- Iklan -
Berita

Muhyiddin akan namakan pengganti Zuraida di Kabinet, kata Bersatu

Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan berkata keputusan Zuraida meninggalkan parti itu memang sudah dijangka.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi

Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan berkata keputusan Zuraida keluar dari parti itu memang sudah dijangka, mengatakan calon bagi menggantikan ahli Parlimen Ampang itu di Kabinet akan diputuskan Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin.

Dalam sebuah hantaran Facebook, Wan Saiful berkata Bersatu memang sudah membincangkan kedudukan Zuraida, setelah meneliti tindak tanduknya yang terkini.

“Surat tunjuk sebab juga dikeluarkan hasil daripada pertimbangan tersebut.”

Menurutnya, biro politik Bersatu juga sudah mengambil ketetapan mengenai kedudukannya dalam parti.

“Kerana itulah, bagi saya, tindakan Zuraida bukan satu perkara mengejutkan kerana ia memang dijangka,” katanya sambil menyifatkan keputusan Zuraida itu adalah pertimbangan sendiri.

“Berkaitan Kabinet, Muhyiddin selaku presiden Bersatu dan pengerusi PN akan menamakan calon yang sesuai dari kalangan pemimpin Bersatu.”

Zuraida hari ini mengumumkan keputusannya keluar parti bagi menyertai Parti Bangsa Malaysia sekali gus meletakkan jawatan kementeriannya.

Beliau berkhidmat dalam tiga Kabinet sejak 2018 di bawah Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin dan Ismail Sabri Yaakob di dua portfolio kementerian iaitu perumahan dan kerajaan tempatan dan perusahaan, perladangan dan komoditi.