Kementerian alam sekitar dan air (Kasa) pada tahun ini menganjurkan rumah terbuka kementerian dengan tema dan keunikan tersendiri apabila setiap tetamu dan jemputan yang hadir membawa bekas makanan masing-masing.
Trend ini menyaksikan tiada sebarang penggunaan plastik dikesan sepanjang majlis berlangsung.
Kelazimannya bagi majlis sambutan hari terbuka raya, jamuan dipenuhi dengan pinggan, cawan, sudu dan garfu plastik disediakan untuk para tetamu.
Tetapi suasana itu tidak diamalkan oleh kementerian tersebut seiring dengan tema dan visinya yang mencintai alam sekitar.
Menteri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, majlis sambutan hari raya lestari yang dianjurkan oleh kementeriannya diharapkan mampu dijadikan model dan ikutan kepada majlis-majlis lain seperti kenduri kahwin dan keraian yang sesuai.
“Apabila majoriti mula mengamalkan konsep lestari di majlis keramaian, ia akan membantu mengurangkan penggunaan plastik sekali guna dan diharap ini akan membantu bumi mengurangkan pencemaran plastik,” katanya.
Lebih 10,000 hadirin yang terdiri daripada pelbagai kaum menghadiri majlis raya tersebut.
Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Idris Ahmad dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Reezal Merican Naina Merican.
Dalam majlis yang berlangsung dengan penuh meriah tersebut, semua tetamu tidak menggunakan sebarang barangan plastik.
Cawan dan gelas digunakan sepenuhnya bersama pinggan dan piring kertas dan porcelain.
Botol-botol air mineral dan sisa makanan diasingkan mengikut kategori ketika dibuang.
Sementara itu, tong-tong sampah yang disediakan dibahagikan mengikut kategori kitar semula.
Pada masa sama, tetamu boleh mengamalkan gaya lestari yang memberi manfaat kepada alam sekitar.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim menyatakan perasaan bangga terhadap pasukan dan kakitangan kementerian yang bertungkus lumus dalam menjayakan majlis dan inisiatif berkenaan.
“Saya sangat bersyukur dikurniakan pasukan yang saling lengkap melengkapi, hormat menghormati walaupun berbeza agama dan kaum.
“Tugas kita adalah untuk agama, nusa dan rakyat Malaysia.
“Terima kasih juga kepada semua rakan sejawat yang turut hadir memeriahkan majlis.”
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.