- Iklan -
Berita

RM256,800 kompaun dikenakan terhadap peniaga ayam, telur sejak Februari

Sebanyak 1,034 kes direkodkan merangkumi pelbagai kesalahan termasuk menjual melebihi harga siling dan tidak meletakkan tanda harga.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Dua pelanggan sedang memilih ayam di Pasar Datuk Keramat, Kuala Lumpur.
Dua pelanggan sedang memilih ayam di Pasar Datuk Keramat, Kuala Lumpur.

Sebanyak RM256,800 kompaun dikenakan terhadap peruncit, pemborong dan penternak di seluruh negara kerana gagal mematuhi Skim Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur yang dikuatkuasakan sejak 5 Februari lepas.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Wahid berkata ia melibatkan 1,034 kes merangkumi pelbagai kesalahan termasuk menjual melebihi harga siling, tidak meletakkan tanda harga dan gagal meletakkan tanda harga khas seperti diarahkan.

Selain itu, sebanyak 1,033 barangan perniagaan berjumlah RM133,000 turut disita.

“Sehingga semalam kita telah melakukan pemeriksaan di 66,375 premis termasuk peruncit, kedai borong dan pengeluar di ladang,” katanya ketika ditemui pada Majlis Jamuan Aidilfitri di Pejabat KPDNHEP semalam.

Menurutnya, daripada jumlah itu sebanyak 41 kes dikenakan tindakan atas kesalahan tidak mempamerkan tanda harga, menjual melebihi harga siling (111 kes) dan tidak meletakkan tanda harga khas (882 kes).

Rosol berkata pihak KPDNHEP meningkatkan pemantauan di premis-premis tertentu bagi mengesan peniaga degil dan melanggar peraturan skim berkenaan.

“Kita lihat memang trend iaitu dalam tempoh seminggu dua sebelum berakhirnya skim kawalan, harga ayam atau makanan akan naik dan ia perlu dikawal,” katanya sambil memberi jaminan tidak berlaku kekurangan bekalan makanan pada musim Hari Raya Aidiladha akan datang.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.