- Iklan -
Berita

KPM kaji penyelesaian isu berkait guru warden asrama

Menurut Radzi Jidin, perkara-perkara teknikal bagi membincangkan isu guru warden asrama perlu dibincangkan dengan agensi pusat.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Pendidikan Radzi Jidin bercakap ketika rumah terbuka KPM di Putrajaya semalam. Gambar: Bernama
Menteri Pendidikan Radzi Jidin bercakap ketika rumah terbuka KPM di Putrajaya semalam. Gambar: Bernama

Kementerian pendidikan (KPM) sedang meneliti isu berkaitan guru warden asrama dalam usaha menambah baik perjawatan itu termasuk keperluan menaikkan elaun, kata Menterinya Radzi Jidin.

Beliau berkata kementerian sedar isu berkaitan guru warden asrama sudah berlarutan sekian lama

“Kita tahu warden di luar sana tertanya-tanya apakah pendekatan yang akan diambil oleh kementerian dan seperti mana saya sebut sebelum ini bahawa kita melihat perkara ini secara menyeluruh, kita ingin selesaikan perkara ini buat selama-lamanya, namun begitu ada kekangan-kekangan tertentu yang sedang kita selesaikan.

“Kita sedar warden ini antara cabaran mereka apabila dia jadi warden dia akan rugi maknanya dari segi elaun, baik dia tak perlu jadi warden. Ini perkara kita sedang usahakan,” katanya kepada media di Majlis Jalinan Mesra Aidilfitri dan Hari Terbuka KPM semalam.

Terdahulu, ada pihak yang menggesa KPM untuk mengkaji elaun guru warden asrama yang didakwa terlalu rendah iaitu RM240 sebulan yang dilihat tidak setimpal kerana mereka terpaksa bertugas sehingga 24 jam sehari.

“Ini perkara (elaun) kita sedang usahakan, maknanya kalau dia tidak jadi warden, elaun dia lagi bagus dari dia jadi warden, bila jadi warden elaun bukan sekadar sikit tetapi kena potong pula.

“Jadi perkara ini perkara-perkara teknikal yang kita perlu bincang dengan agensi pusat dan kita sedang selesaikan, ini ambil sedikit masa. Tapi komitmen, kita sedar ada isunya dan kita sedang cuba selesaikan,” katanya.

Mengenai Majlis Jalinan Mesra Aidilfitri dan Hari Terbuka KPM, Radzi berkata lebih 25,000 tetamu hadir di majlis itu.

“Dalam konteks bulan Syawal kita mengambil pendekatan sedikit berbeza, daripada mengadakan hari rumah terbuka Aidilfitri, kita adakan program jalinan mesra ni bersama dengan Hari Terbuka KPM bertujuan memberi ruang seluas-luasnya kepada masyarakat untuk bersama-sama KPM untuk melihat apakah perkara-perkara yang ditawarkan oleh KPM dan juga untuk masyarakat bersama-sama sekiranya ada perkara-perkara yang ingin disampaikan kepada kepimpinan pendidikan di Malaysia,” katanya.