiga bekas perdana menteri itu hanya bagi tujuh utas jam tangan dan bukan pada rantai tangan itu.
Peguam itu telah memohon mahkamah mengadakan perbicaraan berasingan berhubung tuntutan Najib bagi jam tangan tersebut.
Shafee memohon pihak pendakwaan meminda notis usulnya (berkenaan saman pelucuthakan) bagi memudahkan pendengaran berasingan tuntutan tujuh utas jam tangan itu.
“Mengenai tuntutan Najib, ia lebih tujuh utas jam tangan. Yang lain dah selesai. Bagi pihak pendakwaan membuat pindaan, ia adalah sangat mudah melalui lisan,” kata Shafee dan menjelaskan bahawa perkara itu akan mengelakkan kelewatan mendengar tuntutan rampasan yang melibatkan barangan lain.
Sementara itu, timbalan pendakwa raya Faten Hadni Khairuddin ketika menjawab permohonan Shafee bagi perbicaraan berasingan berhubung tuntutan tujuh utas jam tangan itu, berkata mereka memerlukan lebih masa untuk memfailkan permohonan sewajarnya bagi meminda notis usul itu.
Jamil menetapkan 8 Jun untuk pengurusan kes bagi membenarkan pihak pendakwaan meminda dokumen mahkamah berkaitan.