- Iklan -
Berita

Seorang bapa tanpa kerakyatan bergelut besarkan 3 anak

Ketika orang lain seusianya mendaki tangga sosial dan karier, Borhan tidak berpeluang dan hanya mampu mencari nafkah dengan menjaja rojak di tepi jalan.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Borhan mengelap bahagian atas tempat simpanan buah-buahan gerai rojaknya yang dijaja di tepi jalan.
Borhan mengelap bahagian atas tempat simpanan buah-buahan gerai rojaknya yang dijaja di tepi jalan.

Di depan rumah, Borhan (bukan nama sebenar) sedang ralit mengemas dan menyediakan barangan untuknya memulakan perniagaan rojak buah di pekan Rantau Panjang, Kelantan zon kawasan bebas cukai yang menerima ramai pengunjung hampir setiap minggu. 

Sudah bertahun lamanya dia menjual rojak buah di tepi jalan dan menunggu pelanggan yang sudi membeli. 

Ada masanya, dia berpindah-randah ke tempat lain yang lebih ramai orang. 

Mahupun hujan, panas ataupun dalam banjir sekalipun, Borhan tetap akan keluar berniaga. 

Dia tidak mempunyai ruang dan peluang untuk mencari pendapatan dan rezeki yang lebih selesa dan terjamin. 

Ini kerana Borhan merupakan salah seorang daripada puluhan ribu orang yang lahir dan membesar di Malaysia namun tidak mendapat dokumentasi kerakyatan sah daripada kerajaan. 

Pada usia 37 tahun, Borhan masih hidup tanpa identiti dan kenegaraan. 

Ini menyebabkan banyak urusan hariannya terganggu dan ahli keluarganya turut menerima kesannya. 

Kata Borhan, tiga orang anaknya selalu mengalami kesukaran untuk mendaftarkan diri setiap kali pembukaan sekolah. 

Ini memandangkan pihak sekolah akan meminta bukti kad pengenalan diri bapa sebelum didaftarkan. 

“Saya pula tak ada kad pengenalan, sekolah terpaksa minta penjamin seperti datuk atau bapa saudara yang ada kad pengenalan,” katanya kepada MalaysiaNow. 

Menurutnya, ayahnya merupakan seorang warganegara dan ibunya pula warganegara Thailand. 

Perkahwinan mereka yang tidak didaftarkan semula ke Malaysia menyebabkan dia tidak dianugerahkan kerakyatan sah di sisi undang-undang. 

Lebih merunsingkan Borhan, dia tidak berupaya untuk mendapatkan kerja yang lebih menjamin masa depan keluarga. 

Dengan menjual rojak buah, dia hanya mampu meraih pendapatan sebanyak RM30 hingga RM40 sehari. 

Dalam sebulan dia menjana pendapatan sebanyak RM900, di bawah garis kemiskinan yang ditetapkan negara. 

Tambahnya, setiap kali dia pergi memohon dan mencari kerja, mereka seringkali menganggap dirinya sebagai warga asing tanpa mengetahui dia selamanya membesar di Malaysia dan fasih berbahasa serta membaca dalam bahasa Melayu. 

“Sekarang anak-anak tak faham saya tak ada kad pengenalan. Mereka semakin membesar dan saya khuatir jika mereka akan ditimpa lebih banyak kesusahan disebabkan bapanya tiada kad pengenalan. 

“Mungkin nanti nak masuk universiti, nak daftar kahwin. Nak guna kad pengenalan saya. Tapi tak ada. Apa pula mereka nak cakap nanti? Apa saya nak jelaskan?” 

MalaysiaNow difahamkan ketiga-tiga anaknya berjaya mendapat kerakyatan Malaysia memandangkan perkahwinan Burhan dan isterinya yang merupakan warganegara didaftarkan di Malaysia. 

Mengulas lebih lanjut, Borhan berkata pada usianya yang menghampiri setengah abad dalam tempoh beberapa tahun lagi, dia tidak perlu lagi dibelenggu isu tanpa kerakyatan. 

“Saya bukan milik negara lain. Saya lahir, membesar dan bekerja untuk negara ini. Saya tak nak kerakyatan negara lain walaupun mudah untuk dimohon.” 

Kini, Borhan dan keluarganya tinggal di sebuah taman perumahan kos rendah di Rantau Panjang. 

Tuan rumahnya yang baik hati dan maklum tentang status kerakyatan Borhan mengenakan kadar bayaran yang paling rendah berbanding sewaan oleh penyewa lain. 

“Saya bayar rumah RM270 sebulan. Itu pun kadang-kadang saya bayar lewat sebab jualan tak bergerak laju. Bergantung kepada kunjungan orang ramai.” 

Taman perumahan Borhan seringkali dilanda banjir dan menyebabkan banyak barangan rumahnya musnah akibat ditenggelami air. 

Apabila bantuan wang tunai untuk mangsa banjir dibuka untuk permohonan, Borhan sering disisihkan kerana dia bukan warganegara sedangkan dia turut mengalami kerugian yang sama seperti permohon yang lain. 

“Saya bukan senang, nak beli satu barang pun ambil masa sebab kumpul duit. 

“Tapi bila musnah akibat banjir, nak mohon bantuan, awal-awal lagi dah kena tolak sebab tiada kad pengenalan,” katanya. 

Borhan memberitahu, dia pernah memohon dan membuat rayuan untuk mendapatkan status kewarganegaraan dengan Jabatan Pendaftaran Negara tetapi terlalu lama dia menunggu perkembangan mengenai permohonan tersebut. 

“Saya tak harap yang lebih-lebih. Kalau boleh, permudahkan urusan saya. Saya masih ada anak isteri yang perlu disara. 

“Dengan kad pengenalan itu, boleh saya dapatkan hidup yang selesa untuk mereka,” katanya. 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.