- Iklan -
Berita

Aktivis mengaku salah buat hantaran jelik mengenai agama Kristian

Aktivis Pondok Hijrah Muslimah Malaysia, Wan Asshima Kamaruddin akan menerima hukuman pada 15 Jun ini.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Seorang aktivis wanita menangis teresak-esak ketika mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen semalam ini atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya berhubung isu agama Kristian dalam laman profil Facebook miliknya, tahun lepas.

Wan Asshima Kamaruddin, 38, aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pondok Hijrah Muslimah Malaysia (MUM) dilihat tidak dapat menahan sebak dan menangis teresak-esak selepas menukar pengakuannya kepada bersalah pada perbicaraan kesnya semalam.

Hakim M. M Edwin Paramjothy menetapkan 15 Jun ini untuk menjatuhkan hukuman dan pendengaran fakta kes.

Wan Asshima selaku orang kena saman (OKS) didakwa telah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui perkhidmatan aplikasi Facebook dengan menggunakan laman profil miliknya “Puteri Mujahidah Wan Asshima Kamaruddin” pada 9.23 pagi, 11 Mac 2021.

Hantaran itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Wangsa Maju pada 6.24 petang, 13 Mac 2021.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama, membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, timbalan pendakwa raya Najihah Farhana Che Awang memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap OKS dan orang awam mengambil kira faktor terdapat 61 laporan polis dibuat di seluruh Malaysia berkenaan hantaran yang dibuat oleh OKS.

“Aduan yang paling banyak datang dari Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur dan Selangor. Saya juga mohon mahkamah mempertimbangkan kes ini yang memasuki peringkat perbicaraan dengan seramai tiga orang saksi pendakwaan telah dipanggil untuk memberi keterangan sebelum OKS bertindak menukar pengakuannya kepada bersalah,” katanya.

Peguam Dorina Abdullah, yang mewakili Wan Asshima memohon hukuman berbentuk denda ringan atas alasan anak guamnya merupakan penanggung tunggal keluarga selain tidak berniat untuk menyakiti orang awam melalui hantarannya.

“Anak guam saya juga sedang berhadapan dengan kes perceraian dan disebabkan itu, beliau tidak mendapat bantuan nafkah sejak bulan lepas. Saya mohon simpati mahkamah dalam menjatuhkan hukuman bagi kes ini,” kata peguam itu.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.