- Iklan -
Berita

Tindakan Zuraida keluar Bersatu adalah ‘harakiri politik’, kata penganalisis

Mereka berkata beliau mempunyai peluang yang lebih baik pada PRU15 jika kekal bersama Bersatu dan Perikatan Nasional.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin. Gambar: Bernama
Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin. Gambar: Bernama

Keputusan Zuraida Kamaruddin meninggalkan Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) akan lebih menjejaskan karier politiknya berbanding prestasi Perikatan Nasional (PN) secara menyeluruh, kata penganalisis.

Bercakap kepada MalaysiaNow, mereka berkata, ini kerana PBM merupakan sebuah parti baru yang tidak mempunyai sokongan akar umbi yang kukuh jika dibandingkan dengan kedua-dua parti lamanya iaitu Bersatu dan PKR.

Mereka menambah, kemungkinan besar ahli Parlimen Ampang itu perlu bergantung kepada keupayaan sendiri sekiranya ingin bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Penganalisis politik dari UiTM, Mujibu Abd Muis berkata, keputusan itu disimpulkan sebagai satu risiko besar kepada dirinya dan ia juga dilihat sebagai langkah “harakiri politik”.

“Political suicide ini lebih berat ke arah Zuraida kerana dia sudah tukar parti sebanyak dua kali dari PKR ke Bersatu dan dari Bersatu ke PBM,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Sebagai ahli politik yang berpengalaman, dia mesti faham bahawa ini adalah keputusan yang membahayakan apatah lagi jika dia ingin bertanding di Ampang yang merupakan kubu kuat PKR menggunakan parti yang tiada jentera.”

Mengulas lanjut, Mujibu berkata, Zuraida dilihat mempunyai peluang lebih baik untuk bersaing dengan parti lawan sekiranya dia kekal bersama PN ekoran prestasi gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri(PRN) Melaka dan Johor yang lepas.

“Melihat pretasi PN, mereka berada di kedudukan kedua dari segi jumlah pengundian di belakang BN dan mengatasi PH.

“Sebab itu lebih baik dia berada dalam PN. Jika berlaku pilihan raya, kemungkinan besar taruhan yang berlaku terletak di atas personaliti beliau berbanding dengan kapasiti dia sebagai ahli PBM,” tambah beliau.

Pada Khamis, Zuraida mengumumkan keluar dari Bersatu untuk menyertai PBM dan bakal meletakkan jawatannya sebagai menteri perusahaan, perladangan dan komuniti.

Susulan itu, Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin dijangka akan mengumumkan calon pengganti jawatan Zuraida di Kabinet.

Sementara itu, menurut James Chin dari Universiti Tasmania, Australia, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dijangka tidak akan membantah dengan calon tersebut bagi memastikan kedamaian dalam usaha mengekalkan sokongan yang dimilikinya.

“Ismail Sabri akan cuba elakkan perpecahan, dia perlukan sokongan daripada Bersatu dalam mengekalkan kekuatan politiknya.

“Justeru, tak mungkin dia akan lantik calon daripada luar Bersatu.

“Beliau kemungkinan besar akan ikut cadangan Muhyiddin atau Bersatu,” kata Chin.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.