- Iklan -
Berita

Malaysia belum sampai ke tahap krisis makanan, kata Mafi

Timbalan ketua setiausaha Mafi berkata meskipun terdapat sedikit gangguan terhadap bekalan makanan khususnya ayam dan gandum, namun ia tidak menjejaskan bekalan negara.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang peniaga ayam menyiapkan tempahan pelanggan di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur.
Seorang peniaga ayam menyiapkan tempahan pelanggan di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur.

Kementerian pertanian dan industri makanan (Mafi) hari ini memberi jaminan bahawa bekalan makanan dalam negara masih mencukupi dan negara belum sampai ke peringkat krisis makanan seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Mafi Badrul Hisham Mohd berkata meskipun terdapat sedikit gangguan terhadap bekalan makanan khususnya ayam dan gandum, namun ia tidak menjejaskan bekalan negara.

“Ini kerana sekitar 94% pengeluaran ayam adalah untuk bekalan tempatan manakala 6% sahaja untuk eksport.

“Secara keseluruhan, negara kita mengeluarkan sekitar 54 juta ekor ayam sebulan dan kapasiti mengeluaran ini boleh menampung keseluruhan keperluan rakyat,” katanya ketika menjadi tetamu program Koresponden Bernama terbitan Bernama TV bertajuk “Krisis Makanan: Apakah Jaminan Mafi Terhadap Sekuriti Makanan Negara?” hari ini.

Beliau berkata selain itu, sekitar 72% daripada keseluruhan perbelanjaan menternak ayam adalah makanan dan makanan ayam ini diimport dari luar negara seperti Brazil dan Argentina.

“Jagung bijian yang digunakan untuk makanan ayam kita tidak tanam lagi di Malaysia secara besar-besaran dan oleh sebab itu, Mafi ke arah mengindustrikan jagung bijian supaya kita dapat menyelesaikan isu import jagung bijian dari luar negara,” katanya.

Badrul turut mencadangkan agar pengeluar sawit misalnya memperuntukkan sedikit daripada keluasan tanah ladang untuk penanaman jagung bijian sebagai langkah mengurangkan kebergantungan negara kepada jagung bijian dari luar negara yang memakan kos yang tinggi.

Dalam pada itu, mengulas mengenai isu gandum pula, Badrul berkata keputusan India mengenakan sekatan eksport gandum tidak memberi kesan memandangkan sumber utama bekalan gandum negara datang daripada Australia, Amerika Syarikat dan negara-negara lain.

Katanya, India hanya mengeksport sekitar 1.9% sahaja bekalan gandum mereka untuk pasaran dalam negara.

Sementara itu, Badrul berkata Mafi dan kementerian perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna (KPDNHEP) sedang berusaha mengatasi isu ini bagi memastikan rakyat mendapat bekalan makanan yang mencukupi.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.