- Iklan -
Berita

Iklan jawatan kosong meningkat hampir 160,000 pada suku pertama 2022

Ia menunjukkan peningkatan ketara berbanding 90,000 iklan jawatan kosong pada tempoh sama pada 2021.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Iklan jawatan kosong dicatatkan paling tinggi pada Februari iaitu sebanyak 67,172 kekosongan.
Iklan jawatan kosong dicatatkan paling tinggi pada Februari iaitu sebanyak 67,172 kekosongan.

Tawaran kekosongan jawatan diiklankan dalam talian melonjak kepada 159,148 pada suku pertama 2022 berbanding 90,218 pada tempoh sama tahun lepas, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata pada asas bulanan suku pertama 2022, bilangan jawatan kosong yang diiklankan dalam talian adalah tertinggi pada Februari iaitu sebanyak 67,172 kekosongan.

”Manakala bagi bulan Januari dan Mac, masing-masing berjumlah 48,924 dan 43,052 kekosongan,” katanya dalam kenyataan media Lanskap Penawaran Pekerjaan di Malaysia, bagi suku pertama 2022 hari ini.

Katanya, analisis dikeluarkan secara suku tahunan ini, memaparkan statistik disusun berdasarkan kekosongan jawatan diiklankan dalam talian oleh beberapa portal pekerjaan swasta yang popular.

Analisis ini juga menyediakan maklumat kekosongan jawatan yang ditawarkan oleh majikan secara dalam talian daripada pelbagai aspek seperti jenis pekerjaan, profil pekerjaan, lokasi, industri, kemahiran, bidang pengajian dan lain-lain.

Mohd Uzir berkata pada suku pertama 2022, sebahagian besar majikan memerlukan pekerja dalam kategori profesional (44.9%) diikuti juruteknik dan profesional bersekutu (17.7%) dan Pengurus (11.3%).

Mengikut susunan, lima pekerjaan paling popular ditawarkan dalam tempoh rujukan adalah profesional pengiklanan dan pemasaran, profesional bersekutu pentadbiran, pengarah urusan dan ketua eksekutif, akauntan dan juruaudit dan pembangun perisian.

“Sementara itu, daripada perspektif ekonomi pula, sektor perdagangan borong dan runcit, pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal menjadi sektor utama yang menyumbang kepada penawaran pekerjaan bagi pencari kerja pada suku pertama 2022.

“Manakala, empat (4) lagi sektor dengan penawaran pekerjaan tertinggi adalah sektor pembuatan; aktiviti profesional, teknikal dan saintifik; aktiviti kewangan dan insurans/takaful serta aktiviti penginapan dan perkhidmatan makanan dan minuman,” katanya.

Beliau berkata tiga pekerjaan kategori pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) mencatatkan jumlah kekosongan tertinggi pada suku pertama 2022 adalah profesional pengiklanan dan pemasaran, profesional bersekutu pentadbiran dan pembangun perisian.

Profesional pengiklanan dan pemasaran, pengarah urusan dan ketua eksekutif serta akauntan dan juruaudit adalah pekerjaan kategori senarai pekerjaan kritikal (COL) tertinggi yang diiklankan dalam talian semasa tempoh rujukan.

“Sementara itu, pekerjaan popular yang ditawarkan dalam kategori sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) pula adalah juruteknik, pereka grafik dan jurutera perisian”, katanya.

Meneliti kepada penawaran jawatan kosong mengikut negeri pada suku pertama 2022, Uzir berkata Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merekodkan jumlah kekosongan pekerjaan tertinggi pada 42.7% diikuti Selangor (16.9%), Johor (7.3%), Pulau Pinang (3.9%) dan Melaka (1.7%).

“Analisis terhadap jumlah kekosongan jawatan diiklankan dalam talian pada suku pertama 2022 secara keseluruhannya menunjukkan ekonomi masih dalam tempoh pemulihan selaras dengan peralihan fasa pandemik kepada endemik.

“Dengan peralihan fasa ini, semua sektor ekonomi dan sempadan negara telah dibuka secara berperingkat dan ini diharapkan dapat mengurangkan impak pandemik, memulihkan ekonomi negara dan seterusnya mencipta lebih banyak peluang pekerjaan untuk diisi oleh pencari kerja,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.