- Iklan -
Berita

Nenek di Bintulu angkat air setiap hari, bimbang masa depan

Enchi Anak Gegom lakukan apa yang terdaya demi cucu yang dijaga sendirian.

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
Enchi Anak Gegom tinggal di sebuah rumah terbiar di kawasan setinggan bersama beberapa keluarga lain. Dia bimbang tentang masa depan cucu yang dijaganya sendirian.
Enchi Anak Gegom tinggal di sebuah rumah terbiar di kawasan setinggan bersama beberapa keluarga lain. Dia bimbang tentang masa depan cucu yang dijaganya sendirian.

Setiap kali senja menjelma, sekumpulan wanita keluar dari rumah sambil membawa baldi dan botol air mineral dari rumah mereka di Bintulu, Sarawak.

Mereka menuju ke sebuah warung kopi di mana mereka akan menunggu sehingga pelanggan terakhir keluar.

Apabila sudah tiada orang dan lampu dimalapkan, mereka pun masuk.

Di sana, mereka akan bergilir-gilir mengisi air dalam baldi dan botol — keperluan asas untuk digunakan di sebuah banglo terbiar yang menjadi tempat tinggal mereka.

Beginilah kehidupan keluarga yang tinggal secara haram di pekan itu, di mana mereka tidak mempunyai bekalan elektrik dan air bersih.

Terdapat lima keluarga di rumah itu.

Setiap malam, wanita-wanita itu akan mengangkat air dan untuk kegunaan mereka mereka pada keesokan harinya.

Mereka mempunyai masa dua jam untuk mengangkat air selepas kedai kopi ditutup.

Antara mereka itu adalah Enchi Anak Gegom, seorang wanita berusia 64 tahun.

Enchi berkongsi bilik kecil di banglo terbiar itu dengan seorang cucu perempuan.

Cucu perempuannya berada dalam jagaan Enchi selepas ibu kandungnya mengabaikan kanak-kanak berusia 10 tahun itu sejak beberapa tahun lalu.

Walaupun menantunya sudah tiada, Enchi tetap gembira menjaga cucunya.

Malangnya, beberapa bulan lalu, anak lelaki Enchi meninggal dunia menyebabkan mereka berdua hilang tempat bergantung.

Ekoran itu, perayaan Gawai Dayak yang semakin hampir tidak menimbulkan kegembiraan kepadanya, Enchi sudah tiada hati hendak meraikannya.

“Anak lelaki saya biasanya belikan saya pakaian baru untuk sambut Gawai,” katanya sedih.

Kadangkala, jika anaknya mendapat cuti, mereka sekeluarga akan pulang melawat kampung halaman di Saratok.

“Tetapi sekarang, saya keseorangan.”

Rumah yang didiami Enchi Anak Gegom dan cucu perempuannya.

Kematian anak lelakinya juga turut menyebabkan Enchi bergelut untuk menyediakan keperluan diri dan cucu perempuannya.

Setiap hari, dia membangunkan cucunya untuk bersiap ke sekolah.

Tengah hari, selepas cucunya pulang, dia menyiapkan makanan untuk mereka makan tengah hari.

Dan pada waktu malam, dia keluar bersama wanita lain untuk mengangkat air, dengan sepenuh tenaga tuanya, dia berjalan dalam kegelapan menanggung berat air yang dibawa.

Enchi tidak membayar sewa rumah lama yang sudah bertahun-tahun terbiar.

Namun setiap bulan, dia mengeluarkan RM40 untuk yuran bas sekolah.

Jumlah itu hampir satu per enam dari bantuan RM250 yang diterima Enchi dari jabatan kebajikan.

Dengan baki wang itulah, dia membeli makanan dan pakaian untuk kegunaan mereka.

Sebelum ini, Enchi pernah bekerja di kedai kopi di sekitar Bintulu bagi memperoleh sedikit pendapatan, namun pada usia 64 tahun dan keadaan kesihatannya kini, ia bukan lagi satu pilihan untuknya.

“Pemilik kedai enggan mengupah saya,” katanya.

“Tiada siapa mahu beri saya kerja kerana saya selalu sakit.

“Saya sudah tua,” tambahnya.

“Saya sering sakit kepala terutama pada waktu malam. Perut saya juga selalu rasa sakit.”

Gawai pernah menjadi salah satu perayaan yang paling penting untuk dia sekeluarga.

Namun tahun ini, Enchi akan meraikannya di bilik rumah terbiar itu.

Sambil memerhatikan cucunya dan bertanya dalam hati tentang apakah masa depan kanak-kanak itu.

Untuk dirinya, Enchi tidak berharap apa-apa.

Namun, Enchi sangat berharap dia dapat menjadikan perayaan kali ini istimewa untuk anak kecil itu.

“Sekurang-kurangnya, saya mahu membelikan dia pakaian baru,” katanya.

“Saya hanya mahu menjadikan perayaan kali ini istimewa untuknya.”

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.