- Iklan -
Berita

Model Britain Kate Moss nafi Johnny Depp tolak beliau hingga jatuh dari tangga

Moss menjadi saksi dalam perbicaraan saman fitnah itu selepas keterangan Amber Heard memetik laporan kejadian itu ketika memberi keterangan di mahkamah awal bulan ini.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Model Britain Kate Moss ketika acara Met Gala 2022 di New York. Gambar: AFP
Model Britain Kate Moss ketika acara Met Gala 2022 di New York. Gambar: AFP

Model Britain Kate Moss menafikan laporan yang mengatakan bekas teman lelakinya Johnny Depp pernah menolak tubuhnya hingga jatuh dari tangga, mengatakan kejadian tersebut tidak pernah berlaku.

“Dia tidak pernah tolak, sepak atau tolak saya hingga jatuh dari tangga,” kata Moss, yang memberi keterangan sebagai saksi pada perbicaraan saman fitnah Depp terhadap bekas isterinya, Amber Heard.

Depp yang berusia 58 tahun memfailkan saman terhadap Heard ekoran penerbitan tulisan Heard di The Washington Post pada Disember 2018 di mana beliau menggambarkan dirinya sebagai “figura awam yang mewakili isu penderaan domestik.”

Bagaimanapun, dalam tulisannya, Heard, 36, tidak menamakan Depp sebagai orang yang beliau maksudkan.

Ekoran itu, Depp menyaman bintang “Aquaman” itu kerana membayangkannya sebagai seorang pendera domestik selain turut menuntut ganti rugi sebanyak AS$50 juta.

Heard yang dilahirkan di Texas mengemukakan saman balas, menuntut AS$100 juta, mendakwa dia mengalami “keganasan dan penderaan fizikal” ketika mereka masih pasangan suami isteri.

Dalam keterangannya awal bulan ini, Heard menyebut insiden yang dilaporkan di mana Depp didakwa Moss hingga jatuh tangga.

Keterangan Heard telah membuka peluang kepada peguam Depp untuk memanggil Moss sebagai saksi dan model terkenal itu memberi keterangan secara maya dari Gloucestershire, England.

Moss yang berusia 48 tahun berkata beliau mempunyai hubungan romantik dengan Depp dari 1994 hingga 1998.

Beliau turut ditanya mengenai insiden yang didakwa berlaku semasa percutian mereka berdua di sebuah resort di Jamaica.

“Kami meninggalkan bilik dan Johnny meninggalkan bilik itu sebelum saya keluar,” kata Moss.

“Hujan ribut berlaku ketika itu, dan semasa saya meninggalkan bilik saya tergelincir menuruni tangga menyebabkan belakang saya cedera.

“Saya menjerit kerana tidak tahu apa yang berlaku dan merasa sakit. Dia berlari kembali untuk membantu saya dan membawa saya ke bilik untuk mendapatkan rawatan perubatan.”

Selepas keterangan Moss, peguam Heard enggan membuat pemeriksaan balas.