- Iklan -
Berita

Peruncit tempatan sekali lagi jadi pembeli bersih, catat RM135.1 juta pelaburan

Dalam pada itu, institusi tempatan kekal sebagai penjual bersih untuk minggu ketiga berturut-turut, mencatatkan sejumlah -RM52.1 juta.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan bangunan pencakar langit di Kuala Lumpur. MIDF Research berkata sebelum ini peruncit tempatan merupakan pembeli bersih tunggal untuk minggu berakhir 15 April 2022.
Pemandangan bangunan pencakar langit di Kuala Lumpur. MIDF Research berkata sebelum ini peruncit tempatan merupakan pembeli bersih tunggal untuk minggu berakhir 15 April 2022.

Peruncit tempatan kembali sebagai pembeli bersih sekali lagi dengan merekodkan sejumlah RM135.1 juta untuk minggu berakhir 27 Mei berikutan jualan bersih oleh kedua-dua institusi tempatan dan pelabur asing, kata MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF Research).

Dalam laporan aliran dana mingguannya hari ini, firma penyelidikan itu berkata sebelum ini peruncit tempatan merupakan pembeli bersih tunggal untuk minggu berakhir 15 April 2022.

Ia berkata pelabur asing terus menjadi penjual bersih selepas menjadi pembeli bersih selama dua minggu dengan aliran keluar bersih sebanyak -RM83 juta, manakala institusi tempatan kekal sebagai penjual bersih untuk minggu ketiga berturut-turut, mencatatkan sejumlah -RM52.1 juta.

“Sehingga kini, dana antarabangsa telah menjadi pembeli bersih selama 16 dari 21 minggu tahun 2022, dengan jumlah aliran masuk bersih RM6.92 bilion. Mereka adalah penjual bersih pada hari Isnin dan Selasa dengan merekodkad sebanyak RM199 juta sebelum bertukar menjadi pembeli bersih bermula Rabu hingga Jumaat berjumlah RM116 juta,” katanya.

Sementara itu, ia berkata institusi tempatan adalah penjual bersih sepanjang minggu kecuali pada hari Selasa, menyaksikan mereka membeli bernilai sehingga RM87.1 juta dan aliran keluar paling ketara dicatatkan mereka ialah pada hari Jumaat sebanyak -RM77.6 juta.

“Mereka telah menjadi penjual bersih selama 18 dari 21 minggu tahun ini. Sehingga kini, mereka telah menjual -RM8.16 bilion ekuiti,” katanya.

Menurut MIDF Research, peruncit tempatan merupakan pembeli bersih setiap hari dalam seminggu kecuali pada hari Rabu, menjual hanya -RM260,000 ekuiti sementara belian bersih paling kukuh direkodkan pada Selasa bernilai RM75.9 juta.

“Setakat tahun ini, peruncit tempatan telah menjadi pembeli bersih, mencatatkan RM1.24 bilion,” katanya.

Dari segi penyertaan, ia berkata semua kelas pelabur menyaksikan penurunan untuk minggu itu.

“Pelabur asing menyaksikan penurunan purata nilai dagangan harian (ADTV) sebanyak 19.7 peratus, manakala peruncit tempatan dan institusi tempatan mencatat penurunan masing-masing sebanyak -6.5 peratus dan -17.5 peratus dalam ADTV,” tambahnya.

MIDF Research turut memaklumkan bahawa Sime Darby Plantation Bhd merekodkan aliran masuk wang bersih tertinggi iaitu RM2.68 juta minggu lepas manakala Dialog Group Bhd pula menyaksikan aliran keluar wang bersih terbesar sebanyak -RM6.44 juta.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.