- Iklan -
Berita

Lelaki pedofil dihukum penjara 20 tahun, 19 sebatan

Hukuman itu dikenakan selepas Mohammad Amir Mohd Layi menarik balik rayuannya di Mahkamah Rayuan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Istana Kehakiman di Putrajaya yang menempatkan Mahkamah Rayuan. Gambar: Bernama
Istana Kehakiman di Putrajaya yang menempatkan Mahkamah Rayuan. Gambar: Bernama

Seorang lelaki pedofilia perlu menjalani hukuman penjara 20 tahun dan 19 sebatan kerana melakukan amang seksual terhadap 12 kanak-kanak perempuan dan menghasilkan pornografi.

Ini selepas Mohammad Amir Mohd Layi, 25, menarik balik rayuannya di Mahkamah Rayuan semalam terhadap hukuman penjara 15 tahun dan 18 sebatan bagi tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap tiga kanak-kanak dan tiga pertuduhan menghasilkan atau membuat pornografi.

Bagaimanapun, Amir tidak mengemukakan rayuan terhadap hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi bagi pertuduhan amang seksual yang melibatkan mangsa kanak-kanak lain, dua pertuduhan menghasut kanak-kanak sehingga melakukan perbuatan tidak senonoh dan satu pertuduhan mencabul kehormatan seorang kanak-kanak.

Panel tiga hakim terdiri daripada Kamaludin Md Said, M. Gunalan dan Nordin Hassan kemudiannya membatalkan rayuan Amir.

Terdahulu, peguam Mohd Azlan Shah Mohd Allias yang mewakili Amir memaklumkan kepada mahkamah hasrat anak guamnya untuk menarik balik rayuan dan timbalan pendakwa raya Mohd Fairuz Johari memberitahu mahkamah beliau tiada bantahan untuk penarikan semula rayuan itu.

Amir didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada April 2018 atas tiga pertuduhan menghasilkan pornografi, 12 pertuduhan amang seksual, dua pertuduhan menghasut kanak-kanak melakukan perbuatan tidak senonoh dan satu pertuduhan mencabul kehormatan seorang kanak-kanak.

Dia mengaku salah melakukan semua perbuatan itu pada 10 Disember 2018 dan dijatuhi hukuman penjara 16 tahun dan 19 sebatan.

Dia dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan 18 sebatan bagi tiga pertuduhan menghasilkan pornografi dan pertuduhan amang seksual terhadap tiga kanak-kanak berumur enam, tujuh dan lapan tahun serta masing-masing dihukum penjara satu tahun bagi kesemua pertuduhan melibatkan mangsa lain dan satu sebatan rotan, dengan hukuman berjalan serentak.

Di Mahkamah Tinggi, Amir dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan 19 sebatan selepas Mahkamah Tinggi pada 31 Julai 2019 membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk menaikkan hukuman penjara setahun bagi setiap pertuduhan lain kepada penjara lima tahun dan satu sebatan rotan, dengan hukuman berjalan serentak.

Bagaimanapun Mahkamah Tinggi menolak rayuan pendakwaan dan mengekalkan hukuman penjara 15 tahun dan 18 sebatan bagi tiga pertuduhan menghasilkan pornografi dan tiga pertuduhan amang seksual.

Mahkamah Tinggi juga memerintahkan Amir menjalani hukuman penjara lima tahun itu selepas selesai hukuman penjara 15 tahun.

Mengikut kertas pertuduhan, Amir melakukan kesalahan itu di beberapa lokasi di daerah Marang dan Kuala Terengganu di Terengganu antara 1 Januari 2017 dan 26 Mac 2018.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.