- Iklan -
Berita

Pemain utama industri tempatan teruja dengan pelaburan terbaru AS

Mereka mengalu-alukan pelaburan syarikat pembuatan berkualiti tinggi ke Malaysia serta penyertaannya dalam Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pemain industri utama Malaysia berkata pelaburan AS akan menjana pekerjaan dan membantu membangunkan syarikat pengeluar tempatan.
Pemain industri utama Malaysia berkata pelaburan AS akan menjana pekerjaan dan membantu membangunkan syarikat pengeluar tempatan.

Pemain industri menyambut baik perkembangan terbaru berhubung usaha membawa masuk pelaburan ke dalam Malaysia dari Amerika Syarikat (AS) susulan misi perdagangan yang diketuai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali di mana ia berjaya menarik pelaburan bernilai lebih RM16 bilion dari syarikat AS.

Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia (AMCHAM) dan Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) berkata berita positif mengenai pelaburan baru AS ke Malaysia dapat memberi manfaat kepada pemain industri tempatan, sambil menambah industri yang bakal melabur dalam negara itu akan menjana peluang pekerjaan berkualiti tinggi.

“Pelaburan baru berkualiti tinggi dalam sektor perkilangan termasuk elektrik dan elektronik serta peranti perubatan bukan sahaja akan menjana pekerjaan, bahkan membantu dalam membangunkan syarikat pembuatan Malaysia bagi menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan mereka melalui pemindahan teknologi dalam pengeluaran, pengedaran dan menambah baik industri,” kata Presiden FMM Soh Thian Lai dalam satu kenyataan.

Syarikat yang sudah memberikan komitmen mereka bagi pelaburan terbaru termasuk Insulet, Ferrotec, Amazon Web Services Inc (AWS) dan Cue Health, selain projek-projek yang dijalankan Texas Instruments dan Boston Scientific.

Kesemua pelaburan yang tersebut diusahakan dalam misi perdagangan selama 10 hari ke AS yang menumpukan sektor-sektor bernilai tinggi seperti industri semikonduktor, ekonomi digital dan peranti perubatan.

Ia adalah sejajar dengan Aspirasi Pelaburan Nasional yang dilancarkan oleh Putrajaya sebagai sebahagian daripada rancangan pasca pandemik bagi memulihkan ekonomi.

MSIA, yang mewakili industri semikonduktor turut mengalu-alukan pemeteraian memorandum kerjasama (MOC) bagi memperkukuh Daya Tahan Rantaian Bekalan Semikonduktor antara AS dan Malaysia baru-baru ini.

Ia berkata memorandum persetujuan bersama itu dibuat ketika industri semikonduktor melalui pertumbuhan besar ekoran peningkatan teknologi baru seperti Internet of Things, kecerdasan buatan, kilang pintar dan kenderaan tanpa pemandu.

“Syarikat di Malaysia sedang mengembangkan dan meningkatkan kapasiti bagi menangani kekurangan dalam pembekalan semikonduktor.

“Malaysia juga menarik pelaburan baru untuk mengukuhkan rantaian bekalannya. Rantaian bekalan semikonduktor yang lebih berdaya tahan dan fleksibel akan membolehkan industri dapat mengendalikan ketidaktentuan pasaran dengan lebih baik,” kata persatuan itu.

Ia menyatakan bahawa Malaysia sudah merekodkan pelaburan yang diluluskan sebanyak RM148 bilion, hampir sepuluh kali ganda berbanding 2020.

“Trend pelaburan masuk dijangka akan berterusan dengan misi perdagangan menteri Miti ke AS baru-baru ini,” tambahnya.

Sementara itu, AMCHAM yang mewakili perniagaan Amerika di Malaysia, berkata pelaburan baru yang diumumkan oleh Azmin adalah “bukti keyakinan industri AS terhadap keupayaan Malaysia bagi menjadi rakan kongsi yang efektif”.

“Satu penghargaan (bagi kami) untuk menghadiri mesyuarat di Washington D.C. dan San Francisco bersama kementerian perdagangan antarabangsa dan industri.

“AMCHAM teruja dengan keyakinan syarikat AS terhadap Malaysia sebagai hab pembuatan yang stabil untuk membantu pembinaan pasaran global berdasarkan asas 50+ tahun sedia ada,” kata Ketua Pegawai Eksekutif AMCHAM Siobhan Das yang menyertai perbincangan meja bulat menyusuli pemeteraian MoC tersebut.

Ketiga-tiga persatuan itu turut mengalu-alukan Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF), kumpulan 13 negara yang turut dianggotai Malaysia dan diketuai AS.

IPEF dilihat sebagai alternatif kepada Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

“Manyaksikan Malaysia sebagai sebahagian daripada kumpulan awal 13 negara itu adalah satu langkah positif bagi hubungan ekonomi antara AS dan Malaysia,” tambah AMCHAM.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.